PBB Adalah Kilang Fitnah Terhadap Umat Islam
NEW YORK 19 Dis. – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan satu resolusi semalam, yang menyatakan kekesalan terhadap fitnah ke atas agama dan meluahkan kebimbangan yang Islam kerap dikaitkan dengan keganasan serta pelanggaran hak asasi.
Resolusi yang ditaja oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), diluluskan dengan undi 80-61 dengan 42 undi berkecuali.
Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan negara Eropah serta beberapa negara maju menentangnya. Ramai yang melihatnya sebagai campur tangan dalam kebebasan bersuara dan beragama.
Eliot Engel, seorang anggota Parti Demokrat dari New York yang juga ahli kanan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, menyifatkan resolusi itu ‘gagal menyelesaikan masalah sebenar diskriminasi agama dan kebencian’ serta ‘mempromosikan sikap tidak bertoleransi dan pelanggaran hak asasi dengan membataskan hak seseorang meluahkan kepercayaan agama mereka’.
UNGA telah menggunakan resolusi ‘fitnah ke atas agama’ setiap tahun sejak 2005 dan tahun ini ia diluluskan dengan margin yang paling sedikit.
Antara lain, resolusi itu menyatakan ‘kebimbangan mendalam tentang stereotaip negatif ke atas agama dan kewujudan tidak bertoleransi serta diskriminasi terhadap agama dan kepercayaan’.
Ia juga memberi penekanan kepada ‘program dan agenda yang dilakukan ekstremis’ serta ‘kebencian agama secara umum, termasuk perbezaan layanan etnik dan agama ke atas minoriti Islam selepas insiden tragik 11 September 2001’.
Resolusi itu turut ‘menyatakan kerisauan bahawa Islam sering dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi dan keganasan’. – AP
Sumber : Utusan Malaysia 20/12/2009
PBB Adalah Kilang Fitnah Terhadap Umat Islam
Resolusi ini adalah sebagaimana resolusi-resolusi lain yang berkaitan dengan Islam. Kesatuan kuffur seperti PBB yang menjaga kepentingan negara-negara besar dan berpengaruh seperti AS, pastinya akan memihak kepada kekufuran. Kenapa kaum Muslimin masih berharap PBB menyelesaikan sifat prejudis puak kuffar terhadap Islam? Mengharapkan PBB menyelesaikan permasalahan umat Islam adalah umpama membiarkan sang musang mengadili anak-anak ayam yangg telah kehilangan ibunya kerana dibaham oleh sang musang tersebut. Mana tidaknya, dari PBB-lah lahir Israel, dan PBB-lah juga yang menyebabkan banyak penindasan berlaku ke atas negeri- negeri kaum Muslimin. Maka tidak salah jika kita nyatakan bahawa PBB-lah kilang di mana segala fitnah terhadap kaum Muslimin dihasilkan. Allah telah banyak memperingatkan umat Islam tentang sifat kaum kuffar terhadap umat Islam :
‘Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama (cara hidup) mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allahlah merupakan sebenar-benar petunjuk. Dan sekiranya engkau mengikuti kemahuan mereka setelah engkau mengetahui, maka tidak ada bagimu wali dan penolong dari (siksa) Allah’ [TMQ Al Baqarah (2:120)]
Allah telah melarang umat Islam meletakkan urusan mereka di tangan musuh-musuh Allah. Urusan kaum Muslimin haruslah diselesaikan oleh umat Islam sendiri melalui panduan kitabullah dan sunnah Rasulullah, bukannya berpandukan resolusi PBB. Usaha untuk “mengubah” pandangan “negatif” terhadap Islam melalui resolusi-resolusi basi tanpa ada apa-apa tindakan konkrit daripada tangan-tangan pemimpin umat Islam adalah perbuatan sia-sia umpama mencurahkan air ke daun keladi; air habis dicurahkan, daun keladi tetap tak basah.
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Kristian menjadi pemimpin-pemimpinmu, sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu yang mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [TMQ Al-Maidah(5): 51]
Apa yang wajib dilakukan oleh umat Islam ialah dengan mengeluarkan diri daripada organisasi kufur seperti PBB serta organisasi berteraskan negara bangsa seperti OIC, dan menggabungkan diri di dalam kesatuan Khilafah. Khilafahlah yang akan menyelesaikan seluruh permasalahan umat Islam serta menghapuskan sifat prejudis puak kuffar terhadap umat Islam.
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran (3):110].