SN603 – Air: Antara Tanggungjawab Dan Dosa Pemerintah

SN603

27 Mei 2022 M / 27 Syawal 1443 H

 

Isu air di Kelantan masih tidak selesai walaupun setelah lebih 30 tahun negeri tersebut diperintah oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS). Alasan demi alasan diberikan oleh kerajaan negeri, yang sudah muak didengar oleh rakyat khususnya oleh penduduk yang sudah lama terjejas. Sesungguhnya tempoh 30 tahun itu cukup panjang dan berdasarkan akal yang waras, sudah tidak masuk akal untuk sesebuah masalah berpanjangan selama itu, apatah lagi masalah yang melibatkan isu sepenting air! Lebih tidak masuk akal lagi apabila mereka mendakwa bahawa pemerintahan mereka ialah sebuah pemerintahan Islam, yang menggambarkan seolah-olah Islam gagal menyelesaikan masalah air yang merupakan keperluan asas rakyat, selama 3 dekad! Apakah Islam tidak mempunyai hukum-hakam dalam masalah pengurusan air, atau hakikatnya hukum Islam yang tidak diambil untuk menyelesaikan masalah? Apa pun alasan yang diberikan, suatu perkara yang seharusnya diakui ialah kerajaan telah gagal menyelesaikan masalah air Kelantan, baik kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat, dan hakikat ini tidak seharusnya berhenti di sini, kerana kewajipan untuk menyelesaikannya tetap terbeban di bahu kedua-dua mereka!

Air Sebagai al-Milkiyyah al-Ammah

Sebelum membincangkan masalah dan solusi secara umum, kita perlu fahami dahulu mengenai status air dalam Islam sebagai al-milkiyyah al-ammah (pemilikan umum). Al-milkiyyah al-ammah adalah harta yang telah ditetapkan status kepemilikannya oleh Allah dan Rasul-Nya bagi kaum Muslimin, dan menjadikan harta tersebut sebagai milik bersama. Individu-individu dibolehkan mengambil manfaat daripada harta tersebut, namun dilarang untuk memilikinya secara peribadi. Begitu juga dengan negara, yang turut dilarang untuk memilikinya, tetapi hanya bertugas untuk mengelola atau menguruskannya untuk kemaslahatan kaum Muslimin.

Air adalah termasuk dalam sarana yang sangat diperlukan dalam kehidupan seharian manusia, sehingga jika tidak ada, akan menyebabkan manusia berebut, bersengketa, malah sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkannya. Sifat inilah yang menjadikannya termasuk dalam al-milkiyyah al-ammah. Rasulullah (saw) bersabda;

“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga hal iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].

Dalam riwayat lain Rasulullah (saw) bersabda;

“Manusia bersyarikat dalam tiga hal iaitu air, padang ragut dan api”. Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi (saw) bersabda; “Tidak terlarang penggunaan air, api dan padang ragut” [HR Ibnu Majah].

Seiring dengan sifat air sebagai al-milkiyyah al-ammah, turut termasuk ke dalam al-milkiyyah al-ammah ialah setiap perkara yang digunakan dalam pengelolaannya, kerana hukum dan status kepemilikannya adalah sama, iaitu sebagai milik umum. Makanya, segala peralatan atau infrastruktur untuk mengeluarkan air bagi keperluan umum, sama ada daripada sungai, tasik, danau, sumur, mata air dan lain-lain, hingga sampai ke penempatan masyarakat atau rumah setiap orang, adalah juga termasuk milik umum. Kesemua pengurusan dan pembiayaan dalam hal pemilikan umum ini wajib diurus oleh negara dari A-Z.

Rasulullah (saw) pernah membiarkan orang-orang di Khaibar dan Thaif memiliki sumur secara peribadi. Mereka meminum dari sumur tersebut, memberi minum binatang ternak dan menyiram kebun-kebun mereka dengannya. Di sini Rasulullah (saw) tidak melarang mereka memilikinya secara peribadi, kerana sumur tersebut ukurannya kecil dan tidak berhubungan secara langsung dengan sarana umum.

Daripada dalil-dalil ini, diambil kesimpulan hukum bahawa jika air itu berhubungan dengan sarana umum, maka ia menjadi milik umum dan siapa pun dilarang memilikinya secara peribadi. Namun, jika jumlah air itu sedikit dan tidak diperlukan oleh umum, maka ia boleh dimiliki secara peribadi. Ringkasnya, apa yang disebut sebagai sarana umum ialah kedudukan di mana seluruh manusia memerlukannya dalam kehidupan seharian, yang jika tidak ada, manusia akan bersengketa dan berusaha untuk mendapatkannya.

Masalah Air Di Malaysia

Isu utama air di Malaysia ialah dari segi kedudukan undang-undang yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Peruntukan mengenai hal ini terdapat dalam Perlembagaan berdasarkan Malaysia sebagai sebuah negara federasi. Walaupun terdapat beberapa kuasa tertentu oleh kerajaan pusat dalam hal air, namun sebahagian besar kuasa terhadap pengurusan air terletak di bawah kerajaan negeri. Atas dasar itulah, setiap negeri berhempas pulas untuk mengurus dan mengatur masalah air sendiri, dan masalah yang serius sering muncul apabila parti yang memerintah negeri tidak sama dengan kerajaan pusat.

Inilah yang dijadikan alasan utama kerajaan Kelantan apabila mereka menuduh UMNO menganaktirikan mereka dalam isu air. Akibat perbezaan dan perbalahan politik, negeri Cik Siti Wan Kembang itu mendakwa yang mereka telah dikhianati oleh kerajaan pusat (UMNO) sejak sekian lama. Anehnya, setelah mereka tidur sebantal dan berdakap dengan UMNO, isu air tidak pula dibangkitkan atau diselesaikan, walhal mereka sudah bersama dalam satu selimut!

Sesungguhnya isu air di Kelantan bukanlah kerana kemarau atau air sungai yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk; bukan juga isu air sungai yang tercemar yang sudah tidak boleh dirawat; dan bukan juga isu ketidakmampuan atau ketiadaan kepakaran untuk menguruskan air; bukan semua itu! Isunya ialah hukum syarak dalam masalah air yang tidak diterapkan oleh pemerintah, sama ada atas dasar kejahilan atau ketidakmahuan; isunya ialah pengabaian dan pengkhianatan pemerintah terhadap rakyat; isunya ialah isu politik; inilah isunya!

Sebagaimana yang telah dijelaskan, wujudnya pemisahan dan perbezaan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat ialah kerana perlembagaan, sebuah kitab yang diberikan oleh penjajah kepada Malaysia. Sesungguhnya Islam tidak pernah mengenal atau mengiktiraf pemisahan dan perbezaan bidang kuasa seperti ini. Islam tidak pernah membezakan, apatah lagi mendiskriminasi rakyat, hanya kerana perbezaan tempat tinggal. Pemerintahan Islam (Khilafah) adalah bersifat sepusat (union) dan bukannya federasi, yang mana pemerintah bertanggungjawab dan wajib menunaikan hak yang sama ke atas setiap individu rakyat, di ceruk mana pun rakyat tinggal dalam negara. Ini kerana hukum syarak ke atas pemerintah dan rakyat sama sahaja.

Justeru, sama ada dalam masalah pengurusan air, elektrik, telekomunikasi, transportasi, industri, pertanahan, pertanian, sungai, tasik, laut, jalan raya, pendidikan, kesihatan, kepolisian, ketenteraan, keamanan dan sebagainya, seluruh negara Islam (Khilafah) di anggap negara yang satu, tanpa ada perbezaan di antara mana-mana negeri / kawasan, dan seluruh masalah diselesaikan menurut hukum syarak yang satu.

Begitulah kedudukan wilayah Daulah Islam yang begitu luas sejak daripada zaman Rasulullah (saw), Khulafa’ ar-Rasyidin, Khilafah Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah, semuanya merupakan wilayah (negara) yang satu, yang tidak terpisah antara satu sama lain, dan tertakluk kepada hukum-hakam yang sama. Dengan kata lain, kewajipan pemerintah tetap sama, dan hak rakyat tetap sama tanpa mengira kawasan tempat tinggal selagi ia terletak dalam sempadan Daulah.

Kita hendaklah ingat bahawa kedudukan negeri kaum Muslimin yang terpecah-belah sekarang ini ialah hasil kejahatan dan rekayasa penjajah. Kuffar penjajahlah yang memisahkan wilayah kaum Muslimin samada antara Malaysia dengan Indonesia, Pakistan dan India serta Bangladesh, Jordan, Lebanon, Syria, Palestin, Mesir, Algeria, Maghribi, Uzbekistan, Afghanistan, Tajikistan dan lain-lain. Kuffar penjajahlah yang memisahkan semua negeri ini, dan menjadikan kita tercerai-berai kepada lebih 50 buah negara-bangsa. Di Malaysia, British menghadiahkan sebuah kitab yang telah berjaya “menyihir” rakyat dengan sistem dan undang-undang kufur mereka, yang menyebabkan pemerintah dan sebahagian besar umat Islam gagal melihat Islam sebagai jalan keluar atau solusi kepada setiap permasalahan.

Jika “sihir” ini berjaya dibersihkan daripada minda kaum Muslimin, dan mereka kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, maka insya Allah kaum Muslimin pasti akan dapat melihat jalan keluar bukan sahaja kepada masalah air, tetapi kepada semua masalah lainnya. Setelah mereka dapat melihat jalan keluarnya, apa yang tinggal sekarang hanyalah pilihan untuk mengambilnya atau tidak. Jika mereka mengambilnya, maka insya Allah masalah akan dapat diselesaikan. Manakala jika mereka tetap tidak mahu mengambilnya, sudah pasti mereka akan terus berada dalam kegelapan.

Kembali kepada masalah air, dalam sistem pemerintahan Islam, langsung tidak ada istilah perbezaan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, sehingga tidak akan timbul isu pembahagian kuasa atau “penganaktirian”. Siapa pun yang berada di bangku pemerintahan wajib menyelesaikan setiap masalah rakyat dengan hukum-hakam dan pengaturan Islam yang sama.

Pemerintah bertanggungjawab bukan sahaja menyediakan air yang mencukupi untuk setiap individu rakyat di mana pun rakyat berada, tetapi juga wajib menyediakan air bersih, dan wajib memastikan bekalannya tidak terputus dan tidak kotor untuk dinikmati oleh rakyat di sepanjang masa. Inilah kewajipan pemerintah secara umumnya sesuai dengan hadis:

“Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara, dan dia akan dipertanggungjawabkan daripada apa yang dipeliharanya (rakyatnya)” [HR Bukhari].

Sekiranya Islam diterapkan, juga tidak akan timbul isu peruntukan bajet / kos oleh kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri bagi menguruskan air, baik itu melibatkan pembinaan empangan, takungan, paip air, penyediaan dan penaiktarafan infrastruktur dan lain-lain. Ini kerana semua kos adalah ditanggung oleh pemerintah, tanpa wujud lagi perbezaan peruntukan kepada mana-mana kawasan, kerana keseluruhan kawasan dalam negara adalah sama sahaja di mata pemerintah, bukan kawasan yang terpisah!

Begitu juga tidak akan timbul isu ketidakmampuan atau ketiadaan kepakaran di pihak kerajaan negeri untuk menguruskan bekalan air kepada rakyat, kerana kepakaran wajib disediakan oleh pemerintah semampu-mampunya. Jika pemerintah mampu dan mempunyai kepakaran untuk menguruskan air di satu negeri, maka tidak ada alasan bahawa mereka tidak mampu atau tidak mempunyai kepakaran untuk menguruskan air di negeri lain. Jika benar pemerintah tidak mempunyai kemampuan atau kepakaran sekali pun, maka kontraktor atau pakar daripada negara-negara luar boleh sahaja dilantik untuk menyelesaikan masalah, asalkan kita tidak bergantung kepada mereka selamanya.

Diakui atau tidak, antara yang menjadi masalah sekarang ini ialah banyaknya pihak atau badan yang menguruskan air, baik di peringkat pusat apatah lagi negeri, yang menjadikan pengurusannya bersimpang-siur dan terdedah kepada segala birokrasi, kelemahan, ketirisan dan rasuah. Apa yang lebih parah ialah semua pihak mempunyai mindset untuk mendapatkan keuntungan maksimum daripada kerja-kerja yang mereka lakukan, kerana sistem dan cara pengurusan air di Malaysia yang bersifat kapitalistik.

Apabila hukum Islam diterapkan, insya Allah tidak akan berlaku isu ketirisan, penyelewengan, rasuah dan sebagainya kerana tidak wujud mindset untuk mengaut keuntungan. Ini kerana, pemerintah wajib menyediakan air kepada rakyat secara percuma, dan haram untuk mereka “berniaga” dengan rakyat sebagaimana yang berlaku dalam sistem demokrasi-kapitalis pada hari ini! Islam telah menetapkan bahawa air merupakan al-milikiyyah al-ammah yang wajib dikelola atau diuruskan oleh negara. Maka tugas dan tanggungjawab negara hanyalah sebatas mengelola, bukan mengaut keuntungan daripadanya. Di sinilah Islam membentuk mindset pemerintah sebagai pihak yang wajib menunaikan kewajipan terhadap rakyat dan takut akan dosa daripada Allah (swt) jika melakukan kelalaian atau pengabaian terhadap hukum-Nya.

Khatimah

Apa pun alasan yang diberikan oleh pemerintah, sesungguhnya kecuaian, kegagalan dan pengkhianatan mereka terhadap rakyat sudah pasti menuai dosa yang cukup besar di sisi Allah (swt). Di saat rakyat kesusahan dengan masalah air dan lain-lain masalah, pemerintah tetap hidup dengan penuh kemewahan. Dosa apakah lagi yang lebih besar daripada pengkhianatan mereka terhadap Allah, Rasul-Nya dan kaum Mukminin dengan tidak menerapkan hukum-Nya yang secara nyata terbeban di atas bahu mereka?

Wallahu a’lam.

 

Download PDF