Kenapa masalah banjir tak pernah selesai?

Rakyat Malaysia, khususnya yang tinggal di kawasan yang sering dinaiki air di musim tengkujuh memang sudah “alah bisa tegal biasa” dengan fenomena alam ini. Mereka sentiasa bersedia setiap kali datang musim tengkujuh, dan tidak ada yang mengeluh pun. Malah mereka menerima qadha’ ini dengan lapang dada.

Mereka yang tinggal di kawasan yang sering ditenggelami air tersebut hanya mengharapkan kerajaan menyediakan bantuan dan prasarana yang mencukupi sebagai tempat tinggal sementara mereka, sementara menunggu air surut. Itu sahaja.

Namun demikian, berbeza keadaannya dengan rakyat yang tinggal di kawasan yang selamat dari banjir, tetapi kawasan kediaman mereka sering tenggelam setiap kali hujan lebat. Mereka seringkali tidak sempat bersedia, dan lebih buruk, bantuan daripada kerajaan tidak tiba atau lewat tiba setiap kali berlakunya banjir kilat di kawasan mereka.

Bukan sekadar itu, setelah mengalami kerosakan harta benda yang begitu banyak, jika ada bantuan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada mereka bagi mengurangkan beban mereka pasca banjir, samada bantuan lambat tiba atau tidak pernah tiba.

Setiap kali berlaku berlakunya banjir kilat, kita akan mendengar kerajaan bercakap mengenai usaha-usaha yang akan dijalankan bagi mengatasi banjir. Kita juga mendengar peruntukan yang berjumlah jutaan, malah bilionan ringgit, yang diluluskan untuk membuat projek tebatan banjir, saliran air dan sebagainya.

Tidak dinafikan banyak projek menambah baik sistem saluran air, mendalamkan parit dan tebatan banjir yang berjaya dilaksanakan dan menyelesaikan masalah banjir, tetapi apa yang menjadi tumpuan kebelakangan ini semakin banyak kawasan yang terkena musibah tersebut, dan kejadiannya juga semakin kerap.

Persoalannya apakah punca kepada semua ini? Apa lagi puncanya jika bukan disebabkan oleh kerajaan yang korup, tidak cekap, khianat kepada rakyat, dipenuhi dengan kes-kes rasuah, penyelewengan, pecah amanah dan sebagainya? Projek pembangunan atau pertanian yang kononnya disokong dengan laporan alam sekitar tetap menjadi punca utama kejadian banjir kilat.

Sudah berapa kerajaan bertukar ganti, tetapi masalah yang sama tetap berulang. Anehnya bila setiap kali pilihan raya, mereka pusing keliling kampung dan bandar dan melaungkan “pencapaian” masing-masing semasa memerintah, dan menyeru rakyat agar mengundi mereka.

Itu baru satu masalah yang dihadapi oleh rakyat, baru masalah banjir, belum lagi kita melihat kepada segala masalah lainnya.

Semoga rakyat semakin sedar bahawa sebuah kerajaan yang tidak menerapkan Islam, akan sentiasa korup, dan akan sentiasa membohongi rakyat, menabur pelbagai janji manis dan seribu alasan untuk memperbodohkan rakyat dan menutup segala kesalahan mereka.

Wallahu a’lam.