Biometrik Tidak Akan Mampu Mensucikan Kekufuran Demokrasi

altPilihan raya guna biometrik

KANGAR 23 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan sistem biometrik dalam pilihan raya akan datang. 

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan sistem tersebut bagi menjamin pilihan raya yang adil tanpa timbul lagi isu pengundi hantu sebagaimana didakwa oleh pihak pembangkang.  “Kita akan buat apa sahaja untuk memastikan pilihan raya yang adil, tak mahu pakai dakwat, kita tak pakai dakwat dan kita setuju supaya SPR gunakan sistem biometrik pada masa akan datang.   “Apabila hendak undi, cap sahaja jari pada pengimbas (scanner), kalau nama betul dengan Mykad, baru undi,” katanya ketika berucap pada Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di sini, hari ini.  Najib berkata, langkah tersebut membuktikan kerajaan mahu memastikan sistem yang dilaksanakan dalam pilihan raya di negara ini merupakan yang terbaik.  “Sistem ini (biometrik) yang terbaik di dunia, tak ada negara lain yang menggunakannya walaupun negara maju,” tambah beliau.  Sebelum itu, Perdana Menteri meminta rakyat negara ini tidak terpesong atau merasa gusar dengan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh apabila membangkitkan pelbagai isu seolah-olah terdapat banyak perkara yang tidak kena dalam pentadbiran negara.  “Ada pihak dakwa kononnya pilihan raya negara kita tak telus, ada juga yang menyerang institusi seperti kehakiman, polis dan institusi lain. 

“Tetapi hakikatnya, Malaysia tak mungkin dianggap sebagai negara contoh dan menjadi model kalau kita tak tadbir dengan betul, adil dan bertimbang rasa,” tegas beliau.  Dalam majlis itu, Najib turut menyampaikan peruntukan RM1.875 juta daripada Yayasan 1Malaysia Development Berhad untuk membina dan membaik pulih 375 buah rumah dalam 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis kepada Menteri Besar.  Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr. Hamid Pawanteh.

Sumber : Utusan Malaysia: 24/07/11


Biometrik Tidak Akan Mampu Mensucikan Kekufuran Demokrasi
Bahang PRU 13 semakin terasa. Umat Islam nampaknya akan terus ditipu oleh sistem kufur demokrasi dan juga oleh para pencinta dan pengkagumnya. Setelah tekanan demi tekanan ke atas kerajaan sekular pimpinan Najib dan pihak SPR semakin hebat diberikan oleh pihak pembangkang agar memastikan Pilihanraya Umum yang ke-13 berjalan dengan lebih “bersih dan adil” untuk kali ini, akhirnya pihak kerajaan bersetuju untuk memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan sistem biometrik dalam pilihan raya akan datang. 

Apapun, yang pasti, jutaan ringgit atau mungkin berbillion ringit duit rakyat akan dikorbankan untuk menjayakan pesta maksiat ini. Di sini kita dapat melihat kekeliruan umat Islam yang terus bergelumang dengan kotoran demokrasi ini, tidak kiralah dari kalangan penyokong mahupun pembangkang kerajaan. Mereka ini seolah-olah sudah tidak nampak kebatilan dan kekufuran demokrasi yang secara jelas merompak hak Allah sebagai musyyari’ (pembuat hukum). Bersihkanlah perjalanan sistem demokrasi dengan apa cara sekalipun namun ia tidak akan mampu membersihkan najis kufur demokrasi ini. Untuk itu, isu utama di sini bukanlah mengiakan cadangan dari pembangkang ataupun bersetuju dengan apa yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan sekular pimpinan Najib. Isu sebenarnya adalah bagaimana untuk membersihkan umat Islam dari najis kufur demokrasi itu sendiri.

Persoalan yang wajar dijawab oleh setiap dari kita pada hari ini sebagai seorang Muslim adalah, siapakah yang paling berkuasa dan paling tinggi kedudukannya dalam memnentukan hukum-hakam kehidupan? Allah SWT atau para pemenang PRU ke 13?  Berhatilah-hatilah wahai Muslim yang diberikan ‘hak’ oleh rakyat untuk mewakili mereka di parlimen….janganlah kamu memalingkan muka kamu dari kemurkaan Allah ke atas kamu kerana dokongan kamu terhadap sistem demokrasi ini. Wahai ahli parlimen yang berada di tempat maksiat yang paling besar (parlimen) saat ini! Hukum apakah yang kamu luluskan dan bahaskan di parlimen ketika ini? Apakah layak hukum Allah SWT diluluskan oleh suara majoriti hamba-hambanya? Cukuplah firman Allah SWT ini untuk menjadi peringatan kepada kita semua.

“ Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkanNya. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. [TMQ Yusuf (12) :40].

FirmanNya lagi:

“ Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ An Nisaa’ (4) : 60].

Sila baca: SN 049 – PILIHANRAYA: Sampai Bila Akan Menjadi Topeng Demokrasi.
                 SN182 – MUNTAHAN DEMOKRASI DI PERAK!