Tiada Alasan Boleh Membenarkan Kerajaan Syria Mengabaikan Jenayah Rusia Terhadap Umat Islam

Kementerian Luar Negeri Syria mengumumkan pada hari Ahad 09/08/2026 bahawa ia telah mencapai memorandum persefahaman dengan Moscow bagi memulakan “proses penstrukturan semula kehadiran Rusia di pesisir pantai Syria.”

Kementerian tersebut melaporkan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk “mendefinisikan semula fungsi pangkalan dan kemudahan berkaitan ketenteraan, mengubahnya daripada pangkalan tentera kepada pusat latihan dan rehabilitasi bersama, di dalam pengaturan baru yang akan memelihara kepentingan bersama.”

Kementerian menyifatkan langkah ini sebagai “perkembangan paling signifikan sejak perundingan bermula kira-kira setahun setengah yang lalu, sekali gus membuka jalan bagi fasa baru dalam hubungan Syria-Rusia.”

Sesungguhnya pengumuman ini merupakan suatu yang membingungkan walaupun bagi mereka yang paling sabar. Apa tidaknya! Jenayah Rusia terhadap umat Islam secara umumnya, dan penduduk Syam secara khususnya, telah melangkaui segala gambaran dan imaginasi. Rusia merupakan penyokong utama dan teras kepada rejim jenayah Bashar al-Assad sepanjang tahun-tahun revolusi.

Sejak tahun 2011, Rusia mula memberikan sokongan politik dan diplomatik kepada rejim apabila protes tercetus, dengan berulang kali menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB untuk melindung rejim, di samping sokongan logistik dan ketenteraan secara tidak langsung.

Rusia kemudiannya campur tangan secara ketenteraan dan terus memihak kepada rejim Bashar pada 30 September 2015, menyebabkan penderitaan ke atas penduduk Syam melalui pengeboman, kemusnahan, pembunuhan, dan pengusiran.

Justeru, bagaimanakah mungkin Syria boleh memeterai perjanjian kerjasama dan persefahaman dengan Rusia?!

Sesungguhnya Rusia memerangi kita (umat Islam) disebabkan Deen kita, mengusir umat Islam dari rumah-rumah mereka, dan menyokong pengusiran ke atas umat Islam. Dengan demikian, amat jelas bahawa firman Allah (swt) ini terpakai ke atasnya:

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan sebagai teman rapat/pemimpin orang-orang yang memerangi kamu kerana agama, dan mengusir kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [Al-Mumtahanah (60): 9].

Justeru, tidak ada apa-apa hujah atau alasan yang boleh membenarkan kerajaan Syria mengabaikan jenayah berat Rusia terhadap umat Islam, dan tidak ada apa-apa alasan yang membolehkan Syria berurusan dengannya sebagai sekutu.

Di sepanjang peperangan, berapa ramai wanita di Syam yang berduka meratapi suami mereka yang terbunuh oleh tentera Rusia? Berapa ramai kanak-kanak yang meratapi bapa, bapa saudara, atau datuk mereka yang terbunuh oleh tentera Rusia? Berapa ramai ibu yang telah kering air mata meratapi anak-anak mereka yang dibunuh atau diusir oleh tentera Rusia? Berapa banyak rumah, kediaman, bangunan, sekolah, dan masjid yang dimusnahkan oleh tentera Rusia di atas kepala penghuninya, sehingga tinggal kepingan batu-bata?

Sesungguhnya, jenayah Rusia terhadap umat Islam secara umum, dan terhadap penduduk Syam secara khusus, hampir tidak terhitung. Satu-satunya “hubungan” dengan Rusia yang diredhai Allah (swt) ialah dengan mengusirnya dari tanah air kita. Hubungan dengan Rusia wajib diputuskan secara total, disertai dengan pembalasan setimpal atas apa yang telah dilakukannya terhadap kita.

Satu-satunya jalan untuk mencapai hal ini ialah dengan menjadikan Syam sebagai teras kepada Daulah Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah.

Sesungguhnya penduduk Syam yang berani, yang telah menumbangkan salah seorang thaghut terbesar zaman ini, dengan izin Allah mampu untuk melakukannya dan layak untuknya. Mereka adalah golongan yang mempunyai keazaman dan ketabahan, dan seluruh umat memandang ke arah mereka serta melihat Syam sebagai antara tanah terbaik Allah (swt) dan tempat yang menempatkan hamba-hamba pilihan-Nya. Rasulullah (saw) bersabda:

عَلَيْكَ بِالشَّامِ، فَإِنَّهَا خِيرَةُ اللهِ مِنْ أَرْضِهِ، يَجْتَبِي إِلَيْهَا خِيرَتَهُ مِنْ عِبَادِهِ

“Hendaklah kamu memilih Syam, kerana sesungguhnya ia adalah negeri pilihan Allah dari bumi-Nya, di mana Dia mengumpulkan hamba-hamba pilihan-Nya di sana.”