Kemelut Sabah: Kejijikan politik demokrasi tidak pernah selesai

Rakyat sekali lagi dihidangkan dengan usaha menggulingkan kerajaan melalui pintu belakang, yang kelihatannya sudah menjadi trend baru di Malaysia sejak “Langkah Sheraton”.

Beberapa hari lepas rakyat dikejutkan dengan desas-desus mengenai “Langkah London” yang dikatakan cubaan untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim, namun dinafikan oleh banyak pihak.

Kemudian disusuli pula dengan khabar mengenai “Langkah Kinabalu” yang dikatakan cubaan untuk menyingkirkan Ketua Menteri Sabah. Pada awalnya berita ini juga cuba dinafikan, namun kini ternyata telah menjadi kenyataan.

Begitulah perebutan dan ketamakan kuasa yang tidak sudah-sudah dipamerkan oleh politikus-politikus demokrasi.  Di hadapan rakyat mereka berkokok mengenai keperluan mengembalikan kestabilan politik, manakala di belakang rakyat mereka membuat segala makar untuk menjadikan negara ini porak-peranda. Semuanya kerana kuasa!

Siapa pun yang gila kuasa tidak akan berpuas hati selagi mereka tidak menggenggamnya, dan kalau boleh mereka mahu menggenggamnya sampai mati. Atas dasar itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkannya.

Kita telah menyaksikan kejijikan politik dan politikus demokrasi di Malaysia yang sehingga kini tidak selesai. Mereka berbaik dan bekerjasama antara satu sama lain hanya kerana manfaat. Apabila hilang manfaat, maka mereka akan bermusuh dan bercakaran. Apabila muncul lagi manfaat, mereka akan kembali berpeluk, bercium dan tidur sekelambu sekali lagi.

Begitulah kitaran kejijikan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli politik dan parti politik demokrasi, yang sudah tidak tahu malu dan sudah tidak ada maruah diri. Sudah cukup lama terbukti bahawa mata dan hati mereka hanya memandang kepentingan peribadi dan kepentingan duniawi semata-mata.

Ahli-ahli politik ini sudah membuktikan bahawa perjuangan mereka bukanlah untuk rakyat sebagaimana yang mereka laungkan. Semuanya hanyalah dusta yang keluar dari mulut-mulut mereka.

Sejak dulu hingga kini, secara umumnya rakyat Sabah terus mundur, tertindas, tertekan dan tidak pernah mengecapi kesejahteraan di bawah pimpinan siapa pun setakat ini. Sabah sangat kaya dengan segala macam sumber alam, namun rakyatnya sangat miskin, kerana hasil alamnya hanya masuk ke kocek-kocek golongan yang berkuasa sahaja.

Sudah masanya rakyat sedar dan bangkit untuk menolak politik dan politikus demokrasi jika tidak mahu terus-menerus menyaksikan kejijikan demi kejijikan berlaku di hadapan mata. Realitinya, siapa pun dan parti mana pun yang diundi dalam pilihan raya, natijahnya sama sahaja. Semunya hanya mementingkan kuasa dan tembolok masing-masing sahaja.

Sesungguhnya perubahan dan kebaikan tidak akan pernah dapat dikecapi melalui politik dan ahli politik demokrasi. Perubahan dan kebaikan hanya akan terwujud apabila rakyat menolak keseluruhan sistem demokrasi dengan segala kejijikan yang dibawanya, lalu kembali kepada Islam secara kaffah.

Wallahu a’lam.