Seruan kepada khatib seluruh Johor

Berdasarkan maklumat yang ada di laman sesawang Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), teks khutbah yang bakal dibaca oleh para khatib di seluruh Johor hari ini ialah khusus mengenai Hizbut Tahrir.

Teks khutbah yang bertajuk “Membanteras Fahaman Hizbut Tahrir” itu mengandungi fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang sarat dengan fitnah, pembohongan, pendustaan, pemesongan fakta dan kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir.

Ini merupakan kali kedua teks khutbah seumpamanya telah dikeluarkan oleh JAINJ di mana kali pertama dahulu telah dikeluarkan pada 10/01/2020. Jika dahulu hanya beberapa poin tertentu sahaja yang dimasukkan, namun pada kali ini, hampir kesemua poin yang terdapat dalam fatwa telah dimasukkan ke dalam teks khutbah berkenaan.

Malah terdapat poin yang tidak terdapat di dalam fatwa, tetapi turut dimasukkan dalam khutbah kali ini. Poin yang dimaksudkan ialah:

“…mereka menghukum cara membentuk kerajaan melalui pilihan raya sebagai cara yang kufur…”

Poin ini tidak wujud di dalam fatwa, yang menambahkan satu lagi fitnah baru ke atas Hizbut Tahrir.

Semalam, Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) semasa Sidang Media Online beliau, telah menyeru kepada khatib di seluruh Johor agar melakukan tabayyun sebelum membaca teks khutbah yang penuh dengan fitnah ini.

Kami dengan ini sekali lagi menyeru para khatib di seluruh Johor agar melakukan tabayyun sebelum menjejakkan kaki ke mimbar untuk membaca khutbah pada hari ini.

HTM telah menjawab dengan terperinci fatwa Johor tersebut dan ia boleh diakses di laman sesawang kami di pautan berikut:

https://mykhilafah.com/bantahan-fatwa-johor/

Sesungguhnya JAINJ telah mencemari kesucian rumah Allah (swt) dengan menyebarkan fitnah yang amat keji ke atas Hizbut Tahrir. Justeru diharapkan agar para khatib, yang merupakan Imam kepada umat Islam tidak membantu dalam perbuatan dosa ini. Ingatlah akan firman Allah (swt):

﴿إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui” [An-Nur (24): 19].