Turki Dan Syria Berduka
Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turki dan utara Syria semalam telah merobohkan lebih 2000 bangunan dan sehingga kini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 7000 orang. Angka korban dijangkakan terus meningkat tatkala usaha cari dan menyelamat giat diusahakan.
Presiden Turki Tayyip Erdogan, menyifatkan gempa bumi itu sebagai bencana dan gempa bumi terburuk yang melanda negara itu sejak 1939 yang telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa. Disusuli gempa gempa di sepanjang garis Anatolia Utara di wilayah Duzce di utara Turki yang telah mengorbankan lebih 17,000 orang pada 1999. Bagaimanapun, gegaran semalam berlaku di sepanjang garisan Anatolia Timur. Turki terletak di persimpangan tiga plat tektonik yang berbeza. Jisim daratan ini, membentuk cangkerang terluar Bumi dan sentiasa bergerak dan bertembung antara satu sama lain. Gempa bumi sering berlaku di garisan sesar plat.
Musibah ini merupakan ujian yang hebat terutama kepada golongan fakir miskin yang tinggal di kawasan Syria dan Turki, namun kita doakan agar kesulitan mereka dipermudahkan, dan mereka istiqamah dengan kesabaran serta menerima qadha Allah (swt). Musibah sebegini boleh menghapuskan dosa mangsa, mengangkat mereka ke darjat syahid dan boleh memberi pengajaran kepada kita semua tentang ketundukan dan ketaatan kepada Allah سبحانه وتعالى – Pencipta alam semesta – sama ada dalam kehidupan peribadi, dalam keluarga dan masyarakat, atau dalam kehidupan ummah. Bencana alam seperti gempa bumi merupakan manifestasi jelas kelemahan dan ketidakupayaan manusia dalam dua aspek.
Pertama, kita mempunyai sedikit pengetahuan yang terhad, kurang ilmu ghaib yang di luar jangkauan manusia. Tiada yang tahu kecuali Pencipta manusia dan alam semesta.
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَا إِلاَّ هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلاَّ يَعْلَمُهَا وَلاَ حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الأَرْضِ وَلاَ رَطْبٍ وَلاَ يَابِسٍ إِلاَّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. [Al-An’am, 6:59]
Kedua, manusia tidak boleh menghentikan atau mengawal kejadian tersebut sekiranya Pencipta menghendakinya. Dialah Pemilik dan Pengawal semua makhluk dan segala-galanya adalah milik-Nya termasuk langit, bumi dan manusia.
إِنَّ اللَّهَ يُمْسِكُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ أَنْ تَزُولاَ وَلَئِنْ زَالَتَا إِنْ أَمْسَكَهُمَا مِنْ أَحَدٍ مِنْ بَعْدِهِ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا
Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. [Fatir, 35:41]
Rasulullah (saw) pernah bersabda, “Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin, sesungguhnya semua urusannya adalah baik dan itu tidak untuk seseorang kecuali orang mukmin. Jika dia mendapat kebaikan dia bersyukur dan itu baik untuknya. Jika ditimpa kemudharatan dia bersabar dan itu baik baginya” [HR Muslim].
Sekalipun kita berasa amat sedih dengan apa yang berlaku, sementara kita berdoa agar segala usaha menyelamat dipermudahkan, ini tidak menghalang kita daripada menilai rentetan tragedi dan malapetaka ini. Jika kedudukan geografi sebahagian wilayah Turkiye telah diketahui sebagai kawasan berisiko tinggi terdedah kepada gempa bumi, maka timbul persoalan, sejauh manakah kerajaan Turki telah mengambil semua langkah yang sewajarnya secara holistik bagi mengelakkan korban nyawa seperti menetapkan spesifikasi dan syarat untuk membina bangunan di kawasan berisiko ini? Apakah peranan dan langkah yang tuntas akan diambil oleh para pemimpin dunia Islam untuk memberi bantuan kepada rakyat di Syria dan sekaligus menyelamatkan dan mengeluarkan mereka daripada konflik peperangan yang telah diabaikan selama ini? Sungguh, amat berat tugas dan tanggungjawab para pemimpin umat Islam untuk memelihara harta dan nyawa umat ini dan mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak.