Umat Islam Berpecah Lagi Di Sudan
JUBA 9 Jan. – Berjuta-juta penduduk di selatan Sudan mula mengundi hari ini dalam satu pungutan suara yang dijadual berlangsung selama seminggu bagi memutuskan sama ada mereka hendak merdeka atau terus berada di bawah pemerintahan Khartoum.
Namun, pengutan suara itu dijangka membawa perpecahan kepada negara terbesar di Afrika ini serta penubuhan negara terbaru di dunia yang juga akan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-193.
Presiden selatan Sudan, Salva Kiir mengisytiharkan pengundian itu sebagai ‘detik bersejarah’ untuk penduduknya apabila beliau menjadi antara yang paling awal mengundi di ibu kota wilayah, Juba semasa pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi (1 petang waktu Malaysia).
Beribu-ribu penduduk selatan Sudan berbaris sejak malam tadi untuk menjadi kelompok awal menunaikan hak bagi menentukan sama ada wilayah miskin di selatan Sudan itu patut berpisah daripada pemerintahan pusat di Khartoum.
“Inilah detik bersejarah yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk di selatan Sudan,” kata Kiir, sambil menunjukkan jarinya yang mempunyai kesan dakwat untuk membuktikan beliau sudah mengundi.
Duta-duta Amerika Syarikat (AS), Scott Gration dan John Kerry serta bintang Hollywood, George Clooney memerhatikan Kiir mengundi di sebuah pusat pengundian yang didirikan di tugu peringatan pemimpin pemberontak, John Garang di sini.
Pusat pengundian dijadual ditutup pada 5 petang (10 malam waktu Malaysia), pada hari pertama pungutan suara selama seminggu yang menjadi tunjang perjanjian damai utara-selatan 2005 bagi menamatkan konflik paling lama di Afrika.
Kerry bersama-sama Gration giat menjalankan kempen diplomasi selama berbulan-bulan bagi membolehkan pengundian bersejarah itu diadakan, menyifatkan pungutan suara itu sebagai ‘babak baru’ bagi Sudan.
Kiir memberitahu penduduk di selatan menjelang pengundian itu bahawa tidak ada alternatif melainkan hidup secara aman dengan penduduk di utara.
“Pungutan suara ini bukan menandakan berakhirnya perjalanan tetapi permulaan satu perjalanan baru,” katanya merujuk kepada tempoh peralihan enam bulan sebelum pengiktirafan sebagai sebuah negara merdeka, seperti diperuntukkan oleh perjanjian damai 2005.
Presiden Sudan, Omar al-Bashir telah memberi jaminan, beliau akan menghormati keputusan pungutan suara jika pengundian itu ‘bebas dan telus’. – AFP
Sumber : Utusan Online 10/01/2011
Krisis Sudan – Sampai bilakah umat Islam semakin berpecah?
Krisis di Sudan semakin parah. Ia semakin parah bukanlah kerana jumlah korban akibat perang saudara yang telah berlaku puluhan tahun semakin meningkat, tetapi ia semakin membarah kerana misi utama Barat dalam memecah- mecahkan kesatuan umat hampir tercapai. Kaum kuffar Barat pastinya inginkan plot yang mereka ciptakan, yang dimainkan oleh agen mereka, Omar al-Bashir agar menjadi kenyataan. Dengan proses undian “kemerdekaan” yang dikendalikan oleh PBB ini, sekiranya berjaya, akan menyaksikan kelahiran negara baru di bawah naungan PBB yang ke- 193. Pastinya, pemecahan ini amat didambakan Barat atas negeri- negeri umat Islam bagi melemahkan kesatuan umat Islam.
Sudan yang majoriti umatnya beragama Islam (lebih 70%), merupakan negeri umat Islam terbesar di benua Afrika dan merupakan negeri yang kaya raya dengan sumber alam yang belum diterokai seperti minyak dan gas, emas, perak, bijih besi malahan uranium! Pastinya kekayaan ini menarik minat kuffar Barat untuk meratahnya disamping menyuntik ideologi mereka (kapitalisme) ke dalam benak umat manusia dan menjauhkan Islam dari hati setiap kaum muslimin.
Ingatlah wahai pemimpin- pemimpin Sudan bahawa umat Islam wajib bersatu dan haram berpecah belah. Perpecahan ini pasti akan menimbulkan pelbagai jenis penyakit seperti nasionalisme, patriotisma dan liberisma yang memudahkan kuffar Barat untuk mencengkam umat Islam dalam genggaman mereka. Ingatlah perintah Allah yang menyeru agar semua umat Islam bersatu:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya”. [TMQ A-li ‘Imraan (3) : 103].
Semoga Allah memenangkan agamaNya dalam masa terdekat, dan menyatukan seluruh negeri umat Islam di bawah satu payung pemerintahan Khilafah.