Mogok doktor kontrak wajar, tetapi…
Setelah mengadakan Hartal Doktor Kontrak pada 26 Julai 2021 yang ternyata tidak ada apa-apa perubahan dengan nasib mereka sejak itu, para doktor kontrak di negara ini “mencuba nasib” sekali lagi untuk mengadakan mogok yang dirancang bermula Isnin hingga Rabu ini.
Telah tersebar mesej dari sekumpulan doktor kontrak yang dikatakan telah mengambil cuti dan menggesa sesama mereka untuk berbuat demikian, dalam rangka melakukan protes terhadap sistem dan layanan tidak adil terhadap mereka, khususnya gaji yang rendah dan banyak kebajikan yang tidak mereka perolehi berbanding doktor tetap.
Antara lain, mereka sangat berharap untuk mendapat jawatan doktor tetap kerana ingin mendapatkan biasiswa bagi menyambung pengajian untuk membolehkan mereka menjadi doktor pakar.
Terdapat laporan bahawa kumpulan tersebut telah memberi amaran kepada kerajaan bahawa 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada KKM dalam masa terdekat.
Dalam masa yang sama, KKM telah mengulang edar satu notis amaran yang melarang penjawat awam untuk menyertai mana-mana perhimpunan haram. Sebagai respons kepada mogok ini juga, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak.
Masalah yang melibatkan doktor kontrak di negara ini bukanlah baru. Sejak diwujudkan lantikan kontrak pada tahun 2016 hinggalah sekarang, suara-suara tidak puas hati para doktor kontrak telah lama dikumandangkan, tetapi ternyata tidak diendahkan oleh kerajaan.
Apabila suara itu semakin keras, yang diikuti dengan aksi di lapangan oleh sekumpulan doktor yang berani menongkah arus, maka barulah kerajaan celik sedikit mata. Pelbagai rundingan dan inisiatif cuba dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang hakikatnya tidak lebih sekadar “NATO (no action talk only)” sahaja, dan hanya sekadar untuk meredakan kemarahan. Nasib doktor kontrak tidak pernah pun berubah!
Hakikatnya, kerajaan memang tahu apakah masalah dan tuntutan doktor kontrak ini, tetapi sengaja memilih untuk menutup mata. Jika kerajaan benar-benar ingin menyelesaikannya, sudah pasti boleh selesai, atau setidaknya telah ada langkah atau perubahan yang memberi sedikit kelegaan kepada pegawai perubatan yang telah lama dianaktirikan ini. Namun ternyata bukan itu kehendak kerajaan!
Apa pun alasannya, isu yang dihadapi oleh doktor-doktor kontrak ini tidak boleh dipisahkan daripada sistem kapitalisme yang diamalkan oleh kerajaan pada hari ini yang bersifat menekan dan menindas. Kapitalisme merupakan sebuah ideologi yang meletakkan manfaat mengatasi segala-galanya. Dalam apa jua sektor, asas amalan kapitalisme ialah memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kos. Sektor kesihatan dan perubatan tidak terkecuali.
Dengan gaji yang rendah dan kebajikan yang tidak terjamin, maka wajar sahaja bagi para doktor kontrak untuk menuntut suatu yang lebih baik daripada kerajaan selaku majikan mereka. Namun dalam masa yang sama, mereka juga perlu ingat bahawa menurut Islam, setiap orang terikat dengan akad yang telah mereka persetujui selama mana akad tersebut tidak bercanggah dengan syarak.
Jika akad perlu diperbaharui, khususnya mengenai gaji, maka Islam menyediakan satu mekanisme di mana ajir (pekerja) dan musta’jir (majikan) boleh merujuk kepada ahli dalam bidang yang berkenaan agar gaji dapat diselaraskan sepadan dengan tugas dan kepakaran setiap individu, atau dikenali sebagai ajr al-mitsli. Setelah dirujuk kepada ahli, maka keputusan ahli akan mengikat kedua-dua pihak dan tidak seharusnya ada pertikaian lagi selepas itu. Begitulah secara ringkasnya.
Dari sudut lain, doktor-doktor kontrak perlu sedar bahawa “kezaliman” majikan mereka ini bukan sahaja ke atas mereka, tetapi ke atas ramai penjawat awam lain secara khususnya, dan ke atas rakyat Malaysia secara umumnya. Kezaliman berlaku akibat korupnya sistem dan orang yang menerapkan sistem tersebut!
Melihat kepada sudut biasiswa untuk menyambung pengajian, sebenarnya menurut Islam adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bukan sahaja untuk menyediakan biasiswa untuk melahirkan doktor-doktor pakar, malah untuk menyediakan pengajian secara percuma kepada seluruh warganegara, dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat Universiti. Namun, kerajaan sekular pada hari ini tidak menjalankan tanggungjawab mereka, sebaliknya mereka menjadikan pendidikan sebagai satu “perniagaan” untuk mereka meraih keuntungan daripada rakyat.
Justeru, perjuangan para doktor kontrak tidak boleh hanya disempitkan kepada perjuangan yang bersifat individu semata-mata, tetapi wajib diasaskan kepada Islam dengan berusaha merubah keseluruhan sistem kapitalisme yang korup ini kepada sistem Islam.
Realitinya, bukan sahaja doktor kontrak tetapi nasib ramai rakyat Malaysia tidak pernah terbela di bawah sistem demokrasi-kapitalisme yang berasal dari penjajah ini, dan nasib umat Islam di banyak belahan dunia lainnya lebih parah lagi akibat kezaliman para penguasa mereka yang menerapkan sistem daripada penjajah.
Justeru para doktor kontrak seharusnya menyertai perjuangan umat Islam atau gerakan Islam yang berjuang untuk menggantikan sistem demorasi-kapitalisme kepada sistem Islam secara kaffah. Hanya dengan penerapan Islam secara kaffah di bawah naungan Khilafah sahajalah, nasib mereka dan nasib seluruh umat manusia di dunia ini akan terbela.
Wallahu a’lam.