HTM Serah Memo Terbuka Kepada PBT
Setelah melakukan kempen “Tutup Kilang Arak” selama lebih kurang dua minggu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini menyerahkan memorandum terbuka kepada beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia, mendesak agar kesemua lesen arak ditarik balik dan lesen baru tidak lagi dikeluarkan kepada premis-premis yang menjual arak.
Dalam memorandum berkenaan, HTM turut mengingatkan PBT akan keharaman arak dalam Islam dan sepuluh golongan yang dilaknat oleh Rasulullah (saw) berkaitan arak. PBT selaku pihak yang mengeluarkan lesen sudah tentu tidak terlepas daripada dosa, selain turut “menyumbang” kepada wujudnya pemandu mabuk, hasil daripada lesen-lesen arak yang dikeluarkan, yang memudahkan penjualan dan pembelian arak secara terbuka.
Rata-rata PBT menerima memo tersebut dengan baik, dan ada pegawai yang menyambut dan melakukan perbincangan lanjut dengan delegasi HTM berhubung isu pemandu mabuk, kilang arak, dan penyelesaian yang seharusnya diambil.
HTM dengan tegas menyatakan bahawa punca kepada pemandu mabuk ialah kerana pemerintah yang memberikan lesen kepada kilang-kilang arak dan juga pengimportan arak secara besar-besaran, dan seterusnya berlakunya penjualan arak secara terbuka di Malaysia yang seterusnya memunculkan pemandu mabuk, yang telah menyebabkan banyak kematian selama ini.
Selain itu, arak sebagai ibu kepada segala maksiat telah menimbulkan banyak masalah lainnya seperti keruntuhan institusi keluarga dan termasuk masalah jenayah, yang mana semua masalah ini tidak akan dapat diselesaikan selagi puncanya tidak diselesaikan.
Kita telah menyaksikan silih bergantinya ramai pemimpin dan pemerintah, namun ternyata sampai kini kilang arak masih berdiri megah dan penjualan arak masih lagi berleluasa, yang semua ini sudah pasti mengundang murka Allah (swt). Inilah antara peringatan yang disampaikan oleh HTM dalam memorandum berkenaan.