Wajarkah Kemenangan Bola Sepak Diberi Hadiah?
Kelantan hadiahkan pakej umrah kepada ‘Red Warriors’
KOTA BHARU, 4 Nov: Kerajaan Kelantan akan membiayai pakej umrah kepada pasukan bola sepak negeri itu sebagai ‘hadiah’ kerana telah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, yang akan berlangsung Sabtu ini.
Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan ‘wang saku’ sebagai hadiah untuk perbelanjaan sepanjang berada di sana.
Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.
Beliau seterusnya berkata selain kesemua pemain, turut serta dalam pekej itu penolong-penolong jurulatih, petugas, pengurus dan timbalan pengurus serta lain-lain yang terlibat.
Bagaimanapun menurut Ahmad lagi, jurulatih pasukan ‘Red Warriors’ B Sathianathan pula akan dibayar sagu hati sebagai tanda penghargaan untuknya.
“Kerana dia bukan beragama Islam, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan wang sagu hati kepadanya sebagai hadiah terhadap kejayaannya yang semakin memberangsangkan,” ujarnya.
Sementara itu, mesyuarat exco yang bersidang hari ini juga turut mengistiharkan cuti peristiwa negeri Kelantan pada hari Ahad, 8 November ini sebagai meraikan kejayaan pasukan bola sepak Kelantan memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia 2009.
Menurutnya, cuti berkenaan diberikan sebagai mengambil kira faktor keselamatan di jalan raya sama ada kepada pemain, penonton atau kepada semua yang terlibat.
Jelasnya, semoga dengan cuti peristiwa yang diputuskan itu penyokong akan dapat mengikuti perlawanan itu dengan baik atau sewaktu pulang ke rumah masing-masing.
Pada masa yang sama beliau menasihati penyokong bola sepak Kelantan supaya berdisiplin serta mengikuti perlawanan akhir bola sepak itu dengan semangat kesukanan.
Jelasnya, kerajaan negeri, rakyat Kelantan keseluruhannya mengharapkan pasukan berjaya membawa kemenangan itu.
“Apa yang penting kita jangan terlalu ghairah, pergi dengan keadaan yang tenang disamping membawa semangat kesukanan begitu juga sewaktu pulang ke kampung halaman keesokan harinya,” ujarnya.
Terdahulu beliau memberitahu kerajaan negeri turut merakamkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang telah berjaya membawa skuad merah putih itu ke pertandingan akhir pada 7 November ini.
Wakil-wakil kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun, Anggota Parlimen dijangka akan hadir menyaksikan perlawanan itu.
Sumber: harakahdaily.net
Menyibukkan Diri Dengan Perkara Yang Lagha
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan? Nabi saw menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR. Imam Muslim].
Nampaknya dari hari ke hari, kerajaan Negeri Kelantan sudah semakin mengikuti rentak politik lawannya yang selama ini selalu mengiktiraf dan memberikan habuan terhadap perkara-perkara yang berbau ashobiyyah, baik untuk negeri mahupun negara Malaysia amnya. Dan dalam hal ini ia melibatkan pasukan bola sepak Negeri Kelantan yang berjaya melangkah ke peringkat akhir Liga Malaysia. Umum mengetahui, bahawa sukan ini (bola sepak) selalu dicemari dengan insiden-insiden yang ekstrem seperti pergaduhan, kelakuan liar, pertumpahan darah, rusuhan dan pelbagai keganasan lainnya. Peminat bola sepak tanah air juga tidak lepas dari situasi yang sama. Baru-baru ini, ketika Kelantan berentap dengan Perlis di peringkat separuh akhir, perkara yang sama juga berlaku, di mana dentuman mercun saling sabung menyabung di antara kedua-dua penyokong negeri Kelantan dan Perlis yang dimenangi oleh Kelantan dengan agregat 4-1. Malah sebelum ini juga polis telah menahan tiga orang termasuk seorang guru untuk membantu menyiasat berpuluh-puluh lagi suspek kerana disyaki terbabit merusuh di luar Stadium Sultan Muhammad IV pada 8 April yang lalu [UM 09/04/09].
Sukan di dalam Islam disebut sebagai lahwun. Secara ringkasnya, terdapat 2 jenis lahwun di sisi syarak iaitu lahwun yang mubah dan lahwun yang haram. Lahwun yang mubah adalah apa sahaja sukan yang bertujuan menguatkan fizikal muslim untuk berjihad dan menguatkan tubuh badan seperti berkuda, memanah, menembak, merejam lembing, renang, lari, gusti, silat dan lain-lain. Rasulullah SAW pernah bersabda :
“Hendaklah kalian sentiasa berlatih memanah kerana ia merupakan sebaik-baik lahwun” [HR. Al-Bazzar, At- Thabrani dan Sa’ad].
Para ulama silam memakruhkan jika seseorang hanya sekadar menyibukkan diri untuk bersukan dan alpa dengan kewajipan sebenar sebagai seorang muslim. Di sinilah letaknya jenis sukan yang kedua iaitu yang haram. Lahwun yang diharamkan di dalam Islam adalah segala permainan mubah tetapi mengarah kepada yang haram seperti berjudi dan aktiviti yang wujud di dalamnya percampuran (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan dan yang seumpamanya. Ini sesuai dengan kaedah syara’; “Segala sesuatu yang menghantarkan kepada yang haram, hukumnya haram”.
Jenis sukan yang mubah tetapi menjadi haram juga adalah lahwun munadzzamun (hiburan dan permainan yang terorganisasi) bermaksud suatu hiburan dan permainan yang telah diatur sedemikian rupa dengan pelbagai jenis program serta waktu penyelenggaraannya. Untuk itu maka dilantik beberapa orang pegawai, sehingga menjadi suatu misi penting menurut pandangan para pengaturnya. Cirinya yang paling menonjol adalah ia bersifat umum dan menyeluruh di pelbagai sektor kehidupan serta melibatkan seluruh lapisan masyarakat. Hakikatnya, ia memiliki tujuan yang dapat menimbulkan berbagai macam bahaya terhadap umat dengan tidak memerhatikan tolok ukur yang benar iaitu halal dan haram. Permainan seperti ini mempunyai pasukan tertentu, pelatih, pengurus pasukan untuk peringkat kampung, mukim, daerah, negeri hingga peringkat kebangsaan bahkan ke peringkat benua dan antarabangsa. Setiap peringkat mempunyai pegawai yang tetap, masa-masa latihan dan jadual pertandingan sesuai dengan turutan di atas. Setiap pasukan mempunyai penyokong yang setia yang akan menghabiskan seluruh tenaga dan wang hanya untuk menyaksikan aksi pasukan idola mereka dan seterusnya mengharap akan kemenangannya. Mereka bermain ataupun menonton tanpa mengendahkan hukum-hukum syara’ baik dalam ucapan, tingkah laku, berpakaian (apatah lagi wanita), mahupun penggunaan waktu. (baca selengkapnya: http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/271-sn073-bola-sepak-pesona-yang-melalaikan)
Seharusnya Negeri Kelantan yang selama ini diperintah oleh sebuah parti politik Islam membelanjakan harta dan kekayaan yang ada dengan cara yang makruf seperti yang dituntut oleh syariat. Bukanlah salah memberi hadiah kepada orang Muslim untuk melakukan Haji atau Umrah, kerana aktiviti menunaikan haji dan Umrah tersebut adalah berupa ibadah, dan pelakunya (termasuk yang menyumbangkan wang) akan mendapatkan pahala di sisi Allah SWT. Namun persoalannya adalah, adakah satu tindakan yang bijak jika hadiah tersebut diberikan kepada sekelompok orang yang berjaya dalam perkara yang maksiat? Apakah ia satu tindakan wajar dalam pertimbangan syariat Islam? Bukankah terdapat ramai lagi rakyat yang tidak mampu untuk melaksanakan haji ke Baitullah. Namun hajat mereka masih belum tercapai lantaran kesempitan hidup dan ekonomi yang susah di dalam sistem Kapitalis. Maka dari itu, kami menyeru kepada seluruh kaum Muslimin dan peneraju Negeri Kelantan agar memfokuskan kembali agenda kita kepada perjuangan Islam semata-mata. Janganlah kita alpa dan leka tentang tanggungjawab dan peranan setiap Muslim termasuklah para cerdik pandai untuk senantiasa bermuhasabah di atas kebenaran, dan berjuang untuk menegakkan syariat Islam secara kaffah. Diharap kita semua tidak akan masuk ke dalam lubang biawak yang telah dipasang oleh musuh-musuh Islam buat kesekian kalinya. Wallahu’alam