Tumbangnya PN: Apa pengajarannya?
Pemerintahan Perikatan Nasional yang sejak sekian lama tidak stabil akhirnya tumbang secara rasminya semalam (16/08/2021) dengan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh menteri kabinet. Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan diri dan kerajaannya, termasuklah dengan menawarkan “rasuah” jawatan kepada pembangkang di saat-saat akhir, namun tidak berjaya.
Dengan tumbangnya PN yang memerintah negara paling pendek dalam sejarah Malaysia iaitu selama 17 bulan, apakah pengajaran yang boleh diambil bagi mereka yang berakal?:
- Pengkhianatan dibalas dengan pengkhianatan – Seluruh dunia mengetahui bahawa naiknya PN ke tampuk pemerintahan ialah melalui jalan pintu belakang atau jalan tebuk atap. Mereka telah mengkhianati rakan-rakan komponen mereka melalui “Langkah Sheraton” yang akhirnya komplot mereka itu berjaya. Hal ini sekali gus bermaksud mereka berjaya ke kerusi empuk Putrajaya dengan mengkhianati undi rakyat yang memilih mereka melalui proses demokrasi yang mereka sendiri junjung tinggi. Akhirnya, mereka tumbang dengan pengkhianatan daripada rakan sekutu mereka sendiri, yang telah menarik balik sokongan, yang menyebabkan PM hilang majoriti, dan segalanya berakhir untuk PN. Dengan kata lain what you give you get back.
- Ikatan manfaat yang sangat rapuh – Parti-parti yang bergabung dalam sistem demokrasi lalu membentuk pemerintahan, semuanya bergabung atas dasar manfaat. Mereka hanya inginkan dan tamakkan kekuasaan. Mereka akan kekal sebagai sebuah gabungan selagi mereka masih menikmati manfaatnya. Apabila manfaat sudah hilang, maka mereka akan berkelahi, mengugut dan menikam satu sama lain, dan akhirnya terlerailah gabungan mereka apabila mereka gagal berkompromi. Itulah yang terjadi sejak sekian lama, dan secara berulang-ulang dalam politik demokrasi, dan itulah yang terjadi kepada PN. Ikatan mereka cukup rapuh, lebih rapuh dari sarang labah-labah. Selepas ini mereka akan mencari dan membentuk gabungan baru pula selama mana ada manfaat buat mereka. Di sinilah umat Islam perlu sedar bahawa politikus dan parti politik dalam demokrasi hanya bergabung untuk kepentingan diri mereka, bukannya untuk kepentingan umat, dan bukan untuk kepentingan Islam!
- Pengkhianatan terhadap amanah Allah – Selain mengkhianati undi rakyat, apa yang jauh lebih penting daripada itu ialah kerajaan PN telah mengkhianati amanah yang Allah letakkan di bahu mereka. Tidak ada lain amanah pemerintahan kecuali untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah, namun kerajaan PN telah mengkhianatinya. Di sebalik slogan yang mereka banggakan sebagai sebuah kerajaan Melayu-Islam, hakikatnya mereka tidak menerapkan Islam, malah tidak ada satu usaha pun untuk mereka menerapkan Islam. Mereka terus mengekalkan Perlembagaan, sistem dan undang-undang yang datangnya dari penjajah. Dengan apa yang mereka lakukan ini, mereka hanya mengundang azab Allah. Umat Islam wajib sedar dan menolak siapa sahaja dan parti politik mana pun yang telah terbukti mengkhianati amanah Allah.
- Kekuasaan itu milik Allah – Hal ini sungguh sukar untuk diambil pelajaran oleh politikus demokrasi, walhal mereka menyaksikan berapa ramai orang-orang sebelum mereka yang satu per satu jatuh dari kekuasaan dengan cara yang hina dan memalukan. Lebih hina di sisi Allah apabila mereka tidak menerapkan hukum-Nya sepanjang pemerintahan mereka. Apabila naik muka baru ke pemerintahan, mereka akan mengulangi hal yang sama. Mereka akan sombong kepada Allah dan merasakan yang mereka boleh kekal di kerusi pemerintahan selama-lamanya. Atas dasar itu apabila memerintah, mereka lupa kepada Allah dan mencampakkan segala hukum-Nya. Mereka lalai dari mengingati Allah dan lalai dari menunaikan amanah kekuasaan yang Allah letakkan di bahu mereka. Mereka lupa bahawa ada azab yang menanti mereka di akhirat atas kelalaian mereka itu.
Sesungguhnya umat Islam akan terus diperintah oleh orang-orang yang menderhakai Allah selagi umat ini tidak memilih orang yang ingin menerapkan hukum Allah dalam pemerintahan. Kesannya, umat Islam itu sendiri yang akan turut menderita, dan negara ini tidak akan menjadi negara yang baik yang diredhai oleh Allah. Hanya dengan terlantiknya seorang Khalifah yang beriman lagi bertakwa, barulah umat Islam dan negara ini akan berada di bawah rahmat dan pengampunan Allah. Inilah pengajaran penting yang harus diambil oleh umat Islam.
Wallahu a’lam.