Wanita dan Peradaban Islam
Mukadimah
Sejarah Peradaban menyaksikan bahawa wanita adalah antara tulang belakang kepada pembangunan sebuah peradaban. Dunia telah melangkaui dan melalui pelbagai pembangunan peradaban bersama wanita-wanita yang hebat. Namun pengiktirafan wanita dan ‘bisanya’ di pandang sepi oleh peradaban-peradaban yang lalu. Banyak cerita sedih dan pilu apabila ia terkait dengan wanita. Malah ada diantara peradaban yang meletakkan wanita hanya sebagai “hiasan” untuk memperindah sebuah lagenda. Kedatangan Islam yang di bawa oleh Muhammad SAW pada 1442-H lalu telah membawa sebuah peradaban yang sangat gemilang dan membawa wanita ke mercu yang mulia. Kehormatan mereka diangkat ke tahap yang maksima sehingga kewujudan wanita itu amat dihargai. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW penghormatan terhadap wanita diteruskan oleh khalifah-khalifah yang ada selepas Baginda SAW.
Wanita sebelum kedatangan Islam
Keadaan dan nasib wanita sebelum kedatangan Islam berada dalam keadaan yang amat menyedihkan serta berlakunya ketidak adilan secara berleluasa. Pada zaman Jahilliyah arab misalnya, kelahiran anak perempuan merupakan sesuatu yang amat dikesali. Malah bayi perempuan di tanam hidup-hidup demi menutup aib akibat kelahiran ini. Wanita dianggap sebagai makhluk hina, lemah, kotor, tidak berharga, malah memberi aib kepada keluarga. Selain itu, terdapat juga pelbagai kepercayan kuno warisan yang mengganggap wanita adalah pembawa sial dan sumber laknat. Di sebahagian peradaban lain, wanita ketika kedatangan haid akan dibuang keluar daerah untuk sementara waktu kerana wanita ketika itu dianggap hina, lemah dan kotor. Malah ada sesetengah peradaban menganggap wanita adalah makhluk yang tidak mempunyai roh. Mereka juga tidak mendapat harta pusaka atau warisan. Betapa hinanya pandangan dan kedudukan wanita di mata mereka ketika itu.
Wanita selepas kedatangan Islam
Selepas Madinah menjadi ibu kota Peradaban Islam. Fitrah wanita kembali diangkat sehingga ia menjadi mercu kehormatan yang wajib dijaga. Di sisi Islam, wanita dan lelaki adalah sama. Setiap daripada mereka menggalas tanggungjawab yang adakalanya khusus mengikut gendernya. Yang membezakan antara kedua-dua gender ini adalah nilai taqwanya. Ini jelas sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rabb yang yang Maha Pencipta dalam kitab sucinya:
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)” [TMQ al-Hujurat(49): 13]
Islam membawa dimensi dan momen yang indah buat kaum wanita. Fitrahnya di kembalikan. Kehormatannya dijaga begitu juga kebajikannya. Malah wanita bebas menjadi dirinya. Wanita diizinkan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya selagi ia dalam cakupan yang tidak melanggar hukum Syarak. Layanan yang hebat ini hanya ditemukan dalam sejarah peradaban Islam. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW: “Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin(pengurus) rumah suaminya dan anak-anaknya, ia bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya”. [HR Muslim].
Wanita selaku insan yang memakmurkan peradaban di benarkan untuk menuntut ilmu setinggi-tingginya tanpa halangan kewangan atau akademik. Wanita yang berilmu pasti melahirkan generasi unggul penerus peradaban mulia ini. Selain itu, wanita juga terlibat dengan kewajiban berdakwah kepada kebenaran, memuhasabah pemimpin serta melakukan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat.
Sebagai satu contoh bagi menunjukkan hebatnya sebuah peradaban Islam ini, sejarah menyaksikan bagaimana Daulah Islam menjaga maruah seorang wanita. Pada zaman Khalifah Al Muktasim (833-842M) sejarah telah menyaksikan bagaimana seorang pemimpin telah membela kehormatan wanita. Al-Muktasim adalah seorang Khalifah yang hidup dalam zaman Keemasan Islam iaitu zaman khilafah Abbasiyyah (752- 1258M). Beliau mempersiapkan bala tenteranya dan melancarkan jihad ke atas Rom kerana telah menahan dan cuba mencabul kehormatan seorang muslimah di Amuriyyah. Imam Sayuti dalam Tarikh al-Khulafa’ menulis bahawa 3000 tentera Rom telah terkorban dan 30,000 yang lain ditawan di dalam peperangan ini. Muslimah tersebut berjaya dibebaskan dan kemuliaannya dikembalikan.
Pesona Wanita terhadap Peradaban Islam
Kegemilangan suatu peradaban tidak pernah terlepas dari peranan seorang ibu yang berjaya memelihara dan mendidik anak-anaknya dengan tekun, sabar, penuh kasih sayang sehingga menjadi generasi-generasi yang kuat dan berkualiti sama ada dari segi iman, kecerdasan dan berjiwa pemimpin. Tidak mungkin ada seorang penghafal al-Quran jika tidak ada orang tua terutamanya ibu yang mengajarkannya, tidak mungkin ada seorang ahli hadith jika tidak ada seorang ibu yang melatihnya, tidak ada seorang yang soleh dan baik jika tidak ada ibu yang mengajarkan kebaikan kepadanya.
Kehebatan peradaban Islam sampai hingga ke Nusantara. Selepas kewafatan Rasulullah SAW khalifah- khalifah (Ar Rasyiduun, Umawiyyah, Abassiyyah dan Uthmaniyyah) sesudah baginda terus membawa peradaban ini ke Nusantara. Islam yang mengangkat kehormatan kaum wanita ini telah bercerita bagaimana Islam telah melahirkan wanita hebat walau dimana ia sampai termasuklah di Nusantara. Tidak ada jawapan yang tepat bagi memastikan siapakah yang pertama sekali menyebarkan Islam di Nusantara kerana tiada bukti sahih yang ditemui bagi memastikan bilakah tarikh kedatangan mereka dan golongan manakah yang terlebih dahulu menyebarkan Islam. Walau bagaimanapun, dengan berpandukan beberapa penemuan batu bersurat dan catatan sejarah yang dibaca, ahli-ahli sejarawan tempatan telah membuat pelbagai teori kedatangan Islam ke Nusantara . Namun yang menariknya tetap ada tokoh wanita yang lahir di Nusantara dari Peradaban Islam ini. Wanita terus berada di tahap kemuliaannya sehinggalah berakhirnya masa keagungan Peradaban Islam ini pada 3 Mac 1924. Umat Islam sudah tiada lagi sandaran dan harapan. Selepas sahaja aura peradaban Islam itu dihilangkan dari benak kaum muslimin, wanita kembali derita dan sengsara. Sultan adalah gelaran kepada kepimpinan di Nusantara yang menerima Islam sebagai Perlembagaan dan Undang-undang. Sebagai contoh “Qanun Melaka”. Kesultanan Melayu yang lalu memainkan peranan besar bukan saja sebagai pusat penyebaran, perkembangan dan pendidikan ilmu dalam abad ke-14 dan 15 masihi, bahkan mencorak peradaban Islam di alam Melayu dan Nusantara.
Penutup
Realiti hari ini menyaksikan rata-rata negeri umat Islam Nusantara “kehilangan” jatidiri Muslimahnya kerana sudah tiada lagi sebuah institusi Khilafah yang menjaga kemuliaan Peradaban Islam dan kemuliaan wanitanya. Umat masih dijajah di bawah belenggu politik Barat walaupun ditampal sulam dengan sebahagian nilai-nilai Islam. Peradaban Islam telah dicemari dengan serangan pemikiran terstruktur dari Barat. Ini merupakan malapetaka dan bencana yang luar biasa kepada umat Islam khususnya kaum Muslimah, ini kerana wanitalah yang melahirkan Generasi. Rosak Muslimah, rosaklah generasi. Maka dengan keadaan tersebut kemuliaan Islam tercabut dengan lebih mudah. Oleh yang demikian, mengerahkan segala kudrat dan kesungguhan dalam usaha mengubah kearah landskap politik Islam agar peradaban itu kembali merupakan suatu tuntutan mendesak bagi umat Islam pada saat ini. Sesungguhnya, kesempurnaan iman itu adalah apabila kita mengambil dan mengamalkan Islam dalam semua aspek kehidupan, bukannya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Allahu’alam.