SN465 – Merosakkan Berhala Di Kuil – Apakah Dibenarkan Oleh Islam?
SN Keluaran 6 Mei 2016
Masih segar dalam ingatan kita bagaimana pelbagai tuduhan dan tohmahan telah dilemparkan terhadap Dr Zakir Naik semasa kedatangan beliau ke Malaysia baru-baru ini. Tohmahan dengan nada penuh kebencian telah dilontarkan oleh Pengerusi Hindraf, P.Waythamoorthy. Tidak cukup di situ sahaja, Hindraf sekali lagi ingin menjadi wira apabila cuba campur tangan dengan mempertikaikan siasatan pihak berkuasa terhadap kes seorang lelaki melayu muslim yang telah merosakkan sembilan buah patung berhala di kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil pada 24 April di Jalan Hospital Ipoh. Nada yang hampir sama turut disuarakan oleh Presiden Pertubuhan Rapat Malaysia, A. Rajaretinam, dan Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk V. Elango yang juga Pengerusi MIC Perak.
Berikutan kejadian tersebut, suspek telah didakwa atas dua tuduhan iaitu Seksyen 295 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merosakkan patung berhala di dalam kuil berkenaan dan bagi pertuduhan kedua pula dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah parang pada waktu dan tempat yang sama. Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Yusaini Amer Abdul Karim meminta mahkamah supaya membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah sebelum sebutan semula kes pada 30 Mei ini untuk mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh.
Isu sensitif seperti ini sekiranya tidak ditangani dengan baik oleh pihak berkuasa, maka ianya boleh membawa kepada pergeseran kaum dan agama. Namun begitu, kebimbangan dan cubaan provokasi yang dilakukan oleh sekelompok minoriti penganut agama Hindu terhadap kes tersebut sebenarnya umpama meludah ke langit. Sejarah telah membuktikan bagaimana merekalah yang jauh lebih banyak melakukan kerosakan terhadap rumah ibadat penganut lain dengan membakar masjid-masjid terutamanya di India. Walaubagaimanapun, sebagai umat Islam, kita janganlah terpancing dengan sebarang provokasi yang cuba dicetuskan oleh mereka kerana Islam tidak membenarkan perbuatan yang sama ke atas penganut agama lain.
Keharaman Merosakkan Rumah Ibadat Agama Lain
Islam melarang penganutnya merosakkan rumah ibadat penganut agama lain termasuklah kelengkapan yang ada di dalamnya, sama ada kelengkapan umum mahupun kelengkapan khusus upacara keagamaan mereka seperti patung-patung berhala (al-Asnam) yang menjadi sembahan mereka. Meskipun kita tidak bersetuju dengan akidah yang dipegang oleh mereka, namun umat Islam diharamkan untuk melakukan kerosakan atau memusnahkan rumah ibadat penganut agama lain. Dalam sistem Pemerintahan Islam, menjaga keselamatan rumah ibadat agama lain serta penganut yang berkunjung ke rumah ibadat tersebut merupakan tangungjawab pemerintah Islam. Berkaitan hal ini, Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran;
“…Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang-orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya…” [TMQ al-Hajj(22):40].
Mengulas ayat ini, dalam kitab Tafsir at-Thabari, beliau menyebut bahawa Ibnu Khuwaiz Mindad berkata, ayat ini mengandungi larangan ke atas umat Islam untuk meroboh dan merosakkan binaan rumah ibadat penganut agama lain serta biara-biara mereka. Tindakan ini sekiranya dilakukan oleh siapa sahaja (muslim mahupun non-muslim), dan sekiranya mereka terbukti bersalah, maka uqubat (hukuman) akan dikenakan ke atas mereka yang melakukan perbuatan tersebut.
Di samping menyalahi syariat Islam, tindakan merosakkan rumah ibadat agama lain serta sembahan mereka boleh menimbulkan ketegangan yang merugikan kedua-dua pihak. Malah, sangat dikhuatiri sekiranya ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengapi-apikan isu sebegini bagi meraih kepentingan politik sempit mereka. Peristiwa pembakaran Masjid Babri di Bandar Ayodhya, Barat India boleh dijadikan pengajaran. Laporan oleh Suruhanjaya Liberhan menunjukkan wujudnya penglibatan yang jelas antara kejadian tersebut dengan pemimpin kanan nasionalis Hindu dari Parti Bhartiya Janata (BJP). Para pemimpin BJP sengaja meniupkan sentimen agama untuk meraih kuasa politik dan menguasai parlimen India. Dengan racun permusuhan yang ditiup oleh mereka, maka penganut agama Hindu telah merobohkan Masjid Babri yang telah dibina sejak abad ke-16 lagi.
Selain itu, tindakan umat Islam menceroboh atau merosakkan rumah ibadat penganut agama lain akan mendorong mereka untuk melakukan serangan ke atas Islam dan syiarnya. Mereka akan memanfaatkan tindakan sedemikian untuk menghina ajaran Islam serta melakukan tuduhan melulu untuk melepaskan kemarahan serta menzahirkan kebencian mereka terhadap ajaran dan umat Islam. Perkara ini dapat dibuktikan daripada reaksi mereka yang dengan lantang memburuk-burukkan Islam dan penganutnya melalui tulisan, percakapan serta komen-komen mereka di laman sosial. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan ajaran Islam yang suci dihina, malah ianya turut menjejaskan keharmonian kaum yang berbeza kepercayaan agama.
Islam Adil Kepada Semua
Sistem Perundangan Islam tidak membezakan antara yang miskin dengan yang kaya, antara pemerintah dengan rakyat, mahupun antara muslim dan non-muslim. Ia jelas ditunjukkan dalam peristiwa tuntutan baju besi Saidina Ali bin Abu Thalib terhadap seorang Yahudi. Walaupun Saidina Ali ketika itu merupakan Khalifah, tetapi disebabkan baginda tidak mempunyai bukti yang mencukupi, maka baju besi itu diputuskan sebagai milik Yahudi tersebut. Dalam kejadian lain pula, Abdullah bin Rawahah yang ditugaskan sebagai juru taksir menyatakan kepada kaum Yahudi Khaibar setelah pihak Yahudi cuba merasuahnya,
“Wahai kaum Yahudi! Kalian adalah makhluk yang paling aku benci. Kalian telah membunuh para Nabi dan mendustakan Allah. Akan tetapi, kebencianku kepada kalian tidaklah membuatku berlaku tidak adil” [Imam Malik, Al Muwattha’:1450].
Dalam sejarah pemerintahan Islam, keadilan dan kemakmuran yang dilahirkan oleh hukum-hakam Islam telah membuatkan ramai orang bukan Islam berasa aman dan selesa bernaung di bawah pemerintahan Islam. Malah ramai daripada mereka yang kemudiannya memeluk Islam tanpa paksaan dan ramai juga di antara mereka yang berjuang mempertahankan Negara Islam walaupun memilih untuk tidak memeluk agama Islam. Penerapan hukum Islam secara sempurna bukan sahaja akan memberi keadilan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama yang bernaung di bawahnya, tetapi turut membawa rahmat kepada sekalian alam.
Undang-undang Islam yang dilaksanakan oleh Negara Islam akan diterapkan kepada semua rakyat. Dalam penerapan ini, terdapat juga pengecualian ke atas taklifan (bebanan) undang-undang tersebut. Untuk mensabitkan sesuatu kesalahan ke atas mana-mana individu (muslim mahupun non-muslim), penelitian mesti dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan sama ada pelaku kesalahan atau jenayah tersebut adalah mukallaf (terkena bebanan hukum) ataupun tidak. Hal ini berdasarkan sabda Rasullulah SAW:
“Diangkat pena dari tiga orang, (iaitu) dari orang yang tidur sampai ia terbangun, kanak-kanak sampai ia baligh, dan orang gila sampai ia sembuh” [HR Abu Daud].
Hadis ini dengan jelas menerangkan tentang terlepasnya hukuman bagi anak kecil dan orang yang dikategorikan sebagai gila. Tidak boleh menempatkan kanak-kanak yang belum baligh di penjara, walaupun penjara khusus kerana tidak ada dalil yang membenarkan perkara tersebut, malahan ia bertentangan dengan nas hadis. Teks hadisnya sendiri menyatakan “diangkat pena” yakni tidak diberikan hukuman ke atas kanak-kanak tersebut jika melakukan kesalahan, tetapi walinya (penjaga) bertanggungjawab untuk dipersoalkan tentang anak tersebut. Jika tindakan kesalahan yang disebabkan kelalaian walinya, maka walinya akan dikenakan tindakan dan jika sebaliknya, maka ia tidak akan dikenakan hukuman. Demikian pula halnya terhadap kes orang yang tidak siuman (gila). Sekiranya individu melakukan kesalahan dalam keadaannya tidak siuman, maka beliau akan terbebas daripada hukuman terhadap perbuatan kesalahannya yang dilakukan semasa beliau tidak siuman. Tetapi, sekiranya pelaku tersebut melakukan tindakan kesalahan itu dalam keadaan waras, maka sudah pasti dia akan dikenakan uqubat yang sewajarnya. Untuk menentukan sama ada individu tersebut adalah siuman ataupun tidak, ia haruslah diserahkan kepada pihak yang memiliki solahiyyah (autoriti) terhadap perkara tersebut iaitu pakar perubatan. Ia tidak boleh dilakukan oleh pihak polis (yang tiada kemahiran berkaitan), apatah lagi oleh orang awam yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang tersebut.
Khatimah
Inilah penyelesaian Islam dalam menangani isu berkaitan serangan ke atas kuil Hindu di Ipoh. Umat Islam mahupun Hindu sepatutnya tidak terpancing dengan emosi dan provokasi yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba meraih kepentingan politik atas kejadian yang berlaku. Tidak dinafikan, reaksi yang ditunjukkan oleh penganut Hindu juga adalah akibat daripada pengabaian hak mereka oleh pemerintah yang akhirnya mengakibatkan mereka merasa dianaktirikan dan terpinggir. Namun begitu, sebagai individu yang waras adalah wajar bagi kita untuk menyelidiki perkara yang berlaku terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata, tulisan mahupun tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama. Kaum muslimin haruslah bertindak sejajar dengan tuntutan hukum syarak dan bukannya hanya menurut hawa nafsu serta emosi semata-mata. Semasa melakukan sesuatu perkara, selidiki dan perhatikan dahulu sama ada perkara tersebut dibenarkan ataupun tidak oleh Islam.
Bagi mereka yang sangat membenci rumah ibadat orang kafir kita seharusnya beringat, bahawa ketika Rasulullah SAW diutus (di Mekah) dahulu, Mekah dipenuhi oleh berhala-berhala, baik di luar mahu pun di dalam Kaabah sendiri. Namun Rasulullah SAW tidak menghapuskannya dan tidak juga memerintahkan para sahabat untuk memusnahkan berhala-berhala tersebut. Orang-orang kafir diajak kepada Islam secara pemikiran, bukan secara kekerasan. Orang-orang kafir diajak untuk menyembah Allah dan diseru meninggalkan sembahan-sembahan mereka dengan hujah yang bersifat intelektual dan bukannya secara tindakan fizikal. Pemerintah kaum muslimin pula haruslah menerapkan hukum Islam secara kaffah (sempurna) agar keadilan serta rahmat Allah yang terhasil daripada penerapan hukum-hakam Islam itu dapat dizahirkan di depan mata. Hanya dengan hukum Islam sahajalah akan melahirkan masyarakat yang hidup harmoni serta rukun dan damai, meskipun mereka berlainan suku, ras, bangsa dan agama. Ini telah terbukti dalam lipatan sejarah pemerintahan Khilafah Islam apabila kawasan yang terbentang luas dari Eropah ke Asia Tenggara dapat hidup dengan aman dibawah naungan syariat Islam.
Wahai kaum Muslimin! Sebagai seorang muslim, tiada hukum lain selain hukum Islam yang layak diguna pakai kerana hukum inilah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, Pencipta yang sewajibnya disembah oleh semua manusia. Barangsiapa yang menyekutukanNya, maka nerakalah tempat kembali yang paling sesuai untuknya. Rahmat yang telah hilang sejak runtuhnya Daulah Khilafah akan kembali semula dengan izinNya apabila tertegaknya kembali Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah untuk kedua kalinya. Pada kala itu, manusia akan berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah dan meninggalkan segala kekufuran dan kesesatan. Oleh itu, marilah bersama-sama mengorak langkah, serta bersama-sama mereka yang melakukan tugas yang mulia ini. Tugas yang berat ini hanya akan menjadi mudah sekiranya setiap diri daripada kaum muslimin mengerahkan segala kudrat yang ada ke jalan Allah ini. Semoga Allah menyegerakan kembalinya hari tersebut kepada kita dan melalui tangan-tangan kita. Amin Ya Rabbal ’Alamin.