SN061 – AIR OH AIR, KENAPA ENGKAU BUSUK?
PDF
SN Keluaran 2006
[SN061] Pada 25hb Februari yang lalu, seluruh Malaysia heboh akan berita bekalan air berbau yang melanda penduduk di sekitar Lembah Kelang. Mungkin ramai yang sudah mula melupakan kes tersebut; namun jika kita imbas kembali, laporan khas demi laporan khas telah memenuhi dada akhbar dan media elektronik tempatan dalam usaha untuk membongkar dalang durjana yang menyebabkan air paip yang selama ini menjadi sumber utama untuk keperluan harian tiba-tiba berubah sifat, berbau seperti najis. Upacara tuduh-menuduh berlarutan, mengikuti dendangan lagu ‘Bangau oh Bangau’; masing-masing cuba melepaskan diri dari dipertanggungjawabkan.
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) adalah antara entiti awal yang masuk ke kandang tertuduh kerana dikatakan telah melepaskan tanggungjawabnya dalam merawat air yang dibekalkan kepada pengguna. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid telah menyelar tindakan Syabas yang mengatakan bahawa bekalan air di kawasan yang terjejas itu bukannya terletak di bawah tanggungjawab mereka [UTUSAN 04/03/06]. Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail pula berkata, dakwaan tersebut tidak tepat kerana Syabas dan syarikat pembekal air Selangor yang lain telah mengikut peraturan dan tata cara perjanjian konsesi yang telah dipersetujui oleh kesemua pemegang konsesi dan kerajaan negeri. Akhir-akhir ini, hasil siasatan terkini Jabatan Alam Sekitar mendapati, punca kejadian adalah daripada limpahan air kotor yang terjadi akibat masalah teknikal dari sebuah takungan pusat pelupusan sampah di Bukit Tagar, Selangor yang dibina dan dioperasikan oleh KUB-Berjaya Enviro, sebuah syarikat usaha sama antara Kumpulan Berjaya dan KUB Malaysia Bhd [UTUSAN 07/03/06].
Masalah berkaitan bekalan air seperti yang berlaku bukanlah satu isu yang baru di Malaysia. Sebelum inipun, saban waktu kita dihidangkan dengan pelbagai laporan yang bersangkutan dengannya; masalah tiada bekalan, masalah kecurian air, masalah air berkarat dan sebagainya. Apa yang jelas, sejak industri ini diswastakan oleh kerajaan, isu-isu yang selama ini dipandang biasa mula menjadi isu-isu hangat dan menjadi hujah penting bagi pihak yang menentang penswastaan air untuk menunjukkan kepincangan penswastaan pengurusan sumber air negara dan kegagalannya dalam memastikan hak pengguna terjamin. Isu air busuk yang berlaku ini adalah salah satu daripada insiden-insiden yang menyemarakkan lagi perdebatan berkenaan kebaikan atau keburukan penswastaan sumber air negara.
Pada 15hb Disember 2005 yang lalu, pihak kerajaan yang diwakili oleh Unit Perancang Ekonomi, ajensi-ajensi pelaksana, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dan Kerajaan Negeri Selangor telah menandatangani satu perjanjian konsesi yang melibatkan pengambilalihan PUAS oleh Syabas dalam bidang kuasa pengagihan dan pembekalan air terawat kepada semua pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Perjanjian yang tidak mendapat liputan meluas itu telah menyebabkan Malaysian Trade Union Congress (MTUC) dan Coalition Against Water Privatisation (CAWP) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 24hb Januari 2006 antara lainnya memohon siasatan dibuat terhadap beberapa kesalahan yang dikatakan telah dilakukan oleh Syabas.
Sautun Nahdhah kali ini ingin mengajak pembaca meneliti isu berkaitan dengan air ini dengan lebih luas dan mendalam agar kita dapat memahami permasalahan yang wujud dan membuat kesimpulan yang jitu dengan fikiran yang terbuka. Bukanlah tujuan SN untuk membesarkan perkara yang telah berlaku, tetapi SN ingin membawa pembaca untuk menyedari permasalahan sebenar yang lebih besar dan perlu diberi lebih perhatian berkenaan pengurusan keperluan asas rakyat di dalam sesebuah negara secara amnya.
Air – Minyak kurun ke 21
Air adalah salah satu daripada sumber asli di dunia ini yang amat diperlukan sebagai salah satu keperluan asas manusia. Biarpun bumi pada dasarnya diliputi oleh 70% air, namun, 97.5% daripada air yang terdapat di dunia ini adalah air laut, 1.9% adalah dalam bentuk ais batu polar dan hanya 0.6% selebihnya sahaja yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan harian. Oleh kerana itu, ada pihak yang berpendapat bahawa air boleh dikatakan sebagai minyak kurun ke 21 kerana kepentingannya dan potensinya dalam meraih keuntungan yang besar di masa akan datang. Ini adalah kerana air merupakan keperluan asas manusia yang tidak boleh diganti oleh bahan yang lain. Maka tidak hairanlah sekiranya proses penswastaan sumber air sentiasa dicanang kesana-kemari oleh ejen-ejen sistem kapitalis seperti Bank Dunia dan Koperasi Kewangan Antarabangsa (International Finance Corporation).
Oleh yang demikian, penswastaan pengurusan air yang dilaksanakan di Malaysia bukanlah sesuatu yang terasing dalam kamus kerangka ekonomi kapitalis malah menepati idea dan aspirasi kapitalisme itu sendiri. Dengan penswastaan, kapitalis beranggapan bahawa pengurusan sumber air sesebuah negara akan menjadi lebih teratur, berkesan dan menguntungkan. Secara teorinya, ini akan secara langsung memberi kesan peningkatan terhadap tahap pembekalan dan pengurusan sumber air bagi pengguna. Sehubungan dengan itu, kita dapat melihat, pelbagai negara di dunia ini telah memulakan proses penswastaan sumber air di negara masing-masing sejak awal 1990-an lagi. Dari Bolivia ke Filipina, Indonesia ke Argentina, projek penswastaan besar-besaran telah laksanakan bermula dengan penswastaan air di ibu-ibu kota.
Namun secara praktiknya, apa yang telah berlaku adalah, projek-projek penswastaan yang dijalankan rata-rata menemui kegagalan dalam mencapai objektif perlaksanaannya. Rakyat semakin menderita dengan kenaikan tarif air yang membebankan pengguna berpendapatan rendah seperti kenaikan sehingga 4 kali ganda yang berlaku di Filipina. Kecekapan pengurusan yang masih di takuk lama dan berbagai masalah lain juga dipertikaikan. Jika kita bandingkan, kesan ke atas mereka yang terlebih dahulu mengikuti jalan-jalan penswastaan sumber air di negara mereka, didapati ianya saling tak tumpah dengan permasalahan yang menimpa negara kita. Kes air busuk juga pernah melanda bandar Adelaide, Australia selama tiga bulan pada tahun 1997 hasil penswastaan sistem air kepada konsortium Thames Water dan Vivendi. Apa yang pasti, gagal atau berjaya, syarikat-syarikat gergasi multi-nasional terus-menerus mendapat keuntungan besar dari projek-projek penswastaan tersebut; sebagai contoh syarikat Suez Lyonnaise Des Eaux dari Perancis, Biwater dari Britain, Bechtel, Bougues, United Utilities, Thames Water, Vivendi Universal dan sebagainya.
Dengan kata lain, apabila suatu sumber keperluan rakyat, seperti air, diswastakan dengan harapan agar ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan mutu bekalan yang diterima, kita sebenarnya meletakkan harapan kepada sesuatu yang belum pasti akan berjaya. Hakikatnya, realiti menunjukkan (berdasarkan contoh-contoh yang telah berlaku di seluruh dunia) kejayaannya jarang-jarang, keberkesanannya kadang-kadang, tetapi bebanannya terhadap rakyat memang banyak berlaku.
Ini adalah kerana, secara asasnya objektif asal model penswastaan yang digubal oleh golongan kapitalis bukanlah bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, tetapi adalah untuk mendapatkan keuntungan semaksima mungkin selaras dengan ideologinya yang berteraskan manfaat. Keuntungan material adalah perkara utama yang menjadi insentif bagi syarikat-syarikat yang dipertanggungjawabkan mengurus keperluan masyarakat tersebut. Peningkatan mutu perkhidmatan bukanlah objektif tetapi lebih kepada kesan sampingan daripada usaha-usaha syarikat-syarikat tersebut untuk meningkatkan keuntungan. Peningkatan mutu biasanya tidak akan berlaku sekiranya syarikat tersebut memonopoli pengurusan sumber ini dimana syarikat-syarikat itu tidak langsung merasa tertekan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Meskipun dengan monopoli ini, penurunan tarif air kepada pengguna adalah sesuatu yang amat pasti tidak akan berlaku dengan penswastaan. Kenaikkan mutu air dan perkhidmatan pula mungkin akan atau mungkin tidak akan berlaku bergantung kepada situasi saingan dalam projek penswastaan itu. Jaminan terhadap kepentingan rakyat hanyalah sekadar untuk memenuhi syarat perjanjian konsesi pada keseluruhannya dan bukan menjadi objektif utama syarikat pemegang konsesi. Inilah hakikat penswastaan sumber-sumber umum seperti air atau elektrik.
Walaubagaimanapun, realiti bukanlah menjadi kayu ukur dalam kebaikan atau keburukan suatu perbuatan manusia. Kita tidak sepatutnya mengambil realiti yang berlaku terhadap projek-projek penswastaan prasarana awam di seluruh dunia sebagai piawai sama ada penswastaan adalah baik ataupun tidak. Hukum syara’ tetap kekal sebagai satu-satunya sumber rujukan yang memandu tindak-tanduk seorang Muslim termasuklah dalam urusan pengurusan sumber keperluan asas manusia seperti air.
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, Kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”
[TMQ an Nisaa’ [4]: 65]
Air –Kepemilikan Umum dan Keperluan Asas Manusia
Air adalah satu kepentingan manusia yang paling asas dan tidak patut dipandang remeh. Air bukan setakat diperlukan dalam urusan makan minum dan mencuci pakaian semata-mata, malah ada ketikanya fungsi air menjadi sesuatu yang melibatkan hukum syara’ dimana tanpanya sesuatu yang lain tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Sebagai contoh, dalam hal bersuci, air adalah elemen penting bagi manusia untuk bersuci untuk membolehkan ibadah-ibadah khusus seperti solat dan haji dapat disempurnakan. Kebersihan air dalam konteks ini menjadi sesuatu yang premium dan perlu disediakan tanpa sebarang kecacatan. Dalam hal ini, kegagalan pihak yang bertanggungjawab memastikan bekalan air yang suci lagi menyucikan tidak boleh diterima.
Dalam kita mencari kaedah terbaik menguruskan sumber air untuk manusia, kita perlu meneliti hukum-hakam yang terkait dengan air dan sumber air itu sendiri. Dalam konteks ini, perbincangan mengenai pengurusan air dan sumber air menurut hukum syara’ adalah di bawah tanggapan bahawa Daulah Islamiyyahlah (Khilafah) sebagai penerap hukum Islam yang kaffah bertanggungjawab mengimplementasikannya. Sesungguhnya, segala persoalan dan permasalahan yang sedang dibincangkan ini hanya boleh diselesaikan dengan menerapkan Islam sepenuhnya di bawah payung kekhilafahan ini.
Pertamanya, air dikategorikan sebagai harta kepemilikan umum untuk seluruh umat. Tiada seseorang individupun yang berhak secara penuh terhadap sumber air melainkan beberapa pengecualian yang telah ditetapkan oleh syara’. Imam Ahmad bin Hambal meriwayatkan dari salah seorang Muhajirin yang mengatakan: Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Manusia sama-sama memerlukan dalam tiga perkara: air, padang gembalaan dan api.”
Dalam konteks ini, syara’ menegaskan bahawa Daulah perlu memikul tanggungjawab menguruskan harta-harta kepemilikan umum ini dalam kapasitinya sebagai wakil umat. Dalam memenuhi tanggungjawab ini, syara’ tetap melarang Daulah memberikan atau menukar harta kepemilikan umum kepada mana-mana individu atau entiti (sebagai contoh memberikan hak ke atas sumber air milik umum dengan balasan royalti atau pembayaran tertentu kepada Daulah). Selain dari bentuk-bentuk yang diharamkan ini, Daulah berhak untuk menguruskan sumber-sumber air sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan rakyat selagi tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam yang lain.
Keduanya, air adalah keperluan asas untuk manusia hidup. Ini secara langsung meletakkan Daulah dipertanggungjawabkan secara syar’i untuk memastikan pengurusan dan bekalan air kepada mereka yang hidup di bawah naungan Daulah dapat dipenuhi tanpa kompromi kerana ianya menjadi salah satu daripada hak-hak rakyat yang dituntut dan perlu dilunaskan oleh Khilafah. Khalifah, sebagai ketua negara secara langsung perlu memastikan pengurusan sumber air negara berjalan lancar, memenuhi keperluan rakyat tidak kira di mana mereka berada sama ada di kawasan kering kontang mahupun di kawasan lembah yang kaya dengan sumber air semula jadi. Cabaran-cabaran seperti kemarau di sesuatu tempat bukanlah alasan bagi Daulah untuk menidakkan hak mereka yang mengalaminya untuk mendapatkan air. Khalifah perlu tampil dengan jalan-jalan penyelesaian agar keperluan air rakyat dapat dipenuhi 100%. Tanggungjawab Khalifah dalam menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan keperluan air umat adalah wajib dan bukannya pilihan yang boleh dilaksanakan oleh entiti lain. Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Umar yang mengatakan:
Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda.
“Imam menjadi pemimpin manusia, adalah laksana pengembala. Dan hanya dialah yang bertanggungjawab terhadap (urusan) rakyatnya.”
Oleh itu, Daulah mempunyai kewajiban penuh untuk memastikan bahawa sumber bekalan air, pemprosesan air dan pengagihan air diperhatikan dengan perhatian 100%. Khalifah wajib memastikan bahawa hukum-hukum Islam berkaitan dengan pencemaran ke atas sungai-sungai, sebagai contoh, yang merupakan sumber bekalan air kepada umat di jalankan tanpa kompromi. Kewajiban untuk memastikan bahawa pencemaran alam dikawal atau dihapuskan sepenuhnya adalah tanggunugjawab Daulah sepenuhnya. Penggunaan teknologi moden dalam masalah pelupusan sampah wajib digunapakai sekiranya jalan lain bagi pelupusan boleh membawa masalah yang lebih besar, meskipun ia akan melibatkan kos yang tinggi. Di dalam Islam, kos tidak menjadi faktor utama dalam menjalankan tanggungjawab yang diwajibkan Allah. Daulah juga wajib memastikan bahawa pemprosesan dan pengagihan air dijalankan dengan betul Sesungguhnya semua ini adalah tanggunjawab Daulah dan khalifah akan dipersoalkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala atas tanggungjawab ini.
Khatimah
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengurusan keperluan asas rakyat adalah sesuatu yang amat rumit dan kompleks. Namun ianya tidak sepatutnya dijadikan penentu sama ada urusan-urusan tersebut perlu diswastakan atau tidak. Kapitalisme, pada hakikatnya telah lama menunjukkan wajah sebenarnya yang hodoh, merosakkan kehidupan manusia secara amnya.
Penswastaan pengurusan sumber air atau mana-mana keperluan asas rakyat yang lain adalah salah satu mekanisma kapitalis untuk memerah kekayaan yang menjadi hak milik rakyat agar digondol hanya oleh orang-orang tertentu. Pada masa yang sama, golongan bawahan akan terus tertindas dengan pelbagai permasalahan yang timbul sama ada secara langsung atau tidak langsung kesan daripada penswastaan keperluan-keperluan tersebut.
Sejarah telah membuktikan bahawa Islam pernah menjadi ideologi unggul yang menjadi kuasa besar dunia. Pada waktu itu, Khilafah menjadi peneraju dalam teknologi pengairan dan bekalan air bersih untuk rakyatnya. Perlaksanaan Sistem Islam yang Kaffah adalah satu-satunya harapan umat Islam dan penduduk dunia pada ketika ini untuk berdepan dengan Sistem Kapitalisme ciptaan manusia yang begitu jelas mempunyai terlalu banyak kecacatan.
Pastinya, idea-idea sistem kapitalisme yang pada asasnya mempunyai kecacatan mana mungkin mampu untuk memberikan penyelesaian sempurna untuk setiap permasalahan manusia. Pada mereka yang berpendapat bahawa adalah lumrah bagi sesuatu sistem untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan permasalahan terkini, sampai bilakah kita akan terus sanggup menjadi bahan eksperimen tanpa kepastian akan kesudahannya? Sanggupkah kita meletakkan nyawa manusia sebagai taruhan dalam eksperimen-eksperimen yang kita lakukan ini? Jika hari ini, air kita dicemari ammonia, entah esok entah lusa dicemari pula dengan kuman atau virus yang merbahaya!!
Memang tidak dapat dinafikan, persoalan pengurusan sumber air adalah rumit namun menurut hukum Islam, pengswastaan bukan jawapannya. Negaralah, dan di dalam konteks penerapan Islam secara kaffah, Daulah Islamlah yang bertanggungjawab menguruskan sumber air, pemprosesan serta pengagihannya 100%. Motivasi pengurusan ini hanyalah bersandarkan tanggungjawab Daulah yang diwajibkan Allah untuk menyediakan keperluan-keperluan asas seperti air kepada setiap individu rakyat. Semoga Allah menyegerakan berdirinya Daulah Khilafah agar kesengsaraan yang menimpa umat akan hilang dan kemuliaan Islam menerangi dunia yang hari ini dipenuhi kegelapan.
Wallahua’lam