Perkahwinan: Perkara makruf, bukannya jenayah

Berita:

PARIT BUNTAR, 5 Ogos (Bernama) — Undang-undang yang menetapkan lelaki berumur 18 tahun dan perempuan 16 tahun yang ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran mahkamah serta ketua menteri atau menteri besar mungkin ditiadakan pada masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata cadangan itu bagi membuka ruang kepada era baharu undang-undang perkahwinan di negara ini iaitu dengan mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Sumber: bernama.com


Komentar:

Tidak sedikit nas syarak yang menggalakkan perkahwinan/pernikahan malah pada adat dan naluri manusia membina salasilah keturunan merupakan suatu kebanggaan diri, keluarga dan kaum. Maka perkahwinan itulah satu-satunya jalan merealisasikan tuntutan naluri berketurunan tersebut dan bukan dengan cara selainnya. Perkahwinan dapat melestarikan keturunan/nasab, ia merupakan sesuatu yang makruf (baik).

Perkahwinan dalam Islam merupakan suatu wacana yang dibahaskan secara terperinci oleh syarak. Suami dan isteri diberi hak, kewajipan dan peranan masing-masing dalam dunia rumah tangga dan dijami melalui hukum-hukum munakahat Islam. Ia terpakai kepada setiap perkahwinan yang syarie/sah termasuk perkahwinan bawah umur.

Masalah awal perkahwinan dalam Islam ialah ilmu perkahwinan itu sendiri. Calon-calon perlu diberi didikan atau dedahan asas kepada ilmu tentang alam perkahwinan menurut Islam. Dari situ, calon-calon sendirilah yang akan membuat keputusan tengan keinginan untuk melangkah ke alam perkahwinan dan bukannya dengan undang-undang negara.

Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah ditegur kerana mencampuri urusan atau hak individu. Begitu juga pemerintah yang ada pada hari ini, mencampuri hak atau urusan individu ialah suatu kezaliman apatah lagi menjadikan perkahwinan yang mulia itu sebagai suatu jenayah!

Oleh itu, penguasa perlu berusaha menerapkan kemakrufan syarie sepenuhnya. Calon-calon suami dan isteri sepatutnya diberikan pendedahan tentang ilmu dan adab berumah tangga, bukannya menghalang perkahwinan dengan kuasa dan undang-undang ciptaan manusia. Dengan demikian, perkahwinan merupakan satu kemakrufan bukannya jenayah sedangkan menurut Islam, menghalang-halangi perkahwinan itulah yang dianggap sebagai satu jenayah atau kezaliman.

Ridhuan Hakim
Aktivis HTM