Pasangan kastam dikesan hantar wang haram ke luar negara

Seludup RM10b – Pasangan kastam dikesan hantar wang haram ke luar negara

PUTRAJAYA: Siasatan awal pasukan khas diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melakukan operasi terhadap pasangan suami isteri pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di Pahang, mendapati wujudnya transaksi lebih RM10 bilion dalam bentuk penghantaran wang dan penyeludupan wang ke luar negara secara haram. 

Serbuan yang dilakukan terhadap 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis KDRM seluruh negara, selain beberapa syarikat penggurup wang sejak Isnin lalu, dipercayai akan membongkar lebih banyak penyelewengan apabila siasatan lanjut dijalankan.  Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, berkata 62 pegawai KDRM, termasuk sembilan perempuan, merangkumi pelbagai pangkat ditahan sejak operasi itu bermula dan 17 daripada mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan. “Siasatan berikutan serbuan serentak di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur itu turut membongkar kesalahan membabitkan RM1.2 bilion mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001, selain membekukan akaun berjumlah RM602 juta, menyita RM382 juta, manakala RM31.2 juta lagi dilucut hak harta.

“Dalam serbuan kelmarin saja kita dapati ada pegawai kastam yang memiliki RM850,000 dalam akaun, ada yang memiliki setengah juta dalam akaun selain amanah saham dan kereta mewah, manakala di sebuah rumah pegawai KDRM kita temui RM625,250 dalam tiga beg dan seorang lagi memiliki lima jongkong emas bernilai sekitar RM50,000. “Operasi kita kali ini bertumpu di Pelabuhan Klang (Selangor), Pelabuhan Kuantan (Pahang), Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas serta Pelabuhan Pasir Gudang di Johor. Tangkapan terbesar 46 kakitangan KDRM di lakukan di Pelabuhan Klang,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Jelas beliau, maklumat siasatan menunjukkan pegawai KDRM di pelabuhan seluruh Malaysia meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat ejen penghantar dan ejen untuk mengurangkan duti kastam bagi mempercepatkan pemerosesan Borang K1 (borang pengisytiharan cukai) dari 2008 hingga 2011.
Mustafar juga memaklumkan bahawa 17 masih ditahan reman, termasuk pegawai kanan KDRM yang disambung reman empat hari lagi mulai semalam, manakala isterinya sudah dibebaskan. Sebahagian besar akaun yang dibekukan juga sudah dilepaskan selepas siasatan awal.

Umumnya secara keseluruhan, kata beliau, bagi setiap kes yang dibongkar ada 10 lagi yang terlepas dan amalan rasuah itu menyebabkan kerugian sekitar RM108 bilion setiap tahun kepada kerajaan dari segi kutipan cukai dan duti kastam, pendapatan tidak dilapor yang dihantar keluar negara tanpa kelulusan dan pengisytiharan tidak betul barangan import. “Pegawai KDRM yang disoal siasat mengakui menerima suapan antara RM100 hingga RM500 bagi setiap borang K1 sejak lima bulan lalu, membabitkan lebih 100 syarikat dan kita membekukan lebih 150 akaun bagi membantu siasatan. “Ada pegawai KDRM yang menerima sampai RM10,000 sebulan menerusi tujuh transaksi akaun dan ada pula ditemui memiliki RM11,891 serta 600 Riyal, menyimpan belasan ribu ringgit di rumah, memiliki simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sehingga RM200,000, selain memiliki jam tangan berjenama mewah yang diperbuat daripada emas.

“Selain penemuan 200 kotak mercun pelbagai jenis dan 20 kotak mengandungi rokok seludup dianggar bernilai puluhan ribu ringgit yang ditemui di rumah pegawai kanan KDRM Pahang Jumaat lalu, semalam kita menemui seorang pegawai KDRM memiliki dua pucuk pistol tiruan dan 241 butir peluru,” katanya. Jelas beliau, operasi membabitkan KDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Peguam Negara (JPN) serta agensi lain yang berkaitan dengan diketuai oleh SPRM itu dinamakan Ops 3b kerana disasarkan dapat mendapatkan kembali RM3 bilion yang diseleweng

Sumber : Berita Harian: 03/04/11
 

Kerosakan Sistem Kapitalisme Terus Terserlah
Lihatlah betapa rosaknya masyarakat dalam dunia kapitalisme hari ini. Kerosakan itu nampaknya meliputi semua peringakat seumpama sebatang pokok yang mereput dari akar hinggalah ke daunnya. Dari peringkat atasan sehingga ke peringkat bawahan. Dari pemerintah, masyarakat sehinggalah ke pihak individu.  Kesemuanya terdedah kepada penyimpangan dan penyelewangan. Faktanya adalah bahawa, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merupakan sebuah institusi yang berada di bawah kerajaan dan dengan kes yang dilaporkan seperti di atas kita dapat melihat bagaimana korupnya institusi yang berada di bawah pemerintah sekular hari ini. Kita perlu melihat bahawa korupnya KDRM tidak boleh dipisahkan dengan institusi pemerintah kerana faktanya KDRM itu adalah sebuah jabatan kerajaan. Para pegawai dan kakitangan KDRM itu adalah pekerja yang dilantik oleh kerajaan. Ini belum lagi melibatkan jabatan-jabatan lain.

Kerosakan ini sebenarnya terkait rapat dengan sistem rosak yang digunapakai oleh pemerintah hari ini. Dari sudut pemerintah ternyata pemimpin yang ada adalah para pemimpin sekular yang menerapkan sistem kufur kapitalisme. Sistem inilah yang menjadi penyumbang terbesar dalam mengacu dan membentuk cara fikir dan tingkah laku individu yang ada di dalam sesebuah masyarakat itu. Jika dahulu tinta kegemilangan emas umat Islam pernah mencatatkan bagaimana masyarakat yang dilahirkan oleh sistem Islam merupakan masyarakat yang mempunyai ketakwaan yang cukup tinggi.

Samada dari kalangan pemimpin mahupun rakyat. Mereka sedar bahawa seluruh kehidupannya wajib dilandasi dengan perintah dan larangan Allah SWT. Halal dan haram menjadi miqyas (piawai) bagi seluruh perbuatan yang mereka lakukan. Matlamat hidup mereka adalah untuk mendapatkan redha Allah SWT. Pernah terjadi di zaman Umar al-Khattab: “Suatu hari ‘Umar menemukan seorang anak yang sedang menggembalakan sekelompok biri-biri. ‘Umar ingin menguji kejujuran anak itu. “Hai anak, saya ingin membeli biri-biri seekor. Sang gembala menjawab: “Saya ini hanya seorang budak penggembala. Biri-biri ini bukan milik saya, tetapi tanggung jawab saya. Kalau tuan ingin membeli barang seekor, temuilah tuan saya yang rumahnya di balik bukit itu.” “Ya, anak”, Umar berkata pula, “terlalu jauh ke sana. Saya berikan saja wang, sebutkan harganya dan laporkan kepada tuanmu.” “Hai tuan sudah kukatakan tadi, saya ini bukan pemilik, jadi saya tidak berhak mengambil keputusan untuk menjualnya. “Ya, katakan saja, kepada tuanmu itu bahawa biri-biri yang saya beli itu diterkam oleh binatang buas dan wangnya engkau ambil”. “Tuan, saya ini bukan saudaranya Nabi Yusuf AS” . Dan dengan tegas budak gembala itu membentak  Umar: “Fa ayna Allah? (Maka di manakah Allah?)”.

Inilah suatu contoh masyarakat yang lahir di zaman Umar Al-Khattab di mana individu-individunya diikat dengan pemikiran, perasaan dan sistem yang satu – pemikiran Islam, perasaan Islam dan sistem Islam. Masyarakat sebegini akan hanya dapat dilihat apabila kehidupan Islam dikembalikan di tengah-tengah umat dengan tertegaknya kembali Daulah Khilafah Islamiyyah. Apakah kalian tidak merindui  kehidupan Islam semulia ini? Lihat SN113 RASUAH SEMAKIN PARAH.

Wahai umat Islam! Selagi sistem yang diterapkan pada hari ini adalah sistem yang korup maka selagi itulah kita akan terus menuai kerosakan dan kebusukannya. Kerosakan yang berlaku semakin lama semakin parah dan membarah.Telah terbukti bagaimana undang-undang ataupun hukuman sekular yang ada pada hari ini gagal untuk mencegah kejadian rasuah di kalangan masyarakat. Ini diperparahkan lagi dengan ketidakpedulian sistem sekular hari ini yang gagal menekankan ciri-ciri ketakwaan yang tinggi yang wajib dimiliki oleh seseorang yang ingin memegang sesuatu jawatan. Sudah saatnya sistem kapitalisme yang bertapak di bumi umat Islam selama ini dicampakkan jauh-jauh dan diganti dengan sistem Islam, sistem Khilafah yang secara normatif dan empiriknya telah terbukti berjaya menyelesaikan masalah individu, masyarakat dan negara. Gantikan undang-undang thaghut dengan syariah. Itulah penyelesaian tuntas bagi mengatasi penyakit dan barah rasuah ini.