Tragedi menimpa negara, tuding-menuding lepas tu senyap

21 Oktober lalu, negara digemparkan dengan tragedi tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Dalam kejadian pukul 8.57 pagi itu, tujuh pekerja binaan terbunuh sementara empat lagi dikhuatiri masih tertimbus.

Bernama melaporkan, wakil gabungan pertubuhan masyarakat Penang Forum, Dr Lim Mah Hui dipetik sebagai berkata, kemungkinan berlaku insiden tidak diingini di tapak kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah dikemukakan sebanyak dua kali kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sejak awal tahun ini, tetapi tidak diendahkan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Pulau Pinang mendakwa bahawa kejadian tersebut adalah kerana kecuaian pemaju atau kontraktor yang sekarang ini berdepan dengan proses siasatan.

Inilah skrip-skrip biasa setiap kali berlaku tragedi di Malaysia. Masing-masing akan mengelak daripada dituduh bertanggungjawab dan akan menuding kepada pihak lain. Apatah lagi apabila Pulau Pinang diperintah oleh parti pembangkang, maka parti pemerintah yang selama ini terkenal korup pun mengambil kesempatan untuk menghentam kerajaan negeri, seolah-olah tidak pernah berlaku kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di bawah kerajaan UMNO.

Realitinya, baik pemerintahan pusat mahupun negeri, kedua-duanya adalah penganut ideologi kapitalisme, yang mementingkan manfaat di atas segala-galanya. Apa sahaja yang boleh mendatangkan hasil/keuntungan, maka semuanya lulus. Soal risiko keselamatan, alam sekitar dan lain-lain fikir kemudian.

Rakyat Malaysia pula terkenal mudah lupa. Berita-berita sensasi macam mana sekalipun akan tenggelam setelah beberapa ketika dan keadaan akan balik seperti sedia kala seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Semasa kejadian masih panas, proses tuding-menuding menjadi hidangan berita untuk seketika, tetapi tidak lama akan terus hilang dibawa arus. Inilah kitaran tragedi di Malaysia. Media pula memainkan peranan penting untuk menghangatkan atau menyimpan beku sesuatu berita. Maka sesiapa yang pegang media, dialah yang mengawal minda rakyat, khususnya rakyat yang masih belum celik politik.

Selagi negara diperintah oleh pemimpin yang tidak amanah dan selagi demokrasi-kapitalisme menjadi tunggak sistem pemerintahan negara, maka selagi itulah tragedi yang menimpa negara ini tidak akan berkesudahan.