Undang-undang lantik MB ingin dipinda?
Kaji cara lantik pemimpin negeri
Menteri anggap undang-undang sedia ada sudah lapuk, timbulkan masalah
PUTRAJAYA: Undang-undang yang ketinggalan zaman, khususnya berkaitan pelantikan pemimpin kerajaan negeri, wajar dikaji semula supaya tidak timbul masalah pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim.
Beliau berkata, kajian semula itu perlu kerana ada antara undang-undang negeri itu digubal pada awal 1900-an dan sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini.
“Ada kalanya sesuatu perkara itu menjadi rumit kerana kita ada undang-undang yang ketinggalan zaman dan lapuk. Walaupun ia undang-undang lama, ia perlu dipatuhi kerana masih wujud. Jika ada keperluan memindanya atau jika ia tidak sesuai pada zaman ini, ia mesti dipinda,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelantikan Menteri Besar Terengganu yang menyaksikan istana dan parti pemerintah tidak sepakat berhubung pilihan penjawat dan kuasa untuk melantik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.
Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai Menteri Besar Terengganu manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menamakan semula Datuk Seri Idris Jusoh untuk jawatan itu.
Berikutan itu, Perdana Menteri menyatakan pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru menggantikan Idris, tidak kena dari segi Perlembagaan.
Ditanya apakah beliau sedang meneliti perkara itu, Zaid berkata: “Ya, sudah tentu… sebilangan Perlembagaan negeri digubal pada 1911, 1920… Saya percaya Peguam Negara juga sedang meneliti perkara itu, begitu juga beberapa kementerian. Kita perlu beri tumpuan kepada isu ini bagi mengelak konflik”.
Bagaimanapun, Zaid menegaskan, perkara itu perlu diselesaikan secara rundingan bagi mencapai kesepakatan antara kerajaan yang memerintah dan pihak istana.
“Kita kena bincang perkara ini dan dapatkan kesepakatan bagaimana kita mengharmonikan harapan kerajaan demokratik dengan pihak istana. Jika ada konflik, ia perlu diselesaikan secara rundingan dan itulah yang perlu kita lakukan,” katanya.
Mengenai perubahan terhadap badan kehakiman negara, Zaid berkata, Jemaah Menteri semalam mengulangi komitmen untuk melaksanakan cadangan itu dan beliau akan menyediakan Kertas Kabinet selepas kajian teliti, termasuk mengambil kira laporan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kesahihan klip video yang didakwa membabitkan peguam Datuk VK Lingam,
Beliau berkata, perubahan yang dicadangkan beliau itu bukan sekadar kosmetik tetapi secara dasar bagi memperkukuhkan badan kehakiman negara.
“Saya mahu melihat badan kehakiman diperkasakan dengan mereka yang layak dan memiliki strategi. Saya mahu melihat permulaan yang baru,” katanya.
Ditanya apakah Kabinet sudah membuat keputusan berhubung saranan beliau supaya kerajaan memohon maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, berhubung pemecatannya daripada jawatan itu pada 1988, Zaid berkata, pandangan beliau belum dipertimbangkan.
“Ramai lagi (menteri) yang lebih berpengalaman dan bijak daripada saya, kita kena tunggu keputusan,” katanya.
Merujuk permohonan maaf Kerajaan Australia kepada penduduk pribumi negara itu dan permohonan maaf kerajaan Afrika Selatan kepada penduduk kulit hitam berhubung dasar aparteid, beliau berkata, ia bukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerajaan.
“Ia adalah sesuatu yang boleh kita (kerajaan) lakukan, terpulang kepada pemimpin,” katanya.
Ditanya apakah pentadbiran Abdullah atau Tun Dr Mahathir Mohamad yang wajar membuat permohonan maaf itu, Zaid berkata: “Anda tidak boleh mengharapkan Dr Mahathir untuk memohon maaf… pentadbiran itu sudah tiada lagi.”
Mengenai Undang-Undang Antilompat Parti yang dicadangkannya, Zaid berkata, beliau belum mengemukakan cadangan terperinci kepada Kabinet.
Zaid juga berkata, beliau tidak berminat untuk memegang atau bertanding merebut sebarang jawatan dalam Umno.
“Saya menyertai kerajaan kerana saya mahu membantu. Saya hanya mahu tumpukan kepada tugas ini,” katanya sambil menambah beliau sedar ada pihak yang tidak suka dengan pandangan beliau.
Sumber: Berita Harian 27/03/08
Ulasan:
Bila dah berlaku konflik, khususnya yang menjejaskan kepentingan UMNO, barulah timbul isu undang-undang sudah lapuk dan perlu diganti. Selama ini, undang-undang lapuk inilah yang diagung-agungkan dan Malaysia sering didakwa UMNO sebagai sebuah model negara demokrasi dan negara Islam terbaik, dengan undang-undang lapuk ini. Inilah pemikiran kelompok-kelompok sekular di dalam UMNO yang hanya hidup untuk meraih manfaat dunia tanpa mempertimbangkan dosa dan pahala. Mereka tidak pernah terfikir untuk menukar undang-undang lapuk ini dengan undang-undang Islam, namun mereka pastinya akan tukar dengan undang-undang yang akan memberi manfaat kepada UMNO.
Krisis yang belum berkesudahan di antara kerajaan persekutuan dan juga pihak istana negeri ini tidak lain adalah berpunca dari undang-undang warisan penjajahan British. Perlembagaan yang digubal oleh British antara lain menetapkan bidang kuasa di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Memang sudah menjadi dasar British yang kufur dan musuh Islam, undang-undang yang mereka ‘tinggalkan’ ini adalah bagi memastikan sistem kufur mereka terus dianuti oleh umat Islam. Bezanya, dulu merekalah yang menerapkannya secara langsung, kini, lebih buruk, ia diterap dan dipertahankan oleh pemimpin Muslim yang ada. Semasa pemerintahannya, British telah pun menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu sebatas menjaga agama dan upacara keagamaan sahaja. Hukum Islam hanya dibenar diamal dalam kes nikah kahwin, cerai, harta pusaka, penjagaan anak dan seumpamanya. Itu sahaja. Selebihnya undang-undang hendaklah dibuat sendiri mengikut suara majoriti, tidak perlu mengikut undang-undang Islam.
Begitulah natijahnya apabila berhukum dengan hukum buatan manusia, lompang dan keburukannya ada di mana-mana. Di dalam kes terbaru ini pertikaian berlaku apabila pihak istana mengguna pakai perlembagaan negeri Terengganu tahun 1919 untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai menteri Besar Terengganu yang baru. Manakala Perdana Menteri pula melalui bidang kuasanya sebagai ‘penasihat’ telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Menteri Besar yang lama. Situasi ini sebenarnya saling tak tumpah sewaktu pesuruhjaya British memerintah dahulu, di mana British (sebagai pemerintah) selalunya akan mengenepikan istana dalam soal pemerintahan.
Selama mana umat Islam itu masih berhukum dengan hukum Jahiliyyah, membuat hukum sendiri dan tidak kembali kepada Al-Quran dan Sunah, maka selama itulah perpecahan dan murka Allah akan tertimpa ke atas mereka. Firman Allah SWT,
“Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah akannya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan itu menceraiberaikan kamu dari jalanNya” [TMQ Al-An’aam (6):153].