Sorotan 2020 – Kemelut politik tanah air yang tak berkesudahan

Tatkala negara sedang berhadapan dengan ujian getir ekoran pandemik COVID-19, keadaan diburukkan lagi dengan tercetusnya kemelut politik yang mengakibatkan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamed. Tindakan beberapa orang ahli politik yang berpaling tadah dan bersekongkol dengan parti lawan dalam percaturan yang digelar sebagai ‘Langkah Sheraton’ ini telah mencetuskan ketidakstabilan yang berlarutan sehingga ke saat ini.

Ramai yang mengkritik hebat langkah tersebut, kerana jelas merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan oleh para pengundi. Kritikan ini memang sangat wajar, cumanya pihak yang mengkritik khasnya, dan umat Islam amnya, juga perlu sedar bahawa tindakan lompat parti dan beralih sokongan ini sudah sering berulang dalam sejarah politik tanah air oleh pemimpin yang mereka sokong. Apa yang lebih penting untuk disedari ialah, semua tindakan khianat tersebut dibenarkan oleh sistem demokrasi dan terhasil akibat keburukan pemimpin mereka sendiri yang tamakkan kuasa dan jawatan.

Perebutan kuasa oleh parti-parti dalam demokrasi ini terus berlangsung hingga ke hari ini tanpa para politikus ini menghiraukan pandemik C0VID-19, dan tanpa menghiraukan penderitaan rakyat. Apa yang pasti, realiti sebegini menunjukkan betapa elit politik sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai agenda dan kepentingan peribadi dalam meraih kekuasaan.

Pengkhianatan, kemunafikan, lakonan, pembohongan dan segala bentuk kejahatan sudah menjadi lumrah dalam sistem demokrasi. Demokrasi telah mengajar penganutnya bahawa tidak ada kawan abadi dan tidak ada musuh abadi dalam politik, yang ada hanyalah kepentingan abadi. Justeru, fenomena di mana seteru politik tegar berpuluh-puluh tahun lamanya, yang kemudian boleh duduk semeja dan berpelukan satu sama lain, merupakan suatu yang sudah tidak asing dalam demokrasi yang dijenamakan dengan pelbagai istilah seperti tahaluf siyasi, ta’awun, penjajaran politik, permuafakatan dan sebagainya.

Perebutan kuasa antara elit-elit politik juga, selain berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan di peringkat nasional, telah berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan di negeri Kedah, Melaka, Johor dan Perak. Manakala perebutan yang sama turut membawa kepada pembubaran DUN Sabah yang menyaksikan berlakunya pertukaran kerajaan, di samping mencetuskan ‘kluster-kluster politik’ yang menyumbang kepada peningkatan drastik kes COVID-19 di negeri tersebut dan juga di seluruh negara.

Berdasarkan perkembangan semasa dan tindakan beberapa buah komponen parti pemerintah yang telah pun mengadakan perbincangan untuk mengagihkan kerusi, dijangkakan bahawa PRU ke-15 berkemungkinan akan diadakan lebih awal, mungkin sahaja seawal tahun hadapan.

Namun, pastinya parti-parti yang bertanding berhadapan dengan cabaran besar untuk memenangi hati pengundi dalam PRU akan datang. Hal ini kerana rakyat rata-rata sudah meluat dan menyampah dengan karenah para politikus yang ghairah merebut kekuasaan sehingga menggugat kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Keyakinan rakyat terhadap para pemimpin dan juga terhadap sistem demokrasi ternyata sudah semakin terhakis saban hari. Justeru, persoalan berikutnya yang perlu dijawab oleh umat Islam ialah ke mana harus dituju selepas ini? Semoga umat ini semakin sedar dari pembohongan dan permainan demokrasi yang memberikan ilusi bahawa mereka mampu membuat pilihan demi melaksanakan perubahan di bawah sistem (demokrasi) yang kononnya dikatakan sebagai sistem terbaik. Sedangkan hakikatnya sistem demokrasi hanya mengundang kemudaratan dan malapetaka buat umat Islam dari sehari ke sehari.

Sudah tiba masanya buat umat ini bergerak menuju kebangkitan dan perubahan hakiki yang pastinya menuntut perubahan sistemik, dengan berusaha mengembalikan semula sistem Islam di bawah naungan Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, yang akan menerapkan hukum Allah secara kaffah dalam segenap aspek kehidupan. Inilah satu-satunya pilihan untuk umat Islam, yang insya Allah akan mengembalikan semula kesejahteraan, kemuliaan dan kekuatan mereka.