Banjir: Mangsa ibarat sudah jatuh ditimpa tangga

Kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000, meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Itu antara kenyataan yang sungguh menyakitkan bagi mangsa banjir. Mereka telah mengalami kerugian dan kehilangan besar, dan memerlukan wang yang bukan sedikit untuk memulihkan keadaan, malangnya wang mereka sendiri pun mereka tidak dapat keluarkan!

Kerajaan yang zalim ini sudah tidak berfikir bahawa berapa ramai mangsa yang tidak mempunyai sumber lain untuk mengembalikan kehidupan mereka seperti biasa, dan hanya mengharapkan sumber KWSP.

Mereka kehilangan kenderaan, atau memerlukan wang yang banyak untuk membaik pulihnya, demi meneruskan pencarian nafkah untuk keluarga. Mereka juga kehilangan pakaian yang biasa dipakai serta kelengkapan lain seperti dapur, perabot dan lain-lain perkakas rumah tangga, tetapi kerajaan tidak mempedulikan semua ini.

Bantuan RM1000 daripada kerajaan yang terpaksa melalui proses birokrasi yang menyulitkan tentunya tidak dapat menampung segala keperluan untuk menyambung kelestarian hidup mereka. Itu pun entah bila mereka akan mendapatkannya.

Manakala kemudahan-kemudahan dalam bentuk pinjaman pula sebenarnya bukanlah bantuan dalam ertikata yang sebenarnya, kerana jumlah ini perlu dipulangkan semula pada masa hadapan.

Walaupun kita tahu alasan kerajaan bahawa KWSP adalah simpanan untuk hari tua, tetapi persoalannya ialah mereka sedang terdesak memerlukan wang untuk digunakan pada masa sekarang bagi membina semula kehidupan yang telah terjejas. Apakah perkara semudah ini pun tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?

Kerajaan bukan sahaja gagal menyalurkan bantuan dengan baik dalam musibah ini, bahkan simpanan rakyat sendiri juga disekat daripada dikeluarkan tatkala mereka terdesak memerlukannya!

Mangsa banjir kini ibarat jatuh ditimpa tangga. Lebih buruk, tangga yang tertimpa itu ialah hasil perbuatan khianat kerajaan yang sengaja menimpakan tangga tersebut ke atas mereka.

Kerajaan perlu ingat bahawa rakyat kini semakin sedar dan semakin mengenali siapakah kerajaan, dan sudah pasti rakyat akan “menghukum” mereka. Hanya masa yang akan menentukan.

Ustaz Ridhuan Hakim

Pimpinan Pusat HTM