Tiga Tahun Tidak Pernah Melencong
Ya, memang benar, ini adalah kerana walaupun telah tiga tahun menduduki kerusi PM, beliau masih patuh dan taat kepada perlembagaan yang diwariskan oleh British dan tidak pernah melencong daripadanya. Mungkin ada sedikit lencongan dari segi perubahan dan pindaan, namun secara keseluruhannya sistem sekular masih terus dilaksanakan dan digunapakai. Memang benar beberapa pelan transformasi telah dirancang, sedang dan ada yang selesai dilaksanakan dan telah pun mendatangkan kebaikan serta manfaat kepada sebahagian rakyat, tetapi apalah maknanya jika Islam tidak dijadikan sebagai rujukan?
Di manakah dalil-dalil dan nas syarak semasa PM dan pasukannya merangka semua pelan transformasi itu? Bukankah segala pelan transformasi itu hasil daripada buah fikiran sebilangan cendekiawan daripada pelbagai latarbelakang dan kepakaran yang langsung tidak mempertimbangkan Islam sebagai asas rujukan dan sebagai sumber hukum? Jadi, mereka merangka, mencadangkan dan menerbitkan segala pelan yang tidak berasaskan kepada Al Quran dan As Sunnah.
Kita tidak boleh menafikan bahawa segala pelan transformasi itu adalah untuk kepentingan rakyat berdasarkan slogan “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Jadi, ini bermakna segala pelan transformasi yang telah dijana oleh beliau itu adalah untuk memenuhi urusan rakyat. Pendek kata, semuanya adalah untuk rakyat.
Adakah Najib tidak mengetahui bahawa untuk mengatur urusan rakyat yang berkaitan kemakmuran, keselamatan dan pemerintahan itu, ia haruslah merujuk kepada hukum-hukum tentang perekonomian, pemerintahan, pergaulan, penghukuman dan pendidikan sepertimana yang telah ditetapkan di dalam Al Quran dan As Sunnah? Sebagaimana Firman Allah SWT:
“Hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmat-Ku, serta Aku redhai Islam sebagai agama kamu.”[TMQ Al Maidah(5):3]
Maka, umat Islam harus sedar bahawa asas yang menjadi penentu kepada perubahan kita bukanlah manfaat semata-mata tetapi ia haruslah bersandarkan kepada Islam. Namun, ianya tidak mungkin berhasil melainkan kita berusaha dan berjuang untuk menegakkannya. Semoga Allah SWT mengampunkan kita setelah kita berusaha dan berjuang ke arah itu.