Deklarasi Kedah vs Deklarasi Rakyat, untuk kepentingan siapa?
Trend untuk melakukan ‘deklarasi’ kini menjadi semakin popular gara-gara Deklarasi Rakyat yang diisytiharkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tuntutannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setakat ini, semua usaha untuk menyingkirkan Najib oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu masih belum berhasil. Deklarasi Rakyat yang dilakukannya yang berjaya menghimpun hampir kesemua musuh politiknya dahulu, walaupun gempar dan gempak, namun tetap gagal menggoncang kerusi Najib. Malah hingga kini tidak ada tanda-tanda sedikit pun yang Najib akan turun dari kerusi empuknya itu. Najib sebaliknya dengan ‘selamba’ menjawab supaya semua pihak tunggu PRU ke-14 jika mahu menjatuhkannya.
Dalam kelesuan Deklarasi Rakyat meniti masa, tiba-tiba rakyat disajikan pula dengan Deklarasi Kedah. Kandungan penting deklarasi yang sungguh amat mudah dibaca percaturan politiknya ini ialah menyokong Najib sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden Umno. Di samping itu, dalam deklarasi ini, Umno Kedah meminta agar bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Dato’Seri Mukhriz Mahathir dipecat dari UMNO.
Walaupun deklarasinya baru, tetapi budaya ampu seperti yang terkandung dalam Deklarasi Kedah ini sudah lama sebati dalam UMNO. Jadi, tidak hairanlah jika Mahathir melontarkan kenyataan sinis kepada Najib bahawa Presiden UMNO itu memberikan dedak kepada ahli-ahli UMNO terutamanya kepada para pemimpinnya, agar mereka terus setia menyokong beliau.
Wujudnya Deklarasi Kedah ini sangat mudah untuk difahami. Semua orang maklum bahawa Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanapiah baru sahaja dilantik oleh Najib menggantikan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah. Justeru, tidak mungkin “hadiah” yang begitu besar daripada Najib ini diterima begitu sahaja oleh Bashah tanpa mengenang budi.
Ahmad Bashah, sebagaimana diakuinya sendiri adalah seorang lepasan “Universiti Umno” yang sudah pasti perlu mengenang jasa universiti yang telah melahirkannya dengan menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada presiden universiti. Inilah sifirnya. Maka tidak hairanlah munculnya Deklarasi Kedah, sebelum munculnya Deklarasi Perak, Perlis, Johor, Melaka dan lain-lain.
Apa pun dan sebanyak mana pun deklarasi yang dikeluarkan, persoalannya adalah, apakah ia selari dengan kehendak syarak dan apakah kesannya kepada umat Islam? Baik deklarasi untuk menjatuhkan pemimpin atau deklarasi untuk menyokong pemimpin, apakah ia menjadi salah satu jalan untuk kepentingan Islam, atau hanya untuk kepentingan individu/kelompok tertentu sahaja? Ringkasnya, dengan deklarasi menjatuhkan mahupun mengekalkan pemimpin yang sedia ada, adakah Islam menjadi agenda utama untuk diterapkan atau Islam tetap akan dipinggirkan oleh pihak-pihak yang berkenaan? Inilah persoalan yang perlu difikirkan oleh setiap Muslim.