Transgender: Perbuatan Paling Berperikemanusiaan Buat Mereka adalah Mengembalikan Mereka kepada Fitrah
Baru-baru ini, agensi berita AFP melaporkan pembukaan madrasah pertama untuk komuniti transgender Muslim di Bangladesh. Sekumpulan ulama yang diketuai oleh Abdur Rahman Azad yang membuka madrasah tersebut dilaporkan berkata, langkah tersebut bertujuan untuk “menamatkan diskriminasi” terhadap golongan transgender. Azad berkata, golongan yang dikenali sebagai “Hijra” itu terlalu banyak berdepan penderitaan dan “perlu menikmati semua hak yang sama seperti manusia lain”.
Persoalannya, siapakah yang menghalang mereka belajar dan mengamalkan Islam, jika bukan diri mereka sendiri!? Dengan memilih untuk menjadi transgender, mereka sendirilah yang telah menyelewengkan diri mereka daripada ajaran Islam! Jika mereka masih mengaku bahawa diri mereka Islam, mereka wajib untuk melaksanakan setiap kefardhuan yang terpikul atas bahu setiap individu Muslim yang mukallaf, dan ini termasuklah ‘menjadi seorang lelaki atau wanita yang sebenar’, bukannya dengan merubah diri atau berkelakuan dengan cara yang diharamkan oleh Islam.
Allah (swt) mencipta manusia sama ada lelaki atau wanita sahaja, dan Dia (swt) telah menetapkan hukum untuk keduanya, dan tidak ada hukum khusus untuk yang ketiga (transgender). Islam melarang lelaki berpakaian menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya. Jika berpakaian seperti itu sahaja sudah dilarang, apatah lagi merubah anggota tubuh untuk menjadi jantina yang berlainan. Seterusnya Islam turut melarang (mengharamkan) hubungan seks luar tabii seperti liwat dan musahaqah (lesbianism).
Islam tidak pernah mendiskriminasi mana-mana pihak, tetapi Islam menghukum mereka yang melanggar hukum Islam, termasuklah jika ada Muslim yang berlagak dengan cara menyalahi jantina atau menukar jantina mereka, atau melakukan liwat dan sebagainya. Namun demikian, Islam juga melarang penganutnya untuk melaksanakan hukum dengan tangan sendiri, bagi hukum wajib dilaksanakan oleh pemerintah (negara). Contohnya hukuman potong tangan bagi pencuri atau hukuman bunuh yang pelaku liwat, ini adalah hukuman yang wajib dijalankan oleh negara, bukannya oleh mana-mana individu Muslim.
Apa yang menjadi masalah sekarang ialah apabila Muslim memandang isu transgender ini dari kaca mata Barat iaitu dari aspek kebebasan atau hak asasi manusia. Lebih malang apabila ada ulama yang berpandangan demikian, yang mana atas dasar itulah mereka memberikan hak dan mengiktiraf golongan yang dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya ini. Ulama dan pemerintah seharusnya berusaha mengembalikan mereka kepada fitrah dan mengancam mereka dengan azab Allah jika mereka berdegil, bukannya dengan memberi pengiktirafan kepada mereka sebagai satu golongan jantina yang baru, dengan terus mengekalkan mereka dalam “bentuk” mereka yang diharamkan oleh Islam dan dilaknat oleh Allah!
Atas dasar itu, usaha untuk mengiktiraf atau menormalisasi golongan transgender mahupun LGBT merupakan suatu usaha yang jelas haram di sisi Islam. Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki, dan perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut apa yang Dia (swt) tetapkan. Sebarang bentuk penyimpangan daripada ketentuan Allah bukan sahaja akan mengundang dosa, malah sudah pasti mengundang pelbagai bala dan kebinasaan kepada manusia itu sendiri dan juga kepada masyarakat secara amnya.
Oleh yang demikian, para ulama sewajarnya membantu golongan transgender ini untuk kembali kepada fitrah yang bertepatan dengan Sunnatullah, agar mereka tidak melakukan keharaman-keharaman yang sinonim dengan gaya hidup golongan tersebut, bukannya dengan memberi hak keistimewaan dan tunduk kepada tuntutan mereka atas alasan menyantuni mereka atau memberi mereka satu kehidupan baru tanpa diskriminasi kepada mereka! Perbuatan yang paling berperikemanusiaan ke atas mereka ialah dengan mengembalikan mereka kepada fitrah mereka yang sebenar.
Dalam pada itu, idea-idea songsang kelompok LGBT yang berpaksikan prinsip kebebasan menurut acuan Barat pula wajib dibanteras. Sebarang bentuk usaha normalisasi agar amalan songsang ini diterima oleh umat Islam wajib dibongkar dan ditentang sehabis-habisnya. Kita juga perlu menyedari bahawa idea kebebasan sebegini hidup subur dalam sistem demokrasi sekular pada hari ini. Justeru, hanya dengan melakukan perubahan sistemik menuju ke arah penerapan sistem Islam secara kaffah sahaja-lah baru kerosakan ini dapat dicabut secara tuntas sehingga ke akarnya.
Wallahu a’lam.