TPPA tak menyalahi demokrasi sedikit pun
Lebih kurang 30,000 peserta dikatakan menyertai perhimpunan Bantah TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik) di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini (23/01/2016), yang menjadi bantahan terbesar setakat ini terhadap perjanjian yang sudah dimuktamadkan oleh 12 negara itu.
Banyak pihak turun membantah yang terdiri daripada parti pembangkang, NGO dan juga orang perseorangan dengan membawa pelbagai sepanduk menolak perjanjian penuh rahsia yang bakal ditandatangani oleh Malaysia itu.
Pelbagai keburukan bakal melanda negara jika TPPA ditandatangani, dikemukakan oleh pihak-pihak yang membantah yang mewajarkan bantahan besar-besaran dibuat oleh rakyat. Bukan sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara yang turut sama menyertai perjanjian tersebut menyaksikan bantahan besar-besaran dibuat oleh rakyat negara mereka juga.
Di tinjau dari sudut demokrasi, setiap individu rakyat memang berhak untuk membantah apa sahaja tindakan kerajaan yang tidak disukai oleh rakyat. Secara teorinya, hak ini boleh dikatakan termaktub dalam ajaran demokrasi di negara mana sekalipun.
Namun, jika ditinjau dari sudut demokrasi juga, sebenarnya tidak salahnya bagi kerajaan untuk menandatangani TPPA mahupun apa sahaja perjanjian antarabangsa dengan mana-mana negara sekalipun. Hak untuk berbuat demikian memang ada pada kerajaan. Dengan kata lain, kerajaan tidak melakukan apa-apa kesalahan sedikit pun di bawah demokrasi untuk menandatangani TPPA.
Apatah lagi selepas ini, TPPA akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan pada 26 dan 27 Januari ini. Maka sekiranya majoriti bersetuju (malah jika majoriti tidak bersetuju pun) kerajaan akan meneruskan proses penandatanganan perjanjian tersebut. Apatah lagi laporan berita telah pun mengesahkan yang kesemua 12 negara akan menandatanganinya secara rasmi di New Zealand pada 4 Februari ini yang sekali gus menandakan berakhirnya proses rundingan ke atas perjanjian itu.
Kepada pencinta dan pejuang demokrasi, masihkah kalian tidak nampak bagaimana proses demokrasi itu sebenarnya hanyalah alat untuk melegitimasi semua tindakan pemerintah dan kalian sebenarnya tidak dapat berbuat apa-apa dari segi undang-undang untuk menghalang tindakan pemerintah yang berjalan sesuai dengan demokrasi?
Kepada rakyat secara umumnya, masihkah kalian tidak nampak bahawa ahli-ahli Parlimen dalam sistem demokrasi tidak mewakili kalian sedikit pun? Mereka hanya mewakili parti mereka sahaja dan sekiranya ketua parti mereka mahukan TPPA, maka jadilah TPPA! Walaupun rakyat membantah, tapi suara rakyat langsung tiada nilainya, kerana kehendak ketua merekalah yang wajib diutamakan!
Kerana itulah, sistem demokrasi ini wajib dibuang kerana selain merupakan sistem kufur yang datangnya dari Barat, sistem ini sesungguhnya penuh dengan penipuan dan tidak pernah mewakili rakyat seperti mana slogannya dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Sesungguhnya ia merupakan sistem dari Barat yang kapitalis, oleh kapitalis dan untuk kapitalis.
Dalam sistem ini, ternyata kapitalislah yang memerintah, kapitalislah yang berkuasa dan kuasa itu dipergunakan hanya untuk kepentingan mereka sahaja. Inilah definisi dan wajah sebenar demokrasi!
TPPA wajib dibantah dan ditolak bukan kerana alasan baik dan buruknya yang semata-mata dilihat dari segi fakta atau pertimbangan akal atau pertimbangan pakar ekonomi, namun ia wajib dibantah dan ditolak kerana ia bertentangan dengan syarak. Inilah kayu ukur kita sebagai Muslim. Menandatangani perjanjian dengan negara kafir harbi fi’lan seperti Amerika Syarikat adalah haram di sisi Islam, walaupun perjanjian itu mendatangkan manfaat sebesar gunung sekalipun kepada kita.
Atas dasar itu, bukan sahaja TPPA yang wajib dibantah dan ditolak oleh rakyat, tetapi sistem demokrasi yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, yang merupakan ibu kepada segala keharaman, inilah yang lebih wajib untuk ditolak. Sistem buatan manusia ini membenarkan segala kehendak manusia (pemerintah) atas nama majoriti dan menafikan kehendak Tuhan manusia, inilah yang wajib ditolak sejak dulu.
Selagi ada sistem demokrasi yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia (yakni manusia berhak membuat hukum dan peraturan sendiri tanpa perlu melihat kepada perintah dan larangan Tuhan manusia), maka selagi itulah, ‘bapak’ kepada TPPA sekalipun boleh ditandatangani oleh pemerintah jika mereka mahu! Tidakkah kalian mengambil pelajaran wahai kaum Muslimin!?