AS Menceroboh Dataran Tahrir
Bagaikan pahlawan, Hillary menganggap Dataran Tahrir sebagai simbol kekuatan, semangat dan keinginan manusia untuk meraih kebebasan, hak asasi dan demokrasi. Voanews, salah sebuah media Amerika Syarikat melaporkan bahawa rakyat Mesir menyambut baik kedatangan Menteri Luar tersebut, sambil menunjukkan dia bersalam-salaman dengan orang-orang yang melaluinya.
Ini adalah suatu penjarahan Amerika ke atas perjuangan rakyat Mesir yang telah menjadikan Dataran Tahrir sebagai tempat untuk bersujud dan melaungkan takbir setiap kali menjelangnya hari Jumaat.
Para Pegawai Enggan Menolak AS
Hillary melakukan kunjungan dua hari ke Mesir bertujuan untuk mempengaruhi pemerintah sementara Mesir supaya melakukan reformasi ke arah demokrasi. Hillary juga akan bertemu dengan agen-agennya iaitu para aktivis pro-demokrasi untuk tujuan yang sama.
Hillary benar-benar telah terlupa kepada gema takbir ‘Allahu Akbar’ dan seruan-seruan anti Amerika yang lain yang dilaungkan oleh jutaan rakyat Mesir yang berlangsung pada setiap hari Jumaat beberapa minggu yang lalu sehingga membuatkan Mubarak turun daripada takhtanya.
Selain itu, kakitangan kerajaan juga telah dipersiapkan oleh AS untuk mengotori kesucian perjuangan rakyat Mesir dengan menyambut pegawai-pegawai negara penjajah tersebut. Para pegawai pasca Hosni Mubarak ternyata tidak mahu berpisah dengan Amerika.
Ketika disambut oleh Menteri Luar Negeri Mesir, Nabil al-Arabi semasa sidang media, Hillary berkata: “Mesir akan menjaga kepentingan bersama dengan Amerika Syarikat dan akan menyokong persahabatan antara kedua-dua negara.”
Nabil al-Arabi, Menteri Luar Negari Mesir menjelaskan bahawa Mesir akan sentiasa menjaga hubungan strategiknya dengan Amerika Syarikat. Ia menegaskan bahawa “Amerika Syarikat adalah sahabat setia kepada Mesir, dan tidak ada sama sekali perbezaan politik antara kedua-dua negara dalam sebarang persoalan”.
Rakyat Menolak!
Sejak awal penggulingan Mubarak, pelbagai sepanduk, poster dan teriakkan yang dilaungkan yang menolak Amerika Syarikat. Para pemimpin enam gerakan pemuda Mesir yang berperanan besar dalam penggulingan rejim diktator Hosni Mubarak menyatakan bahawa mereka tidak mahu untuk bertemu dengan Menteri Luar Negeri Amerika Syarikat Hillary Clinton dalam apa jua keadaan sekalipun.
Pejabat berita INN melaporkan, para pemimpin enam gerakan pemuda Mesir itu menekankan bahawa keputusan ini diambil dalam rangka untuk membalas sikap Amerika Syarikat berkaitan Timur Tengah dan perspektif negatif Hillary terhadap revolusi rakyat Mesir. Hillary tiba di Mesir pada 16 Mac dan kemudian bertolak ke Bahrain.
Dalam kenyataannya, keenam-enam gerakan tersebut meluahkan kebencian terhadap kelicikan pemerintah Presiden Barack Obama dalam menyelar revolusi rakyat Mesir.
Dapat dilihat dengan jelas sikap hipokrit negara penjajah Amerika Syarikat. Bukankah Amerika Syarikat yang selama ini menyokong rejim zalim Mubarak selama 30 tahun yang telah melakukan penyeksaan dan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri? Ini juga menjadi bukti bahawa tidak ada perubahan sebenar yang berlaku di Mesir. Rejim yang ada sekarang tetap pro Amerika, walhal jutaan rakyatnya menolak Amerika.
Sudah tiba saatnya kaum Muslimin bersatu-padu untuk kembali kepada Islam yang dapat mengembalikan kemuliaan mereka di bawah panji-panji al-liwa’ dan ar-rayah. Insya Allah, Khilafah akan mengusir para penjajah beserta agen-agennya tidak lama lagi.
Sumber : Syabab.com