Malaysia Perlukan New Political Players
Sesungguhnya rakyat sudah muak dan mual dengan politikus yang ada, yang rata-ratanya mementingkan kuasa berbanding kepentingan rakyat. Lebih menyakitkan apabila setiap kali mereka berbicara, tidak ada yang keluar daripada mulut mereka kecuali pembohongan secara terang-terangan bahawa mereka melakukan segala sesuatu demi kepentingan rakyat. Mereka ingat dan mereka berharap yang mereka boleh memperbodohkan rakyat selamanya. Inilah realiti politikus demokrasi, tidak kira dari parti mana pun.
Di saat perebutan kuasa yang berlaku sekarang sehingga menyaksikan tumbangnya kerajaan PN, politikus demokrasi sudah pasti akan lebih sibuk untuk mencari sokongan bagi menaiki takhta dan merebut segala peluang yang ada untuk kepentingan peribadi dan parti masing-masing. Dalam politik demokrasi ini, politikus dan parti politik mana pun yang akan ke Putrajaya selepas ini tentunya tidak akan membawa apa-apa perubahan.
Kenapa keadaan tidak akan berubah? Kerana mereka yang baru sahaja jatuh sudah pasti tidak akan berdiam diri untuk berusaha, dan tidak mustahil untuk sekali lagi berkomplot menjatuhkan lawan mereka sebagaimana mereka telah berkomplot dahulu. Manakala mereka yang baru naik pula sudah pasti akan berhempas pulas untuk mempertahankan takhta, apa lagi jika majoritinya cukup tipis. Harus diingat bahawa sekarang ini berapa ramai yang sedang mabuk kuasa untuk berada di puncak dan sanggup melakukan apa sahaja demi habuan duniawi.
Hal inilah yang menjadi penyebab politik Malaysia tidak akan berubah yang sekali gus bermaksud nasib rakyat juga tidak akan berubah. Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya ialah faktor karakter political players (pemain politik) itu sendiri. Pemain politik yang ada dalam sistem demokrasi ini semuanya telah dibentuk oleh sistem penjajah dan oleh cara berfikir penjajah.
Tujuan politik mereka ialah untuk berkuasa dan kekal berkuasa, dan terus kekal berkuasa sampai mati jika boleh. Itulah yang ada dalam benak mereka sejak hari pertama mereka menjejakkan kaki ke gelanggang politik, dan itulah hakikat politik yang diajar oleh penjajah. Segala-galanya adalah tentang kuasa, dan tujuan tertinggi politik mereka ialah untuk meraih setinggi-tinggi takhta yang mampu diraih, dan untuk mencapai tujuan itu, formulanya ialah “matlamat menghalalkan cara”. Atas dasar itu, mereka akan melakukan apa sahaja tanpa mengira halal dan haram. Mengejar kekuasaan telah menjadi orientasi hidup mereka selagi mereka bergelar ahli politik.
Padahal politik dalam Islam (siyasah syar’iyyah) ialah tentang pengaturan urusan umat (ri’ayah asy-syu’un al-ummah) yakni bagaimana umat ini perlu diatur dengan Islam. Jadi tujuan politik ini menghendaki pemerintah mengatur segala urusan umat dengan hukum-hakam Islam, atau dengan kata lain menerapkan hukum Allah secara sepenuhnya dalam negara. Manakala rakyat juga wajib berpolitik dalam erti kata rakyat wajib melakukan amar makruf nahi mungkar ke atas pemerintah. Rakyat wajib memuhasabah pemerintah sekiranya pemerintah melakukan kezaliman atau kelalaian. Apabila kedua-dua pemerintah dan rakyat menunaikan kewajipan politik masing-masing dengan cara yang Islami ini, maka insya Allah kesejahteraan dan redha Allah akan dapat dicapai.
Untuk mencapai siyasah syar’iyyah ini, tidak ada cara lain kecuali dengan umat Islam menolak semua politikus demokrasi yang telah terbukti korup selama ini, dan umat Islam itu sendiri wajib memainkan peranan politik masing-masing sebagaimana tuntutan Islam. Sesungguhnya umat Islam memerlukan new political players (pemain politik yang baru) yang hanya berpegang kepada hukum Islam semata-mata, bukannya berpegang kepada hukum demokrasi, barulah perubahan yang diimpikan selama ini akan tercapai insya Allah.
New political players ini sudah pasti terdiri daripada mereka yang berusaha dan bergerak di bidang politik untuk menggantikan sistem kufur demokrasi yang diamalkan pada hari ini, dengan sistem Khilafah, satu-satunya sistem Islam yang wajib ke atas kita semua. New political players ini adalah orang-orang yang mempunyai misi dan visi untuk menerapkan Islam secara kaffah melalui penegakan negara Khilafah. New political players juga adalah orang-orang yang sedikit pun tidak tertawan dengan manfaat duniawi, tetapi perjuangan mereka hanyalah untuk Allah dan Rasul. Maka, hanya dengan new political players seperti ini sahajalah perubahan hakiki dapat direalisasikan dan Malaysia dapat diselamatkan insya Allah.
Wallahu a’lam.