Ubah Hidup Rakyat! Dengan Asas Apa?
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Transformasi Kerajaan (PTK) berpandukan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang dilaksanakan secara telus, ikhlas, penuh tanggungjawab serta komitmen yang tinggi.
Ia berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban dan kerajaan tidak akan berhenti daripada melakukan perubahan ini selagi rakyat tidak merasai, menyentuh dan mengalaminya sendiri.
• Enam NKRA itu ialah meluaskan akses pendidikan berkualiti. Mengurangkan kadar jenayah. Memerangi rasuah. Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah. Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman. Menambah baik pengangkutan awam.
Sumber: Utusan Malaysia 29/01/10
Ubah Hidup Rakyat! Dengan Asas Apa?
Pelbagai janji dilontarkan oleh kerajaan kepada rakyat untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan begitu prihatin kepada usaha untuk meningkatkan kehidupan rakyat. Persoalannya ialah apakah asas yang akan digunakan untuk mengubah hidup rakyat? Apakah kita akan dapat meletakkan harapan yang tinggi kepada usaha yang dilakukan oleh Najib sekiranya asas yang digunakan masih tetap sama – masih sekularisme? Bukankah suatu perkara yang tidak bijak jika seseorang itu mengulang-ulang laluan yang sama untuk keluar dari masalah yang dihadapinya tanpa pernah cuba melihat jalan mereka yang telah berjaya. Bagi seorang muslim, siapakah yang paling layak dijadikan contoh? Yang berjaya dalam perjuangannya untuk mengubah seluruh kehidupan manusia? Sudah pasti tidak ada yang lain kecuali Rasulullah SAW. Bagindalah “figure” yang telah terbukti mampu membawa perubahan yang sebenarnya kepada kehidupan masyarakat jahiliyyah. Firman Allah SWT “Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. [TMQ Al-Jumu’ah (62) : 2]. Yang pastinya perubahan yang hakiki itu perlulah bermula dari asas yang benar, iaitu asas Islam. Bersediakah Najib untuk melakukan perubahan yang mendasar ini? Atau apakah beliau hanya sekadar mengubah kulit luaran masyarakat yang sebenarnya tidak akan dapat menjanjikan apa-apa perubahan?