Jenayah Digital dalam Dunia Kapitalisme Menjadikan Wanita sebagai Mangsa

Korea Selatan merupakan antara negara kuasa ekonomi terbesar dan salah sebuah negara peneraju utama dalam bidang teknologi dunia. Namun beberapa tahun belakangan ini, negara itu dilanda kemelut jenayah seksual digital yang parah. Jenayah seksual digital ini dilaporkan dilakukan menerusi perkongsian gambar atau video lucah dengan cara menceroboh privasi individu dan orang awam secara berleluasa. Banyaknya peranti pengintipan (spycam) dipasang di tempat awam atau ‘molka’ seolah-olah telah menjadi satu kebiasaan, malah ia menjadi semakin parah apabila hasil rakaman secara tersembunyi ini turut digunakan sebagai cara membalas dendam serta disebarkan secara meluas di platform digital pornografi. Penggunaan peranti kamera pengintip yang kian berleluasa ini turut mendesak polis untuk memeriksa tandas awam dari semasa ke semasa. Kes ini menunjukkan bahawa keselamatan wanita Korea Selatan dalam era digital hari ini sangat rentan sehingga mewujudkan persekitaran yang penuh tekanan dan berisiko kepada mereka. Sebahagian mangsa mengambil keputusan drastik dan ekstrem dengan jalan membunuh diri, malah ada juga yang mengalami depresi melampau akibat trauma dan tidak mampu menghadapi tekanan sosial rentetan tindakan yang tidak bermaruah dan kejam ini.


Komentar:

Pada masa kini, teknologi digital berkembang dengan sangat pantas dan hampir semua orang boleh mengakses internet, khususnya dengan kemunculan smartphone yang mudah digunakan, bahkan oleh anak kecil sekali pun. Dengan kehadiran teknologi digital, segala informasi di suatu tempat amat mudah dicapai, malah boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Namun begitu, kemajuan teknologi yang disalahgunakan menjadi kebimbangan dan menghantui bukan hanya wanita Korea Selatan, malahan orang ramai di seluruh dunia. Tidak dinafikan bahawa persekitaran digital memainkan peranan yang sangat penting terutamanya ketika dunia berdepan cabaran pandemik Covid-19. Walaupun teknologi memberi peluang kepada penggunanya untuk belajar, dan menonjolkan kreativiti, ia juga dapat membuka ruang kepada budaya baru yang negatif seperti buli siber, industri pornografi dan eksploitasi seksual yang membahayakan kesihatan mental serta kesejahteraan penggunanya. Misalnya Spycam yang sepatutnya dijadikan sebagai alat keselamatan di rumah dan di tempat awam telah disalahgunakan sebagai alat untuk merakam waktu privasi individu oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Lebih malang lagi, ada yang menjadikan alat ini untuk memeras ugut terutamanya wanita apabila segala aktiviti harian termasuk aktivti peribadi mereka berjaya dirakam. Kemajuan teknologi ini juga menjadi pemicu kepada berkembangnya industri pornografi dan menggalakkan lagi kes-kes jenayah digital yang menjanjikan hasil yang lumayan dan keseronokan. Inilah akibatnya apabila teknologi digital hari ini didominasi oleh nilai-nilai yang tidak sesuai dengan Islam, diurus dan dikuasai oleh golongan sekular kapitalis yang hanya melihat sesuatu berdasarkan manfaat dunia, bukan dari kaca mata syarak. Maka isu kebejatan sosial tidak menjadi kepedulian (concern) utama para pembangun teknologi dan pembuat polisi. Akibatnya, masalah ini akhirnya menjadi tidak terkawal sehingga menjadi barah yang merosakkan masyarakat.

Kapitalisme sering membuka ruang kepada para penjahat yang sentiasa mencari peluang merosakkan pemikiran umat manusia. Teknologi seks digital hari ini diberikan penekanan sebagai daya tarikan tanpa memperhitungkan bahaya yang ditimbulkan. Selain itu, teknologi tanpa kawalan dan halatuju yang benar juga dicipta dan diperkembangkan untuk mencipta keresahan jiwa dan membakar hawa nafsu manusia. Hal ini menyebabkan para pelaku menjustifikasikan kebebasan bertingkahlaku sebagai hak untuk mengolah `kreativiti’ penggunaan teknologi ke arah yang salah dan tidak bermoral. Mereka melakukan jenayah ini tanpa segan silu, lebih-lebih lagi merasakan tiada pengawasan daripada orang lain. Mereka juga merasakan ia sebagai suatu perbuatan kebiasaan memandangkan peralatan seumpama spycam ini mudah untuk diperoleh di mana-mana, dalam pelbagai bentuk. Sistem sekular-kapitalisme yang diamalkan pada hari ini, menjadikan para pelaku tidak merasakan perbuatan mereka sebagai tidak bermoral kerana tiada aspek ruhiyyah ditekankan dalam pembangunan insan. Akhirnya pola fikir manusia yang waras tidak dapat diterapkan. Inilah kesan akibat dari pola fikir dan pola sikap sekular yang menjadi anutan kebanyakan negara pada hari ini, yang memisahkan nilai-nilai agama dari kehidupan. Maka tidak menghairankan apabila ada sebahagian masyarakat yang menjustifikasikan jenayah seksual sebagai hal yang normatif bagi masyarakat moden dan liberal. Justeru, masalah ini sebenarnya tidak boleh dinafikan terkait rapat dengan acuan sistem yang digunapakai oleh sesebuah negara termasuk Korea Selatan. Hal ini semestinya sangat bertentangan dengan Islam kerana Islam mempunyai pola fikir dan pola sikap untuk diterapkan kepada seluruh umat Islam dan warganegara.

Umat Islam sewajarnya mengambil pelajaran penting dari kemelut jenayah digital yang terjadi di Korea Selatan ini. Ini kerana, jika negeri-negeri umat Islam turut menggunakan acuan ideologi yang sama seperti Korea Selatan, sudah semestinya umat ini akan turut menjadi lubuk masalah sosial yang sama.

Sebagai pengguna teknologi digital, umat Islam perlulah dilengkapi ketahanan, pengetahuan dan kemahiran untuk melindungi diri dalam semua keadaan dan pengaruh tidak baik. Hal ini termasuk kemahiran literasi digital untuk membolehkan mereka mendapat manfaat dan menjauhkan diri daripada jenayah seks digital ini. Selain itu, kebebasan pengguna terhadap akses kepada maklumat dan privasi perlu dikawal dan dipantau bagi mengelakkan teknologi ini disalahgunakan. Malah, negara perlu memainkan peranan yang penting dalam membendung arus globalisasi yang membawa budaya tidak bermoral dari masuk ke negeri-negeri umat Islam, seterusnya mengancam kesejahteraan ummah.

Oleh yang demikian, satu-satunya cara untuk mencegah dan menangani segala bentuk jenayah digital hingga ke akar umbinya adalah dengan mengambil penyelesaian Islam secara menyeluruh. Sesebuah negara mestilah menerapkan ideologi Islam sebagai dasarnya agar pembangunan teknologi dibina dan digunapakai sesuai dengan ketetapan syarak. Malah nuansa ketakwaan dapat diwujudkan dalam masyarakat demi menangkis budaya-budaya tidak syarie yang lahir daripada kantung negara kuffar.

Sesungguhnya, kegagalan sistem Kapitalisme dalam menyelesaikan masalah penyalahgunaan teknologi digital seharusnya menjadi pengajaran terutamanya kepada umat Islam untuk tidak mengikut hukum Barat dan negara-negara sekular lain. Di samping itu, umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya menghancurkan pemikiran kapitalistik dan sekularistik yang hanya menimbulkan kerosakan kehidupan manusia. Sesungguhnya, teknologi digital yang sedang pesat berkembang ini akan membawa kebaikan jika digunakan sesuai dengan tuntutan Islam dan sebaliknya akan membawa bahaya dan kemudharatan jika bertentangan dengan Islam.

Nurul Hazirah

(Aktivis MHTM)

Sumber: Jenayah seksual digital hantui wanita Korea Selatan (bharian.com.my) /16/6/2021