“Bersihkan Sirte daripada mayat” – Kebiadaban Setiausaha Luar Britain
Setiausaha Negara bagi Hubungan Luar Britain, Boris Johnson telah bertindak biadab dengan mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap umat Islam, khasnya di Libya. Kenyataan tersebut dikeluarkan dalam sebuah mesyuarat sampingan yang diadakan semasa persidangan parti Konservatif 2017 di Manchester baru-baru ini.
Johnson berkata bahawa Sirte, iaitu sebuah bandar pesisir pantai di Libya, berpotensi menjadi Dubai baharu, sebelum menambah, “apa yang perlu mereka lakukan hanyalah membersihkan (Sirte) daripada mayat-mayat” (“The only thing they have got to do is clear the dead bodies away,”) [BBC.com, 4/10/2017].
Sesungguhnya kelancangan yang terserlah daripada kenyataan tersebut menggambarkan betapa mendalamnya kebencian dan sikap permusuhan Johnson (yang mewakili negaranya) terhadap umat Islam, di samping rendahnya nilai nyawa umat Islam di sisi mereka. Mereka memandang rendah kepada umat Islam (yang hidup), apatah lagi yang telah mati (menjadi mayat) langsung tidak dihormati oleh golongan kafir seperti Johnson ini. Padahal dalam agama dan tradisi mereka sekalipun, mayat itu adalah suatu yang perlu dihormati!
British telah melakukan campur tangan ke dalam dunia Islam sejak sekian lama, dan mereka tidak memang terkenal tidak mempedulikan nyawa umat Islam dalam mencapai kepentingan serta agenda politik mereka. Penjajahan mereka ke tanah umat Islam menyaksikan betapa ramai para mujahidin Islam yang dibunuhnya.
Walaupun secara fizikalnya Britain sudah tidak lagi menjajah negara umat Islam, tetapi mentaliti penjajahan masih tetap subur dalam kerajaan British sehingga ke hari ini. ‘Melupuskan mayat’ atau ‘menghina mayat’ yang terbunuh, apatah lagi jika terbunuh tatkala menentang penjajahan mereka, merupakan kebiasaan yang telah berlangsung selama ratusan tahun oleh puak kafir penjajah ini. Itulah mentaliti yang ditunjukkan oleh Johnson, yang menggambarkan mentaliti Britain sebagai penjajah tidak pernah pudar!
Benarlah firman Allah SWT,
“Telahpun nyata (tanda) kebencian daripada mulut-mulut mereka, dan apa yang disembunyikan dalam hati-hati mereka lebih besar lagi” [TMQ Ali Imran (3):118]
Saat ini mereka biadab kerana mereka berkuasa, namun Insya Allah kekuasaan mereka sudah tidak lama dan mereka pasti akan dikalahkan dan menjadi terhina tatkala Khilafah yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir berdiri tidak lama lagi.
Wallahu a’lam.