Ucapan Amir Hizbut Tahrir, Ulama yang Disegani, Atha’ bin Khalil Abu Ar-Rasytah Sempena Seratus Tahun Kejatuhan Khilafah pada 1342 H – 1924 M

بسم الله الرحمن الرحيم

(Terjemahan)

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam semoga tercurah ke atas Rasulullah (saw), keluarga baginda, sahabat baginda, serta orang-orang yang mengikuti baginda…

Kepada umat Islam secara umum, dan kepada pengembang dakwah yang berjuang untuk mengembalikan Khilafah Rasyidah secara khusus, baik lelaki mahu pun wanita…

Assalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh,

Pada hari ini, seratus tahun yang lalu, pada akhir Rajab 1342 H bersamaan awal Mac 1924 M, kuffar penjajah yang dipimpin oleh Britain pada waktu itu, dengan kerjasama para pengkhianat Arab dan Turki, telah berjaya menghapuskan Khilafah. Penjenayah abad tersebut, Mustafa Kemal, telah mengisytiharkan penghapusan Daulah Khilafah dan pengepungan terhadap Sang Khalifah di Istanbul, yang diusirnya sebelum subuh pada hari yang berkenaan. Itulah harga yang diperintahkan oleh British untuk dibayar kepadanya sebagai balasan atas pelantikannya sebagai presiden republik Turki sekular yang lemah. Demikianlah apa yang terjadi, satu goncangan yang cukup hebat telah menimpa negeri-negeri kaum Muslimin, dengan terhapusnya Khilafah, sumber keagungan mereka dan keredhaan Tuhan mereka.

Sesungguhnya penjenayah tersebut telah mengisytiharkan kekufuran secara terang-terangan dengan menghapuskan Khilafah, setelah kewujudannya sejak sekian lama. Maka tugas umat Islam (pada waktu itu) ialah memeranginya dengan pedang, sebagai mana hadis Rasulullah (saw), dari Ubadah Ibn as-Shamit (ra):

«وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْراً بَوَاحاً عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ»

“Hendaknya kami tidak merebut kekuasaan daripada tangan penguasa, kecuali (Rasulullah bersabda) ‘Apabila kalian menyaksikan kekufuran secara nyata, yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah.’”

Namun, kekejaman dahsyat yang dilakukannya dalam menumpahkan darah umat Islam, terutama para ulama, di mana sebahagian ulama termasuk Syeikh Said Biran (rahimahullah), telah dibunuhnya, manakala sebahagian yang lain dipenjarakan; semua ini telah memberi kesan kepada ketidakberdayaan umat. Umat ​​gagal bangkit untuk menghentikan pengkhianat itu, untuk menjatuhkannya dan pengikutnya. Sebaliknya, tindak balas umat sangat lemah dan tidak mampu untuk menghancurkan pengkhianat Allah, pengkhianat Rasul-Nya dan pengkhianat kaum Mukmin itu! Dengan yang demikian, pelaku kekufuran secara terang-terangan itu, melalui tindakan kejinya, telah “terselamat” daripada dihumban oleh umat ke lembah yang hina!

Akhirnya, pengaruh kuffar penjajah telah menyelimuti wilayah umat Islam, sehingga mereka membahagi-bahagi wilayah tersebut, dan merobeknya menjadi lebih kurang 55 cebisan. Inilah goncangan dahsyat hasil runtuhnya Khilafah. Kemudian berlaku satu lagi goncangan dengan terlepasnya Tanah Yang Diberkati, tanah Isra’ dan Mi’rajnya Rasulullah (saw), kepada Yahudi. Lalu, kuffar Barat telah mempertahankannya dengan apa juga cara bagi memastikan kelangsungannya di tangan Yahudi. Cara pertama ialah dengan memastikan keselamatannya dijaga oleh para penguasa di sekelilingnya, yang merupakan ejen-ejen mereka. Bukan setakat itu, para penguasa itu malah menjadikan diri mereka kalah di tangan Yahudi dalam setiap peperangan yang meletus, sehingga mereka menonjolkan negara Yahudi itu sebagai sebuah kekuatan yang besar, lebih besar daripada ukurannya, dan memberikannya gambaran yang hebat daripada gambarannya yang sebenar. Tidak puas dengan semua itu, mereka (para penguasa khianat itu) berusaha sedaya upaya untuk memerangi Allah dan Rasul-Nya, dengan melarikan isu, daripada mencabut entiti Yahudi dari Palestin daripada akar-akarnya, kepada isu berunding dengan entiti Yahudi, yang mereka harapkan (si Yahudi) akan berundur daripada sebahagian tanah yang didudukinya pada tahun 1967!

Kemudian, mereka terus tunduk membongkok kepada Yahudi dengan lebih rendah lagi, dengan bergegas melakukan normalisasi dengan entiti Yahudi, tanpa kaum terlaknat itu berundur sedikit pun daripada tanah yang mereka duduki!! Sebahagian daripada penguasa ini melakukan jenayah normalisasi ini dari balik tabir, manakala sebahagian yang lain melakukannya secara terang-terangan, dan mereka melakukannya siang dan malam! Setelah pemerintah Mesir memimpin perarakan (normalisasi) yang penuh hina dan jijik ini, Pertubuhan Pembebasan Palestin pula mengikutinya dari belakang. Kemudian diikuti oleh pemerintah Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi. Pemerintah Saudi pula berdiri di tepi jalan sambil melambaikan tangan kepada negara-negara tersebut, memberi isyarat bahawa ia akan menyusuri perarakan tersebut dan tidak akan ketinggalan…Begitulah mereka semua bergegas melakukan jenayah tersebut tanpa mempedulikan penghinaan yang menyelimuti mereka dari hujung rambut hingga hujung kaki.

﴿سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ﴾

“Orang-orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya” [Al-An’am (6): 124].

Bukan hanya Palestin yang telah dikhianati oleh para penguasa ini, malah mereka turut menyerahkan bahagian-bahagian lain yang tidak pernah ternoda dari wilayah Islam. Kashmir telah diserahkan kepada kaum musyrikin Hindu…Crimea pula telah diserahkan kepada Rusia…Sudan Selatan dipisahkan dari Utara…dan Timor Timur terlepas dari Indonesia…Manakala Cyprus, apakah yang kalian tahu tentang Cyprus wahai kaum Muslimin? Ia adalah kubu umat Islam selama bertahun-tahun, sekarang ia berada di bawah kawalan Greece…Muslim Rohingya disembelih di Myanmar (Burma), dan apabila mereka mencari perlindungan di Bangladesh, rejim di sana meletakkan mereka dalam kesulitan dan menghumban mereka ke pulau Basan Char, sebuah pulau berbahaya yang sangat mudah dilanda banjir dan tidak layak untuk dihuni oleh manusia pun!

Kemudian, Turkestan Timur, yang China telah menindas dan memperlakukan kaum Muslimin di sana dengan cukup kejam, yang raksasa pun akan cabut lari darinya. Turkestan Timur menjadi penjara untuk lelaki dan wanita merdeka. Pembantaian beramai-ramai oleh China itu berlaku secara terbuka, bukannya secara sembunyi-sembunyi, didengar dan dilihat oleh penguasa negeri kaum Muslimin di hadapan mata mereka sendiri, namun mereka membatu seperti kubur. Apabila mereka bersuara pula, mereka mengatakan bahawa penindasan terhadap orang Islam oleh China adalah isu dalaman China!

﴿كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ إِنْ يَقُولُونَ إِلَّا كَذِباً﴾

Alangkah buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta” [Al-Kahf (18): 5].

Adapun negara-negara kaum Muslimin lainnya, mereka diperintah oleh penguasa Ruwaibidhah (orang bodoh yang mengurusi urusan manusia) yang mengekori kuffar penjajah ke mana sahaja dan mengikuti apa sahaja kehendak tuannya itu. Mereka tidak benar-benar menjaga keselamatan negara dan tidak benar-benar peduli kepada rakyat. Kekayaan negara dirampas dan maruah mereka dhina oleh penjajah di mana-mana. Sesungguhnya mereka (penguasa Ruwaibidhah ini) tidak ada nilai sedikit pun di sisi penjajah, khususnya Amerika. Amerika “melayan” ejennya ini dengan cara yang penuh hina dan tanpa hormat sedikit pun. Amerika menekan mereka dengan mengatakan, “Tanpa kami, kamu tidak akan dapat duduk di kerusi bengkok kamu itu, walau hanya untuk beberapa hari. Maka, berikan wang kamu kepada kami sebanyak mungkin, bahkan lebih banyak dari yang boleh kamu berikan.” Sungguh, orang yang hina, akan merasa tenang menghadapi kehinaan!!

Wahai kaum Muslimin: Inilah keadaan kalian setelah jatuhnya Khilafah – bangsa-bangsa menyerbu kalian dari segenap penjuru. Tahukah kalian bagaimana keadaan kalian tatkala berada di bawah naungan Khilafah?

Kalian adalah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia. Kalian adalah pengikut Muhammad (saw), penutup para Nabi dan pemimpin para Mujahidin…Nenek moyang kalian adalah para Khalifah ar-Rasyidah, penakluk dan pemimpin dunia…Kalian adalah cucu-cicit Salahuddin, si penakluk tentera Salib dan pembebas al-Quds daripada kekotoran mereka, yang membebaskannya pada bulan yang penuh kebesaran, Rajab 583 H…Kalian adalah cucu-cicit Qutuz dan Baibars, si penakluk Tatar…Kalian adalah cucu-cicit Muhammad al-Fateh, seorang pemimpin muda yang berusia tidak lebih daripada 23 tahun tatkala menakluki Konstantinopel pada tahun 857 H / 1453 M. Allah (swt) telah memuliakannya melalui pujian daripada Rasulullah (saw), sebagaimana Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Bisyr al-Khats’ami:

«فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ»

“Sebaik-baik pemimpin ialah pemimpin (yang membuka)nya, dan sebaik-baik tentera ialah tentera (yang membuka)nya.”

Kalian adalah cucu-cicit Khalifah Sulaiman al-Qanuni, di mana Perancis meminta pertolongannya untuk membebaskan raja mereka daripada tawanan pada abad ke-16 (1525 M). Namun pada hari ini, Perancis telah lupa atau buat-buat lupa akan pertolongan ini, yang datangnya daripada Khalifah umat Islam, sehingga mereka (Perancis) sanggup melampaui batas dan menghina Islam serta Rasulullah (saw). Oleh kerana mereka tahu bahawa Islam telah kehilangan perisainya, maka mereka berani melakukannya tanpa ada yang berani mengajarnya…Kalian adalah cucu-cicit Khalifah Salim III, yang semasa pemerintahannya, Amerika Syarikat terpaksa membayar cukai tahunan untuk membolehkan kapal-kapal mereka melintasi lautan Atlantik ke Mediterranean dengan selamat, tanpa diserang oleh tentera laut Uthmaniyyah di Wilayah (negara) Algiers. Untuk pertama kalinya, Amerika terpaksa menandatangani perjanjian dalam bahasa selain bahasanya (bahasa Daulah Uthmaniyyah) pada tahun 1210 H / 1795 M.

Pada hari ini, Amerika menguasai para penguasa Muslim dengan mengatakan: “Bayar kepada kami, kamilah yang melindungi kamu”…Kalian adalah cucu-cicit Khalifah Abdul Hamid, yang tidak tergoda oleh jutaan emas yang ditawarkan oleh orang-orang Yahudi kepada Perbendaharaan Negara untuk membolehkan mereka menetap di Palestin; yang menyatakan kepada Yahudi dengan kata-katanya yang masyhur: “Tertusuknya belati di dadaku lebih ringan bagiku daripada menyaksikan Palestin terpisah dari Khilafah.” Beliau menambah “…biarkan Yahudi menyimpan jutaan wang mereka…jika Khilafah runtuh satu hari nanti, mereka boleh mengambil Palestin tanpa sebarang harga.” Dan inilah apa yang berlaku!…Kalian adalah cucu-cicit kepada pencipta jam, yang menghadiahkannya kepada Charlemagne, raja terhebat Eropah ketika itu, dan para pengiringnya menyangka bahawa benda (jam) tersebut dipenuhi dengan makhluk aneh dan jin!

Ini adalah bagaimana kita dahulu, dengan pemikiran yang sangat tinggi, dan bagaimana mereka (orang-orang kafir) dahulu, dengan pemikiran mereka yang kosong!

Begitulah keadaan kalian dahulu wahai kaum Muslimin, tatkala Khilafah menaungi kalian, dan beginilah keadaan kalian sekarang tatkala naungan tersebut telah hilang. Oleh itu, ambillah pengajaran wahai mereka yang mempunyai penglihatan…

Sebagai kesimpulan, saya berpaling kepada anda wahai Ahlu al-Quwwah Wa al-Man’ah (orang-orang yang mempunyai kekuatan), wahai cucu-cicit Khalid al-Walid, Salahuddin al-Ayubi dan Muhammad al-Fateh…

Hanya anda yang dapat menyelamatkan umat ini daripada musuh-musuhnya, yang juga merupakan musuh-musuh agama anda. Hanya anda yang dapat menghancurkan penghinaan yang telah menimpa umat Islam di negeri-negeri mereka, negeri-negeri Islam…[Jika anda melakukannya] Anda akan beroleh kemuliaan dalam memulai dan merealisasi harapan umat, dan seluruh umat akan berdiri teguh bersama anda, malah seluruh tentera umat ini akan berdiri di hadapan dan belakang anda. Anda tidak akan bersendirian insya Allah. Maka, tunaikanlah tanggungjawab anda. Semoga Allah memberkati anda.

Bangkitlah demi meraih kemenangan kita semua, bantulah Hizbut Tahrir dalam mendirikan kembali Khilafah ar-Rasyidah, kerana Khilafah bukanlah semata-mata jalan kemenangan dari sudut gambaran realiti, malah ia merupakan kewajipan yang sangat besar, yang dengannya hukum-hakam akan diterapkan dan hudud akan dilaksanakan. Tanpanya, hukum-Allah tidak dapat diterapkan ke atas manusia, dan hudud tidak dapat dilaksanakan di tengah-tengah mereka…Siapa sahaja yang tidak berusaha untuk mendirikan Khilafah dan mewujudkan seorang Khalifah, sedangkan dia mampu, maka dia berdosa besar umpama (dosa) kematian Jahiliah, yang menunjukkan betapa besarnya dosa yang dipikulnya:

«وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً»

“Dan barang siapa yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada baiah (kepada Khalifah), maka matinya (seperti) kematian Jahiliah.”

Kaum Muslimin dahulu memberikan baiah kepada Khalifah sebelum mereka mempersiapkan dan mengebumikan jenazah Rasulullah (saw). Semua ini kerana kepentingan dan keutamaan (melantik seorang Khalifah) yang mesti didahulukan (berbanding pengebumian jenazah)…

Wahai Ahlu al-Quwwah Wa al-Man’ah (orang-orang yang mempunyai kekuatan): Wahai Ahlu an-Nushrah (orang-orang yang memberi pertolongan): Wahai tentera Muslim!

Tidakkah ada Mus’ab bin Umair, As’ad bin Zurarah, Usaid bin Hudhair dan Sa’ad bin Muadz dalam kalangan anda? Mereka ialah insan-insan yang telah membantu (agama) Allah dan membantu Rasul-Nya, dan mereka telah meraih kemenangan di dunia dan juga akhirat. Bahkan arasy ar-Rahman bergegar di saat kematian Sa’ad bin Muadz, kerana nusrah (pertolongan) yang diberikannya untuk agama Allah. Bukhari meriwayatkan daripada Jabir (ra), ia berkata, “Aku mendengar Nabi (saw) bersabda:

«اهْتَزَّ العَرْشُ لِمَوت سعد بن معاذ»

“Arasy bergegar di saat kematian Sa’ad bin Muadz.”

Tidakkah ada insan yang bijaksana dalam kalangan anda yang akan membantu (agama) Allah dan Rasul-Nya, dan membantu orang-orang yang menyeru anda ke arahnya? Sesungguhnya umat ini sedang ​​menanti anda. Ia sedang menanti takbir daripada anda sehingga ia dapat turut bertakbir bersama anda. Tatkala anda bertakbir sambil menjulang tinggi ar-rayah (bendera Islam) dengan tangan-tangan anda, umat ini akan melaungkan ucapan kegembiraan buat anda. Inilah satu-satunya jalan menuju kebangkitan umat, yakni dengan menegakkan Khilafah Rasyidah yang akan menerapkan Islam dalam negara dan menyebarluaskannya ke seluruh dunia dengan jalan dakwah dan jihad. Dengan cara inilah Allah (swt) akan memberikan kemenangan buat umat Islam:

﴿إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ﴾

“Sesungguhnya Kami menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).” [Ghafir (40): 51].

Wahai tentera Allah: Kita semua sedar bahawa malaikat tidak akan turun dari langit untuk menegakkan Khilafah untuk kita, dan (malaikat tersebut) memimpin tentera yang akan menguatkan Islam dan umat Islam. Namun, Allah (swt) akan menurunkan malaikat-Nya untuk membantu kita sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan dan di jalan yang benar, untuk mengembalikan kehidupan Islam di muka bumi ini dengan menegakkan Khilafah. Inilah janji yang sama sekali tidak akan dimungkiri yang terdapat dalam Kitabullah dan Hadis Rasul-Nya. Janji ini tidak akan terjejas sedikit pun oleh ucapan orang-orang yang menyatakan bahawa tegaknya Khilafah pada hari ini adalah satu khayalan. Hakikatnya, orang-orang yang menyatakan bahawa tegaknya Khilafah adalah satu khayalan, merekalah yang sebenarnya sedang berkhayal, kerana tegaknya Khilafah adalah satu realiti yang akan terjadi insya Allah, dan hal ini dapat disahkan oleh empat fakta:

Pertama: Janji daripada Allah:

﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ﴾

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka” [An-Nur (24): 55].

Kedua: Khabar gembira (busyra) daripada Rasulullah (saw) bahawa akan kembalinya Khilafah ala minhaj nubuwwah (Khilafah di atas jalan kenabian) setelah al-mulk al-jabariy (pemerintahan diktator). Nabi (saw) bersabda:

«…ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ» ثُمَّ سَكَتَﷺ

“…kemudian akan ada pemerintahan diktator, dan ia ada selama Allah menghendakinya, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendakinya, kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian. Kemudian Rasulullah (saw) diam” [Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Huzaifah].

Ketiga: Umat ini merupakan umat yang hidup, umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia:

﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ﴾

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” [Ali Imran (3): 110].

Tatkala lenyapnya Khilafah, ia (umat ini) ibarat singa yang berhenti sejenak sebelum melakukan serangan…

Keempat: Adanya sebuah parti, dengan izin Allah (swt), yang ikhlas berjuang semata-mata kerana-Nya, yang jujur ​​lagi benar terhadap Rasul-Nya (saw), yang bersegera serta berjuang siang dan malam untuk meraih janji dan khabar gembira, seakan-akan ia membenarkan sabda Rasulullah (saw):

«لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ»

“Senantiasa ada sekelompok dari umatku yang tetap berada di atas kebenaran, orang-orang yang menghina mereka tidak akan dapat memudaratkan mereka, dan mereka tetap seperti itu sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (kiamat)” [Dikeluarkan oleh Muslim dari Tsauban].

Sesungguhnya mana-mana satu daripada empat ini sudah cukup untuk menyatakan bahawa perjuangan untuk menegakkan Khilafah bukanlah khayalan, maka apatah lagi jika keempat-empatnya terpenuhi?! Oleh yang demikian, tegaknya Khilafah adalah sebuah fakta nyata, yang akan berlaku sedikit masa lagi, insya Allah. Kestabilan dan kesinambungannya setelah ia tegak akan dapat disaksikan insya Allah. Struktur negara-negara besar yang ada pada hari ini akan luluh lantak ke jurang yang dalam.

Sesungguhnya negara-negara yang besar ini amat kecil di sisi Allah (swt) dan di sisi hamba-hamba-Nya. Lihatlah betapa kecil makhluk ciptaan-Nya (Covid-19) yang hampir tidak dapat dilihat (dengan sebarang alat), telah memberi kesan kepada negara-negara tersebut. Amerika sebagai contoh, pemimpin kepada negara-negara besar tersebut…lihatlah apa yang terjadi padanya dalam pilihanrayanya – satu kelompok menganggap pilihanraya tersebut sebagai pencurian dan penipuan, manakala satu lagi kelompok menganggapnya sebagai kemenangan besar! Ia tidak hanya terhenti setakat peperangan mulut, tetapi dengan serangan ke atas institusi rasmi, dan kehilangan nyawa dengan peluru api di koridor ketua Kapitalisme itu. Kemudian, kedua-dua kelompok menyeru kepada demokrasi yang telah hancur!

Inilah dunia hari ini, yang telah menjadi tua sebelum muda. Hanya dengan tegaknya Negara Islam, Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah, yang akan dapat menyelamatkannya…

Saudara dan saudari: Kami telah berjuang dan memohon kepada Allah (swt) agar Khilafah tegak sebelum memasuki 100 tahun kejatuhannya. Hari-hari berlalu meninggalkan kita, selama 70 tahun kewujudan Hizbut Tahrir, kita sudah hampir dapat menyentuh Khilafah, lalu kemudian ia menjauh. Namun kita sama sekali tidak akan putus asa dengan rahmat Allah. Maka, kita tetap meneruskan perjuangan sambil mata kita terus menatap kepada Khilafah, dan jantung kita terus berdegup ke arahnya. Kita semua yakin bahawa ia akan kembali, kerana Rasulullah (saw) telah memberitahu kita khabar gembira akan kemunculannya untuk kali yang kedua:

«…ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ»

“Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian.”

Semua ini sudah cukup untuk menjadi motivasi bagi kita, dan menguatkan tekad kita untuk terus menyalakan api perjuangan. Semua motivasi ini boleh mengubah seseorang menjadi sosok yang lain, dari terpaku melihat malapetaka yang wujud, kepada seorang yang optimis untuk keluar daripada malapetaka. Inilah yang dikhabarkan kepada kita oleh Yang Maha Mengetahu lagi Maha Pakar:

﴿فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً * إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً﴾

“Maka sesungguhnya berserta kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya berserta kesulitan itu ada kemudahan” [Al-Insyirah (94): 5-6].

Inilah jua yang dikhabarkan oleh insan yang benar lagi dipercayai dalam Hadisnya yang menenangkan:

«وَلَنْ يَغْلِبَ عُسْرٌ يُسْرَيْنِ»

“Satu kesulitan tidak akan dapat mengalahkan dua kemudahan”

Inilah jua pesanan Umar kepada Abu Ubaidah:

فَإِنَّهُ لَمْ تَكُنْ شِدَّةٌ إِلاَّ جَعَلَ اللَّهُ بَعْدَهَا مَخْرَجاً، وَلَنْ يَغْلِبَ عُسْرٌ يُسْرَيْنِ

“Tidak ada kesulitan kecuali Allah membuka baginya setelah itu kemudahan, dan satu kesulitan tidak akan dapat mengatasi dua kemudahan.”

Oleh itu, pertolongan akan pasti datang, dengan kehendak Allah, Tuhan semesta alam, dan Khilafah akan berdiri melalui tangan orang-orang yang benar-benar beriman. Ia akan menghancurkan entiti Yahudi dan akan mengembalikan Palestin ke Darul Islam. Rom akan dibuka setelah pembukaan saudaranya (Istanbul), dan tekak-tekak yang murni akan melaungkan firman Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa:

﴿وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وزهق الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً﴾

“Dan katakanlah: ‘Kebenaran telah datang dan kebatilan telah lenyap’. Sesungguhnya yang batil itu adalah suatu yang pasti lenyap” [Al-Isra’ (17): 81].

Dunia akan bergema dengan laungan takbir dan bumi akan bersinar dengan cahaya Islam.

«لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَلَا يَتْرُكُ اللَّهُ بَيْتَ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ إِلَّا أَدْخَلَهُ اللَّهُ هَذَا الدِّينَ بِعِزِّ عَزِيزٍ أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ عِزّاً يُعِزُّ اللَّهُ بِهِ الْإِسْلَامَ وَذُلّاً يُذِلُّ اللَّهُ بِهِ الْكُفْر»َ

“Urusan (agama Islam) ini pasti akan menjangkau semua tempat yang terjangkau oleh siang dan malam, dan tidaklah Allah membiarkan satu rumah pun baik di kota mahupun desa atau di mana-mana pelosok, kecuali Allah memasukkan agama ini dengan kemuliaan yang menjadikannya (Muslim) mulia atau dengan kehinaan yang menjadikannya (kafir) hina. Dengan kemuliaan, Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan, Allah menghinakan kekufuran” [Dikeluarkan oleh Ahmad dari Tamim ad-Dari].

Kami sedar bahawa musuh-musuh Islam beranggapan bahawa hal ini (kemenangan Islam) mustahil terjadi, dan mereka mengulangi ejekan para pendahulu mereka,

﴿غَرَّ هَؤُلَاءِ دِينُهُمْ﴾

“Mereka itu (orang-orang Mukmin) ditipu oleh agama mereka” [Al-Anfal (8): 49].

Namun, ucapan itu menjadi bencana bagi mereka yang mengucapkannya. Allah (swt) memperkuatkan agama-Nya, dan memberi kemenangan kepada penganutnya. Hari (kemenangan) itu akan menjadi malapetaka kepada mereka (musuh-musuh Islam) kerana Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ada bersama hamba-Nya yang bertawakal kepada-Nya, yang ikhlas semata-mata untuk-Nya, yang jujur terhadap Rasul-Nya, yang berusaha keras dan berjuang bersungguh-sungguh, yang hati dan seluruh anggota badannya tidak pernah lupa akan firman Tuhannya:

﴿إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً﴾

“Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu” [At-Talaq (65): 3].

Saban hari yang berlalu, mereka semakin mendekati “qadar” (ketentuan) ini.

﴿وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ﴾

“Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [Yusuf (12): 21].

Wassalamu alaikum wa rahmatullah wa barakatuh

Saudaramu

Atha’ Bin Khalil Abu Ar-Rasytah

Amir Hizbut Tahrir

Sabtu, 29 Rajab 1442 H

13 Mac 2021 M