Siapakah Pengancam Umat Islam Sebenar?
KOTA KINABALU 12 Mac – Umat Islam di negara ini kini berdepan dengan ancaman hebat dari dalam dan luar yang cuba menggugat dan memecah belah perpaduan para penganutnya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, percubaan tersebut semakin ketara sejak kebelakangan ini dan untuk itu umat Islam perlu mengukuhkan semula keharmonian.
“Kita berdepan dengan cabaran hebat yang datang dari luar dan dalam, kalau kita tidak pelihara dan prihatin, mereka akan terus berusaha menggugat, merosak dan menjatuhkan kita.
“Apa yang pasti mereka tidak berniat baik, tidak mahu melihat kita maju, mereka mahu buat sesuatu yang boleh menyebabkan kita hadapi kesusahan dan kepayahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Kauthar, Kampung Tanjung Aru Lama di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, umat Islam tidak seharusnya leka dengan nikmat keamanan yang dikecapi di negara ini kerana masih banyak perkara perlu dilakukan untuk memajukan ummah.
Beliau menambah, kemajuan umat Islam Malaysia dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial, politik, kebudayaan dan lain-lain bidang lagi adalah sesuatu yang membanggakan.
Sumber : Utusan 13/03/10
Ulasan:
Siapakah sebenarnya ‘mereka’ yang mengancam umat Islam seperti yang dimaksudkan oleh Muhyiddin? Hakikatnya, antara ‘mereka’ yang mengancam Islam hari ini adalah mereka yang bertindak sebagai ejen kuffar Barat di dunia kaum Muslimin. Mereka adalah para ejen yang menerapkan sekularisme dan mengenepikan peranan Islam dalam wilayah kekuasaan mereka. Dengan sekularisme ini, politik umat Islam hanyalah tertumpu kepada kuasa dan manfaat. Dengannya juga, ekonomi umat Islam menduduki tangga tercorot di mana para perompak dari kalangan pemodal (kapitalis) meraih kekayaan luar biasa. Dengannya juga, situasi sosial sentiasa berada di gerbang kehancuran. Dengan sekularisme juga, taraf pendidikan dan intelektual umat menjadi amat rendah supaya mudah diperkotak-katikkan. ‘Mereka’lah sebenarnya pengkhianat kepada umat! Mereka mengkhianati umat dari segenap aspek kehidupan. Mereka merupakan para pemimpin sekular yang bersifat liar, sentiasa mencari peluang untuk meratah darah dan harta umat. Mereka juga sangat taat dan setia kepada mahaguru mereka di Barat sana.
Wahai para pemimpin kaum Muslimin! Cerminlah diri kamu. Siapakah sebenarnya yang mengancam Islam? Siapakah yang tegar dalam menerap dan mempertahankan sekularisme? Siapakah yang memandang Islam sebelah mata? Siapakah yang memandang ringan penerapan Islam malah ada yang terus mengenepikannya? Siapakah yang terus tegar, enggan mengambil kira Islam sebagai penyelesaian kepada segenap masalah kehidupan? Siapakah yang terus membiarkan umat buta kepada Islam? Siapa sebenarnya? Siapa sebenarnya yang menjadi ancaman kepada Islam???