Pilih pemimpin yang pertahan demokrasi sama seperti pertahan penjajahan
Kehangatan pesta demokrasi lima tahun sekali semakin terasa di mana-mana. Baik di dunia maya mahupun dunia nyata, orang ramai sudah mula bersembang mengenai PRU15, tidak kiralah dalam konteks positif atau negatif.
Antara topik perbualan hangat yang dimainkan media kini ialah mengenai siapakah calon Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, selepas PRU15 nanti. Beberapa survey telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan propaganda. Walaupun survey tersebut sangat ringkas dan hanya dibuat dalam masa yang sangat singkat, tetapi media tetap memainkan isu ini sebagai isu yang penting.
Dalam masa yang sama, sudah terdapat suara pimpinan politik tanahair yang mula menyeru para pengundi agar memilih pemimpin yang betul dalam PRU15 nanti supaya kita tidak kembali terjajah.
Walaupun suara ini bunyinya semacam benar, tetapi jika diperhalusi mengandungi sebuah keanehan. Memang benar kita tidak mahu para pemimpin yang akan kembali meletakkan Malaysia atau umat Islam dalam keadaan terjajah.
Namun demikian, bukankah Perlembagaan, sistem dan undang-undang yang diamalkan sekarang ini merupakan warisan daripada penjajah?
Bukankah penetapan peraturan memilih pemimpin setiap lima tahun sekali itu sendiri pun, berasal daripada idea penjajah? Sedangkan di dalam Islam, tidak ada dalil atau nas yang menunjukkan bahawa hukum untuk memilih ketua negara itu mesti dilakukan lima setahun sekali.
Bukankah proses penggubalan undang-undang di Parlimen, walaupun kini bukan lagi digubal oleh si penjajah, tetapi oleh ahli parlimen yang berwarganegara Malaysia, tetap meneruskan apa yang dilakukan oleh penjajah.
Bukankah model pemerintahan di Malaysia yang terdiri daripada dua dewan pembuatan undang-undang iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara, merupakan copy paste daripada House of Lords dan House of Commons yang ada di negara penjajah?
Alla kulli hal, bukankah sistem demokrasi itu sendiri, yang diamalkan di Malaysia sejak merdeka hingga ke hari ini, merupakan sistem pemerintahan yang berasal daripada penjajah?
Justeru, bukankah jika para pengundi memilih pemimpin mana pun dalam PRU nanti, selama mana ia adalah pemimpin yang mempertahankan sistem demokrasi, kita akan tetap juga terjajah?
Secara fizikal, ya benar penjajah telah keluar daripada bumi Malaysia, tetapi secara mental, para pemimpin yang ada masih terus berfikir secara penjajah, mengekalkan perlembagaan, sistem dan undang-undang penjajah, terus berkiblatkan penjajah dan mengharapkan bantuan dan izzah (keagungan) daripada negara penjajah dalam banyak hal.
Wallahu a’lam.