Perpaduan Yang Bersifat Sementara

altPupuk perpaduan melalui sukan – Rosmah
KUALA LUMPUR – Bidang sukan adalah pentas dan wadah terbaik bagi memperkukuhkan perpaduan kaum serta memupuk semangat cintakan negara selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor justeru berharap, Kementerian Pelajaran memastikan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mencapai matlamat itu selain objektif penubuhannya 13 tahun lalu.

Beliau berkata, kewujudan SSBJ yang melatih generasi muda untuk cemerlang dalam bidang sukan seharusnya menjadi pendekatan berkesan dalam mencapai matlamat tersebut.

”Saya berharap budaya majmuk ini dapat diamalkan dan diterjemahkan dengan baik di SSBJ bukan sahaja di kalangan pelajar malah semua peringkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Young Olympian Nite dan penyampaian Anugerah Gemilang 2009 SSBJ di sini, kelmarin.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Rosmah berkata, semua pihak perlu melihat semula sukan secara lebih menyeluruh demi masa depan bidang itu.

”SSBJ telah wujud selama 13 tahun dan berjaya menabur bakti dan jasa yang tidak ternilai kepada negara. Maka saya rasa tiba masa kita perlu membuat satu lonjakan berganda.
”Diharap Kementerian Pelajaran dapat melihat dari perspektif lebih luas dan terbuka supaya SSBJ berada di landasan lebih ampuh dan betul,” katanya.

Jelas Rosmah, beliau juga tidak mahu sekolah sukan terus dianggap sebagai sekolah kelas kedua berbanding sekolah akademik.

”Kita perlu membuat pendekatan yang lebih tersusun dengan kurikulum yang cenderung memenuhi objektif sebuah sekolah sukan,” katanya.

Di majlis itu, Rosmah turut menyampaikan Anugerah Gemilang 2009 sekolah tersebut kepada atlet-atletnya yang cemerlang dalam pelbagai aspek.

Sumber: Utusan Malaysia 11/08/09

Perpaduan Yang Diikat Oleh Maslahat Bersifat Sementara

Isu perpaduan sering dimainkan oleh pihak-pihak tertentu di seluruh dunia, khususnya oleh rejim imperialis Amerika Syarikat. Jika AS menggunakan ’tiket’ demokrasi untuk keamanan dan perpaduan dunia, maka dalam hal ini isteri Perdana Menteri juga melakukan hal yang sama yakni menginginkan perpaduan selaras dengan agenda 1Malaysia yang dibawa oleh suaminya, Najib Tun Razak. Labelnya memang berbeza dengan apa yang dibawa oleh AS, tetapi kedua-duanya sama dalam konteks mengambil penyelesaian yang bukan datangnya dari Allah SWT. Walau idea ini kelihatan baik, akan tetapi perpaduan yang diinginkan oleh Rosmah melalui aktiviti sukan ini menampakkan ikatan masyarakat yang sangat lemah dan tidak kekal. Ini kerana, ikatan maslahat hanya wujud tatkala maslahat itu wujud. Apabila ikatan tersebut hilang, maka maslahat itu juga hilang. Apabila maslahat tersebut hilang, ’perpaduan’ tadi akan pasti sirna. Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani menyatakan di dalam kitabnya:

Ikatan kemaslahatan tidak lain adalah ikatan yang tbersifat sementara, tidak boleh dijadikan pengikat antara manusia. Hal ini disebabkan adanya peluang tawar menawar dalam mewujudkan kemaslahatan mana yang lebih besar, sehingga kewujudannya akan hilang ketika satu maslahat dipilih atau didahulukan dari maslahat yang lain. Apabila kemaslahatan itu telah ditentukan, berakhirlah persoalannya. Kemudian orang-orangnya pun membubarkan diri, kerana ikatan itu berakhir tatkala maslahat telah tercapai. Jadi, ikatan ini amat berbahaya bagi para pengikutnya. (Nizamul Islam Hal. 42, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani)

Sesungguhnya Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk membawa rahmat kepada seluruh alam. Rahmat tersebut mencakup perpaduan dan keharmonian bagi umat manusia, jika peraturan (sistem) yang diturunkan oleh Allah SWT tersebut diyakini dan diterapkan dalam segenap aspek.

”Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al-Anbiya’(21): 107]

Ketika masyarakat jahiliyah berpecah belah dengan berbagai kabilah, suku, kaum dan ras, Islam datang menyatukan mereka di bawah satu akidah. Mereka teguh dan bersatu di bawah keyakinan yang sama.

”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. [TMQ Al-Hujurat(49): 13]

Jika mereka berselisih di dalam sesuatu perkara, maka mereka kembalikan apa yang mereka selisihkan tersebut kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka bukan setakat menjadi masyarakat yang bersatu padu, bahkan menjadi umat yang mengalahkan peradaban bangsa-bangsa lain.

”Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya” [TMQ An-Nisa’(4): 59]

Justeru itu, jika Rosmah ingin memupuk perpaduan (yang tidak pernah terpupuk) di kalangan rakyat Malaysia secara hakiki, maka gunakanlah thariqah yang telah digunakan oleh Rasulullah SAW ketika membentuk masyarakat Islam di Madinah, iaitu dengan membentuk pemikiran, perasaan dan peraturan Islam ke dalam masyarakat, agar mereka selalu terikat dengan akidah Islam, dan itulah sebaik-baik cara yang akan menjadikan mereka umat yang bersatu padu dalam keadaan apa sekali pun. Wallahu’alam