Wajarkah Najib diberi ampun?
Setelah tewas dalam perjuangannya membuat semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya, Datuk Seri Najib Razak tinggal satu lagi peluang untuk memerdekakan dirinya daripada tirai besi.
Peluang tersebut ialah sekiranya permohonan pengampunan diraja yang telah dikemukakannya pada tahun lalu, diperkenankan. Spekulasi sama ada Najib akan bebas atau akan terus meringkuk dalam penjara semakin hangat diperkatakan sejak keputusan 4-1 Mahkamah Persekutuan terhadapnya baru-baru ini.
Apa yang menariknya, beberapa pemerhati telah bermain-main dengan spekulasi tersebut dengan memasukkan “campur tangan” Anwar Ibrahim dalam hal ini. Dengan kata lain, suara-suara sembang di kedai kopi atau di mana sahaja kebanyakannya menyatakan “kehendak” Perdana Menteri ke-10 itulah yang akan menentukan samada Najib bakal kembali menghirup udara kayangan, atau kekal bernafas dalam bangunan batu.
Dari satu sudut, ramai yang tidak berapa yakin bahawa Lembaga Pengampunan adalah “bebas” daripada bayangan Perdana Menteri, melihat kepada track record campur eksekutif dalam apa jua keputusan yang melibatkan pembesar-pembesar tanah air selama ini. Manakala dari sudut lain, siapa pun yang menjadi Perdana Menteri akan berhempas pulas menafikan campur tangannya dalam hal-hal sedemikian.
Tidak kiralah apa yang akan berlaku, rakyat tetap ada penilaian dan analisisnya yang tersendiri, dan hakikatnya rakyat sudah semakin matang dengan permainan para politikus, dan semakin cekap dalam membaca arah aliran politik seseorang Perdana Menteri.
Apa pun keputusan Anwar, atau keputusan Lembaga Pengampunan, atau keputusan YDPA, sekiranya Najib bebas, maka kesimpulan yang dapat dibuat ialah, segala proses perbicaraan dan penghakiman ke atas Najib selama ini akan menjadi umpama debu yang diterbangkan angin.
Ketepikan undang-undang sekular tinggalan penjajah, sebagai Muslim, apa yang penting untuk kita persoalkan atau fahami ialah, wujudkah proses seumpama pengampunan diraja ini dalam Islam?
Berdasarkan hukum Islam, setelah seseorang qadhi (hakim) menjatuhkan keputusannya ke atas seseorang pesalah, maka keputusannya bersifat mengikat, atau dengan kata lain wajib dilaksanakan. Tidak ada rayuan lagi ke mana-mana institusi dan tidak ada siapa pun yang boleh memberi pengampunan sesudah itu. Hukuman yang dijatuhkan oleh qadhi wajib dijalankan.
Dalam Islam, tidak ada seorang pun yang lebih tinggi daripada hukum, dan tidak seorang pun yang mempunyai hak mengampuni pesalah, setelah hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya. Tidak kiralah samada seseorang itu lelaki atau wanita, kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata, semuanya sama sahaja di hadapan hukum Islam.
Dalam sejarah Jahiliah, memang orang-orang besar sering terlepas daripada hukuman, dan ketidakadilan di antara dua darjat ini telah ditekankan oleh Rasulullah (saw). Bagida (saw) pernah diminta oleh Usamah bin Zaid agar mengampuni seorang perempuan terhormat daripada suku Makhzumiah yang terbukti telah mencuri. Menjawab kepada permintaan Usamah ini, Rasulullah (saw) bersabda dengan cukup tegas, sebagai peringatan untuk umatnya:
إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
“Sesungguhnya kebinasaan atas umat-umat sebelum kalian, jika orang yang mulia dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya, akan tetapi jika orang yang rendah dalam kalangan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Dzat yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya! Demikianlah akhirnya tangan perempuan Makhzumiah itu dipotong” [HR Bukhari].
Berdasarkan hadis ini, sangat jelas bahawa Rasulullah (saw) sendiri tidak boleh memberi pengampunan kepada orang yang telah terbukti bersalah, untuk kesalahan yang di dalamnya terdapat hak-hak Allah.
Berbeza jika kesalahan membunuh di mana terdapat hak manusia di dalamnya, yang mana Islam telah memberikan kekuasaan (berupa pilihan) kepada si waris untuk memaafkan si pesalah.
Justeru, jika dinilai berdasarkan Islam, kes Najib ini sebenarnya telah lama “selesai” dan sudah tidak ada apa-apa rayuan lagi yang boleh dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu.
Jika Rasulullah (saw) sendiri tidak boleh mengampuni pesalah, siapakah yang kedudukannya lebih tinggi daripada Rasulullah (saw) sehingga dia boleh mengampuni pesalah?
Sesungguhnya hukum Islam sangat berbeza dengan hukum sekular dalam apa jua hal. Inilah yang mesti difahami oleh setiap Muslim, malah harus diperjuangkan oleh setiap Muslim, iaitu penegakan hukum Allah secara kaffah, dengan mencampakkan hukum sekular tinggalan British ini sejauh-jauhnya.
Kita telah menyaksikan dalam sistem sekular hari ini berapa ramai pembesar yang telah terlepas daripada hukuman hanya semata-mata mereka adalah pembesar, persis sebagaimana yang berlaku pada umat terdahulu yang telah dibinasakan oleh Allah.
Justeru, satu-satunya jalan agar Allah menjauhkan kita daripada kebinasaan ialah dengan kembali menerapkan hukum Allah, dan untuk menerapkannya sudah pasti kita memerlukan sebuah Negara Islam (Khilafah) kerana hukum Allah tidak akan terterap di dalam negara demokrasi yang ada pada hari ini.
Wallahu a’lam.