Enakmen Pencegahan Murtad: Mencegah Atau Menambah Mungkar?

 
altEnakmen cegah murtad yang telah lama wujud ternyata gagal membendung gejala murtad dan penyebaran agama lain kepada umat Islam. Inilah pengakuan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengesahkan bahawa enakmen cegah murtad sudah diwujudkan sejak lama dahulu bagi membendung gejala itu, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya menyebabkan ada pihak menganggap ia tidak wujud sebelum ini.

Enakmen yang terbukti gagal membendung gejala murtad ini nampaknya mahu diperkasakan dan dikuatkuasakan dengan lebih luas di mana JAKIM akan mengadakan pertemuan dengan jabatan dan majlis agama Islam negeri yang belum melaksanakan enakmen ini. Setakat ini, negeri yang sudah mempunyai ‘Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam’ ialah Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Pahang dan Kelantan. Manakala negeri yang belum ada enakmen berkenaan pula ialah Perak, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Menurut enakmen ini, mereka yang didapati bersalah akan dihukum penjara dan denda. Mungkin pada pandangan Jamil Khir, hukuman penjara dan denda ini sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada pesalah. Usaha untuk mencegah murtad sememangnya satu tugas yang mulia, namun malangya apa yang beliau tidak sedar ialah usaha ini mesti dilakukan tanpa perlu wujud atau menunggu wujudnya sebuah “enakmen” terlebih dahulu. Mencegah murtad adalah sebuah tanggungjawab yang didasarkan kepada agama, bukannya didasarkan kepada enakmen. Inilah bahananya di dalam sistem demokrasi apabila manusia membuat undang-undang, maka tanggungjawab agama sekalipun tidak boleh dijalankan sehinggalah sebuah udang-undang digubal terlebih dahulu. 

Apa yang lebih buruk yang dilakukan oleh pemerintah adalah ‘menghukum’ orang yang murtad tidak berdasarkan ketetapan Allah dan Rasul dan tetapi berdasarkan ketetapan dari manusia. Setakat ini, walaupun kerajaan kononnya bertegas untuk menghukum orang yang menyebarkan ajaran selain Islam kepada orang Islam, namun orang Islam yang telah pun keluar dari Islam ‘dibiarkan’ tanpa dihukum berdasarkan hukuman Allah dan RasulNya. Semua orang yang beriman akan mengetahui bahawa hukuman bagi orang yang murtad ialah bunuh, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Siapa yang menukar agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia” [HR Bukhari]

Malangnya para Menteri tidak pernah melaksanakan atau berusaha untuk melaksanakan hukuman Islam ini. Firman Allah SWT,

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al-Maidah(5):50]

Wahai Kaum Muslimin! Gejala murtad dan penyebaran agama lain kepada umat Islam merupakan satu ancaman yang wajib dibendung dan harus dipandang serius kerana ianya melibatkan aqidah umat Islam. Peningkatan kes-kes murtad membuktikan bahawa undang-undang yang digunapakai pada hari ini tidak mampu menghalang ianya daripada terus berlaku.

Inilah padahnya apabila undang-undang ciptaan manusia yang sudah ternyata basi tetap mahu dihidang dan dipertahankan oleh para pemimpin yang ada. Undang-undang yang langsung tidak menghadirkan perasaan gerun di hati orang-orang yang ingin murtad atau pihak-pihak yang ingin memurtadkan umat Islam, ternyata akan gagal dan terus gagal dipandang dari aspek mana sekalipin.

Penegasan oleh Menteri Agama ini hanya sekadar berperanan meredakan perasaan umat Islam yang membara melihat  usaha-usaha pemurtadan umat Islam yang sedang diperkatakan.

Sesungguhnya hanya dengan pelaksanaan hukum Allah sahajalah yang akan dapat menyelamatkan dan mempertahankan aqidah umat Islam. Selagi hukum Allah tidak dijalankan, maka tidak hairanlah sekiranya Enakmen Pencegahan Murtad yang sedia ada atau yang akan diadakan, tidak akan dapat menyelesaikan masalah, malah akan menambahkan lagi kemungkaran.

Sumber rujukan : Berita Harian