Membina Kesedaran Politik

Menjelang PRU-14 ini, kehangatan suasana politik dirasakan di Malaysia. Di kalangan parti-parti politik sudah pun memukul gendang, masing-masing sudah berkempen menunjukkan merekalah yang lebih layak mengendalikan pemerintahan di Malaysia selepas PRU-14. Parti Pakatan Harapan sudahpun menamakan calon PM mereka sekiranya mereka menang, manakala bagi BN, umum mengetahui siapa yang bakal menjadi PM selepas PRU-14. Di dalam media sosial pula, pelbagai isu dibangkitkan saban hari demi memuji partinya atau menjatuhkan parti lawan. Namun, di sebalik kehangatan suasana ini, kaum belia dikatakan pasif terhadap politik negara. Mereka tidak percaya dengan institusi politik, muak dengan perangai para politikus dan malah tidak mempedulikan langsung keputusan PRU nanti. Mereka dikatakan tiada kesedaran politik apabila ramai di antara mereka masih lagi tidak mendaftar sebagai pengundi.

Apakah yang dimaksudkan dengan kesedaran politik (al-wa’yu as-siyasi)?                                                    

Kesedaran politik sebenarnya bukanlah bermaksud kesedaran terhadap situasi politik, memahami percaturan politik dan mengikuti peristiwa-peristiwa politik baik dalam negara mahupun antara bangsa. Walaupun kesemua ini memang perlu  untuk mencapai kesempurnaan kesedaran politik. Muhammad Muhammad Ismail dalam kitabnya Al-Fikr al-Islami mendefinisikan kesedaran politik sebagai usaha manusia untuk memahami bagaimana urusan mereka harus dipelihara. Kesedaran politik ialah an-nadzrah ila ‘alam min zawiyatin khashshah (pandangan terhadap dunia dengan sudut pandang yang khas). Bagi kita sebagai kaum Muslim, sudut pandang kita ialah akidah kita, Laa ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah.

Rasulullah saw bersabda: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka berkata Laa ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah. Jika mereka mengucapkannya bererti mereka telah memelihara darah dan harta mereka dariku, kecuali dengan alasan yang benar.”

Oleh kerana itu, kesedaran politik terdiri daripada dua elemen:

Pertama, pandangan terhadap dunia (an-nadzratu ‘ila ‘alam). Dalam hal ini, seseorang yang mempunyai kesedaran politik apabila melihat sebuah masalah dia tidak melihat masalah itu hanya sekadar masalah tempatan atau masalah rantau tersebut, namun melihatnya secara global, sebagai permasalahan dunia. Sebagai contoh, dalam persoalan siapakah yang layak memimpin negara ini, dia tidak melihat isu tersebut hanya sebagai isu dalam negara ini. Dia juga tidak melihat parti mana yang lebih baik memerintah, parti pembangkang atau parti pemerintah. Namun, seseorang yang mempunyai kesedaran politik akan melihat isu pemerintahan ini sebagai isu global bukan isu tempatan sahaja. Masalah pemerintahan bukan hanya disebabkan oleh para pemerintah yang korup, zalim dan lemah di hadapan kuasa-kuasa besar sahaja, namun jauh lebih daripada itu, masalah pemerintahan muncul ldisebabkan oleh sistem demokrasi yang diterapkan.

Sistem demokrasi diamalkan hampir di seluruh negara di dunia dan mengalami masalah yang sama di mana-mana. Sistem demokrasi hanyalah penuh dengan slogan-slogan hipokrit yang tiada faktanya seperti pemisahan kuasa, sistem daripada rakyat untuk rakyat dan keadilan sosial.  Sistem demokrasi yang dipaksakan oleh Barat ke atas dunia Islam hanyalah sebagai mekanisme hegemoni penjajahan Barat ke atas dunia Islam. Demokrasi hakikatnya hanya menjaga kepentingan kaum Kapitalis dan membenarkan mereka menzalimi rakyat yang lemah melalui perundangan yang sah serta menjadikan para pemerintah tunduk kepada kemahuan mereka dan penjajah Barat.  Oleh yang demikian, ketika membahaskan siapa yang layak menduduki tampuk pemerintahan dengan hanya melihat jumlah kerusi di Parlimen, siapa yang dimahukan oleh rakyat dan manifesto parti mana yang lebih baik, maka ia adalah pandangan yang dangkal dan hakikatnya kesedaran politik masih belum terwujud.

Kedua, kesedaran politik juga mestilah mempunyai pandangan yang berasaskan sudut pandang yang khas (min zawiyatin khassah).  Sebagai umat Islam yang mempunyai kesedaran politik kita mestilah mempunyai pandangan khas terhadap sesuatu masalah. Sudut pandang yang khas itu bagi seorang Muslim pastilah mabda’ (ideologi) Islam yang terbit daripada akidah Islam. Berdasarkan mabda’ Islam, umat akan selalu mengaitkan persoalan politik umat dengan Islam, menyelesaikan urusan-urusan umat berdasarkan Islam dan menjadikan mabda’ Islam sebagai miqiyas (ukuran/piawaian) terhadap persoalan politik.

Sebagai contoh, dalam persoalan pemerintahan demokrasi, umat Islam perlu mempunyai pandangan bahawa demokrasi adalah sistem pemerintahan di mana kedaulatan ada di tangan rakyat. Ini bermaksud bahawa rakyatlah yang berhak membuat hukum perundangan melalui suara majoriti, manakala hukum syariah yang tidak disukai oleh majoriti boleh ditolak. Ini adalah bertentangan dengan akidah Islam di mana seluruh hukum Allah swt adalah wajib dilaksanakan sepenuhnya tanpa mengira sama ada ia disukai atau tidak oleh manusia. Selain itu, akibat daripada penerapan sistem demokrasi ini juga, umat Islam berpecah-belah menjadi puluhan negara kecil dan lemah serta terpaksa tunduk kepada kuasa penjajah Barat. Sedangkan Allah swt telahpun mewahyukan sebuah sistem pemerintahan melalui sunnah RasulNya iaitu sistem pemerintahan Khilafah di mana seluruh dunia Islam wajib bersatu di bawah pimpinan seorang Khalifah.

Sabda Rasulullah saw:

“Jika dibaiat dua orang khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” (HR. muslim)

Pemerintahan Khilafah menjadikan kedaulatan terletak pada syarak di mana umat Islam dapat menerapkan seluruh hukum syariah, manakala penyatuan dunia Islam di bawah naungan sebuah negara menjadikan mereka menjadi kuat dan mampu membebaskan wilayah-wilayah yang dijajah dan mengalahkan para penjajah Barat. Inilah sudut pandang yang khas apabila umat Islam mempunyai kesedaran politik.

Orang yang memiliki kesedaran politik Islam dengan sendirinya akan terjun dalam perjuangan untuk membentuk persepsi Islami tentang kehidupan manusia di mana pun dia berada. Dia akan melawan setiap visi dan persepsi yang bertentangan dengan visi dan persepsi Islam. Oleh yang demikian, dia akan berjuang menentang pandangan tentang hak manusia untuk menggubal hukum dalam demokrasi dan persepsi bahawa hukum Allah swt tidak sesuai dengan situasi semasa, lalu berusaha mengubah persepsi tersebut kepada persepsi bahawa manusia sangat memerlukan hukum-hukum Allah dalam kehidupan dan hukum syariah sesuai dengan fitrah manusia sepanjang zaman. Dia juga berjuang melawan usaha yang hendak mengalihkan tujuan yang mulia menjadi tujuan yang keuntungannya sesaat. Ini seperti usaha untuk mengajak umat terus berada dalam sistem demokrasi dengan harapan memperoleh kekuasaan daripadanya agar umat meninggalkan jalan dakwah yang ditunjukkan oleh Rasullah saw melalui metodologinya sehingga terbinanya Daulah Islam. Hasutan-hasutan syaitan ini dihindari dengan keimanan terhadap janji Allah swt dan keyakinannya ke atas  Sunnah Rasulullah saw.

Kesedaran politik sangat penting dan ia perlu wujud di kalangan umat Islam. Tanpa kesedaran politik  maka tidak mungkin seseorang itu akan mengetahui nilai Islam dalam kehidupan individu dan masyarakat.  Tanpa kesedaran politik tidak mungkin berlakunya dokongan umat terhadap para pengembang dakwah yang berjuang melawan kekufuran dan penjajahan. Selain itu, kesedaran politik amat diperlukan untuk mengubah keadaan umat Islam yang buruk hari ini kepada sebuah kebangkitan lalu mengubah keadaan yang ada menjadi kemuliaan.

Bagaimana membina kesedaran politik?

Kesedaran politik hakikatnya adalah cukup sederhana dan tidak terlalu berat. Ia bukan hanya untuk orang-orang yang bijak dan terpelajar sahaja. Kesedaran politik mudah dimiliki oleh seluruh manusia bahkan oleh orang buta huruf dan orang  awam sekalipun. Hal ini kerana kesedaran politik bukan bermakna menguasai Islam secara keseluruhan atau mengetahui seluruh peristiwa dan percaturan politik dunia. Kesedaran politik hanyalah pandangan terhadap dunia – tidak kira sejauh mana pengetahuannya tentang dunia – yang berasaskan sudut pandang khas. Walau bagaimanapun, kita akan dapati kesedaran politik dari satu individu ke individu yang lain berbeza tahapnya; ada yang tahap rendah dan ada yang tahap tinggi bergantung kepada pengetahuannya. Akan tetapi semuanya tetap merupakan kesedaran politik yang melahirkan hasil yang sama iaitu umat dikeluarkan daripada kedangkalan berfikir. Oleh yang demikian, kesedaran politik bukan hanya boleh dimiliki oleh ahli-ahli politik, ulama, para pemikir dan kaum terpelajar sahaja malah orang-orang awam turut boleh memilikinya.

Mengenai cara mewujudkan kesedaran politik pada individu dan umat adalah dengan cara melakukan aktiviti pembinaan politik baik dalam bentuk aktiviti pembinaan pemikiran dan hukum Islam, mahupun dalam bentuk aktiviti mengikuti peristiwa politik. Pembinaan pemikiran dan hukum Islam ini bukanlah pembinaan teori semata-mata tetapi pembinaan dengan menerapkan pemikiran dan hukum Islam itu pada fakta. Begitu juga ketika mengikuti peristiwa-peristiwa politik, aktivitinya bukanlah seperti para wartawan melaporkan berita, tetapi dengan memandang suatu peristiwa politik dengan sudut pandang khusus yang kemudiannya menentukan hukumnya. Pembinaan politik ini dilakukan dalam rangka membina kerangka ideologi dan politik agar terwujudnya kesedaran politik di kalangan umat. Kesemua ini dilakukan agar umat Islam mampu bangkit dan memikul tujuannya yang asas iaitu mengembang dakwah Islam ke seluruh dunia.

Khatimah

Tanda-tanda kesedaran politik telah terhasil di kalangan umat adalah ketika umat memiliki ciri khas iaitu umat memiliki pandangan yang universal terhadap kemaslahatan manusia berasaskan sudut pandang Islam. Majoriti umat Islam memiliki keyakinan bahawa usaha menyelamatkan seluruh dunia dengan selain daripada Islam adalah sesuatu yang tidak mungkin tercapai. Mereka menyedari bahawa usaha mewujudkan Islam di dalam kehidupan tanpa terwujudnya Daulah Islam hanyalah ilusi. Demikian juga secara umumnya orang-orang yang memiliki kesedaran politik memahami usaha untuk menubuhkan Daulah Islam tanpa Islam hanyalah angan-angan. Manakala bagi merealisasikan penubuhan Daulah Islam tanpa kesedaran politik adalah sesuatu yang mustahil.

Rujukan:

  1. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Mafahim Siyasah Li Hizbut Tahrir
  2. Muhammad Muhammad Islam, Al-Fikru Al-Islami