Mahkamah Persekutuan dengar kes Rasul Melayu

Permohonan Mais ditolak kerana babit pertikaian kesahihan enakmen

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad, yang mencabar kesahihan lima peruntukan dua Enakmen Syariah Selangor.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Mohamad, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Azmi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, sebulat suara menolak permohonan Majlis Agama Islam

Selangor (Mais) dan memutuskan isu itu dalam bidang kuasa mereka kerana membabitkan pertikaian kesahihan enakmen berkenaan mengikut Perlembagaan Persekutuan. Dua enakmen itu membabitkan beberapa bahagian dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 (EJS) dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAI) yang didakwa Abdul Kahar tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang dibenarkan menjadi pencelah dalam permohonan Abdul Kahar, memohon perintah bahawa kesahihan dua enakmen itu mengikut perundangan Islam perlu diputuskan Mahkamah Syariah, selain permohonan untuk menggantung keseluruhan prosiding di Mahkamah Persekutuan sehingga isu itu diputuskan Mahkamah Syariah.

Dalam permohonannya, Mais bersetuju bahawa sebarang tafsiran membabitkan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diputuskan di mahkamah berkenaan, tetapi mendakwa isu Perlembagaan tidak timbul dalam kes terbabit. Sebaliknya, Mais mendakwa isu utama adalah sama ada tuduhan Syariah terhadap tertuduh adalah bertentangan dengan agama Islam, yang hanya boleh diputuskan Mahkamah Syariah.

Sehubungan itu dalam penghakimannya semalam, Abdul Hamid berkata Perlembagaan Persekutuan jelas mengatakan sebarang penafsiran terhadap peruntukannya hanya boleh diputuskan Mahkamah Persekutuan.

“Artikel 128 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa hanya mahkamah ini mempunyai kuasa untuk memutuskan bahawa undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau badan perundangan negeri sebagai terbatal (jika bertentangan dengan Perlembagaan).

“Isu dalam kes ini membabitkan sama ada penggubalan enakmen yang dipertikaikan itu termasuk dalam skop bidang kuasa badan perundangan negeri, bererti ia hanya boleh diputuskan selepas mahkamah mendengar dan meneliti hujah penuh pihak terbabit,” katanya. Abdul Kahar, 55, didakwa di Mahkamah Syariah Shah Alam atas tuduhan mengikut EJS dan EPAI, kerana menjelaskan isu keagamaan yang bertentangan dengan ajaran Islam iaitu menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar saja, serta ibadat haji sekarang sia-sia dan merugikan.

Sehubungan itu, Abdul Kahar memfailkan permohonan untuk mendapatkan deklarasi bahawa Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13 EJS 1995, dan Seksyen 49 EPAI 2003, tidak sah dan terbatal mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Selangor dinamakan sebagai responden manakala Kerajaan Malaysia turut dibenarkan menjadi pencelah bersama Mais.

Sumber: Berita Harian

Ulasan:

Belum lagi reda kes kebenaran oleh mahkamah atas murtadnya Siti Fatimah, isu lama kini ‘berdarah’ kembali. Kes yang sepatutnya telah lama selesai nampaknya masih belum ditemui noktahnya. Akibat dari pincangnya sistem kehakiman dan perundangan sekular yang diamalkan di Malaysia, sehingga kini kes ini masih belum selesai. Nampaknya, bagaikan sebiji bola, kes ini ‘disepak’ dari satu mahkamah ke satu mahkamah yang lain tanpa keputusan dan penyelesaian yang konkrit.

Kes Abdul Kahar yang mengaku dirinya sebagai ‘Rasul Melayu’ ini sebenarnya tidak perlu dibuka lagi kerana bukti yang jelas telah nyata di depan mata. Jika Islamlah yang dijadikan sebagai panduan maka ‘Rasul Melayu’ ini sudah tentu telah menjadi ‘si sasul yang layu’ kerana dia tidak lagi mempunyai ruang untuk terus hidup selagi tidak bertaubat dari perbuatan mengaku sebagai rasul. Ini adalah satu kesalahan berat kerana perbuatannya ternyata bercanggah dengan aqidah Islam yang jelas mengatakan bahawa Muhamad SAW adalah Rasul yang terakhir.

Masalah seperti ini hanyalah dapat diselesaikan sekiranya Islam diterapkan di dalam kehidupan secara kaffah – yang dapat menjaga dan memelihara aqidah umatnya. Ini hanya akan dapat dilaksanakan secara pasti dengan tertegaknya Khilafah ala minhaj an-nubuwah.