Timor Leste Mainan Baru Amerika

timor-timurWalaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menamatkan misi pasukan pengaman di Timor Leste selepas 13 tahun berkhidmat di negara termuda di Asia ini, namun pada hakikatnya masalah dan konflik yang melanda Timor Leste (dahulu dikenali sebagai Timor Timur) belum berakhir. Umat Islam haruslah menyedari bahawa Timur Leste adalah sebahagian daripada negara umat Islam Indonesia yang telah dipisahkan oleh Amerika dan sekutunya. Amerika yang berada di sebalik konflik di negara yang terpisah ini telah melakukan berbagai rancangan untuk memecah-belahkan Indonesia agar dapat melemahkan negeri umat Islam ini demi kepentingan politik mereka.

Pertama kali PBB memasuki wilayah tersebut adalah pada ketika mereka menaja pungutan suara rakyat Timur Leste untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Indonesia pada tahun 1999. Pada masa itu kira-kira 1,500 anggota ditempatkan, yang menyaksikan krisis politik dan pertumpahan darah berlaku sejak itu.

Sejarah campurtangan Amerika di negara-negara umat Islam bukanlah perkara baru. Hal ini berlaku kerana pengkhianatan yang dilakukan oleh para pemimpin umat Islam sendiri samada mereka sedari ataupun tidak. Amalan politik sekular yang meletakkan maslahat sebagai salah satu ciri atau mekanisme telah dipergunakan oleh Amerika sebaik-baiknya untuk memerangkap para penguasa umat Islam hari ini. Disebabkan itulah kita menyaksikan pelbagai masalah dalaman umat Islam tidak pernah selesai.

Malah, strategi yang digunakan oleh Amerika di Indonesia lebih komprehensif. Ini adalah kerana Indonesia sangat kaya dengan sumber alam, kedudukan geografi yang strategik dan mempunyai jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia. Hampir semua penduduknya yang berjumlah 230 juta orang adalah beragama Islam. Di antara strategi yang digunakan oleh Amerika adalah:

Pertama, Amerikalah yang sebenarnya menciptakan konflik di antara TNI (Tentera Negara Indonesia) dan Polri (Polis Republik Indonesia) sehingga menjadikan kedua-dua badan tersebut  dipisahkan pada tahun 1998.

Kedua, Amerika telah mengenakan sekatan ke atas TNI daripada membeli kelengkapan persenjataan daripada Amerika setelah terjadinya konflik berdarah di Timor Timur tahun 1999.

Ketiga, Amerika telah menetapkan Undang-Undang Autonomi Daerah nombor 22 secara paksa pada tahun 1999. Dengan undang-undang tersebut, daerah-daerah yang terlibat diberikan otoriti yang luas, termasuklah di dalam hal pengurusan kewangan, kekayaan alam serta urusan  pelaburan asing secara langsung. Pada masa yang sama, kekuasaan (otoriti) pemerintah pusat menjadi terbatas.

Keempat, Amerika telah memulakan perang saudara melalui propaganda yang berlandaskan kepada sentimen suku dan agama, sebagaimana yang terjadi di Papua, Ambon, Maluku dan Poso di Sulawesi Tengah.

Kelima, Amerika juga telah menyibukkan negara tersebut dengan isu terorisme sehingga ia menjadi isu vital (qadhiyyah mashiriyyah) agar dapat memalingkan pemikiran rakyat daripada berbagai isu yang lebih penting seperti separatisme (pemisahan daerah) yang sangat berbahaya dan didalangi oleh Amerika dan sekutunya. Gerakan-gerakan separatisme tersebut bergerak secara terang-terangan tetapi para penguasa Indonesia seolah-olah menutup mata terhadap isu yang sangat merugikan umat ini.

Keenam, Amerika melakukan berbagai halangan dan rintangan agar agama Islam sebagai akidah dan syariah tidak dapat disebarluaskan. Strategi ini diperhebatkan lagi sejak akhir-akhir ini setelah mereka melihat kebangkitan umat Islam di Indonesia semakin meluas. Lalu, atas sebab itulah mereka melakukan intimidasi (menakut-nakutkan) ke atas rakyat Indonesia dengan isu terorisme.