Khutbah henti boikot: Siapa yang ikut Sunnah, siapa yang lari dari Sunnah?
Sekali fikir memang amat mengejutkan apabila ada mufti menyeru agar dihentikan boikot kerana perbuatan tersebut dikatakan berlawanan dengan keadilan Islam, tidak menepati Sunnah dan boleh menjerumuskan kepada berlakunya kezaliman.
Pelbagai persoalan dan interpretasi boleh dibuat apabila boikot dikatakan tidak menepati Sunnah. Bukankah tidak menepati Sunnah bermaksud telah tergelincir daripada Sunnah? Adakah tidak menepati Sunnah bermaksud telah menyeleweng daripada ajaran Ahlu Sunnah wal Jamaah, sehingga semua umat Islam yang sedang memboikot produk-produk tertentu sekarang ini sedang terancam akidah mereka? Adakah umat Islam yang sedang memboikot juga sudah tidak lagi adil dan termasuk dalam kategori orang-orang yang zalim?
Sungguh pelik bin ajaib pandangan ini, yang tidak pernah kita dengar sebelum ini, apatah lagi disuarakan di seluruh mimbar di Perak atas arahan orang yang memegang kuasa agama. Jika benar umat Islam telah terlari daripada Sunnah kerana memboikot produk-produk tertentu, kenapakah hanya sekarang baru “ditegur” setelah umat ini dibiarkan berbulan-bulan melakukan kesalahan atau keharaman?
Pandangan ajaib ini juga keluar di saat Palestin sedang dahsyat dibantai oleh kaum Yahudi la’natullah, dan umat Islam sedang melakukan sedaya upaya mereka untuk membantu Palestin termasuk memboikot, yang ternyata telah memberi sedikit sebanyak kesan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan dengan kaum terlaknat itu.
Di saat pembantaian seperti ini, para mufti seharusnya memuhasabah pemerintah yang berdiam diri menyaksikan saudara-saudara mereka dibunuh dengan kejam. Ironinya, para mufti turut berdiam diri, dan ada pula mufti yang menyalahkan umat Islam yang sedang “melawan” Yahudi dengan cara boikot yang mereka mampu lakukan.
Walaupun khutbah ini sangat aneh, namun apabila difikir dua kali, ia tidaklah seaneh mana kerana sudah menjadi lumrah di Malaysia untuk mimbar-mimbar digunakan untuk kepentingan-kepentingan tertentu, termasuklah kepentingan politik.
Cuma persoalannya di sini ialah, kepentingan siapakah yang ingin dijaga dengan “fatwa” terbaru yang disampaikan secara besar-besaran melalui khutbah ini? Kepentingan siapakah yang ingin dijaga sehingga umat Islam yang sedang memboikot dikatakan tidak menepati Sunnah?
Berdasarkan ayat-ayat atau mesej yang terkandung dalam teks khutbah berkenaan, “fatwa” tersebut seolah-olah hanya ditujukan kepada umat Islam di Malaysia yang memboikot produk kaum tertentu di negara ini. Walaupun produk dan kaumnya tidak dinyatakan, tetapi rakyat Malaysia sudah pun maklum produk dan kaum apakah yang dimaksudkan itu.
Apa yang seterusnya menjadi tanda tanya ialah, apakah sejauh dan semudah itu pihak berkuasa agama “dipengaruhi” oleh kepentingan-kepentingan tertentu, sehingga corong-corong masjid digunakan ke arah tersebut? Jika corongnya ialah politik, rakyat sudah pun tahu dan muak dengan permainan politik sedemikian.
Apa yang dikesali ialah khutbah tersebut nampaknya gagal memahami hukum asas muamalat dalam Islam. Islam mengajar bahawa hak untuk membeli, menjual atau berdagang antara satu pihak dengan pihak lain merupakan hak ke atas setiap individu. Sesungguhnya jual beli itu merupakan redha kedua belah pihak sebagaimana disebut di dalam hadis:
إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ
“Sesungguhnya jual beli itu haruslah berdasarkan sukarela (antara penjual dan pembeli)” [HR Ibnu Majah]
Demikianlah hukum jual beli, sekiranya salah satu pihak tidak redha yakni tidak mahu membeli atau menjual dengan orang lain atas sebab apa sekali pun, maka ia merupakan haknya untuk berbuat demikian. Tidak ada siapa pun boleh memaksa seseorang untuk membeli atau menjual barang miliknya daripada atau kepada orang lain. Itu merupakan haknya secara mutlak yang diberikan oleh Islam. Ini merupakan asas dalam jual beli.
Jadi, jika seseorang tidak mahu membeli atau tidak mahu menjual, atau dengan kata lain ingin “memboikot” sesuatu barangan atas apa sebab sekali pun, terpulanglah kepada orang itu, kerana itu merupakan haknya, selagi mana ia tidak mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Islam tidak pernah memaksa atau melarang seseorang daripada melakukan perniagaan dengan sesiapa sahaja. Atas dasar ini, hukum “memboikot” itu boleh sahaja (jaiz) menurut Islam.
Beristidlal Dengan Kisah Tsumamah
Terdapat satu kisah menarik yang digunakan di dalam khutbah tersebut iaitu mengenai Tsumamah bin Utsal al-Hanafi, seorang pemuka Bani Hanifah yang juga raja Yamamah, yang telah ditawan oleh pasukan kaum Muslimin, dan kemudian memeluk Islam setelah melihat kebaikan Rasulullah (saw) dan keadilan Islam dalam melayannya sebagai tawanan.
Yamamah merupakan sebuah negeri pengeluar gandum yang membekalkan gandum ke Mekah pada waktu itu. Setelah masuk Islam, dan diajar oleh Rasulullah (saw) cara-cara mengerjakan umrah, Tsumamah merupakan orang pertama yang memasuki Mekah dengan bertalbiah semasa menunaikan umrah. Beliau hampir dibunuh oleh pembesar Mekah kerana talbiah tersebut, yang dibenci oleh kaum kafir Mekah tatkala mereka mendengarnya.
Tsumamah kemudian berikrar untuk tidak lagi membekalkan walau sebiji gandum pun ke Mekah kecuali setelah Rasulullah (saw) mengizinkannya. Setelah pulang ke Yamamah, beliau mengotakan kata-katanya sehingga penduduk Mekah hampir kebuluran kerana putus bekalan. Kafir Quraisy lalu mengirim surat kepada Rasulullah (saw) meminta belas ihsan baginda agar memerintahkan Tsumamah memberhentikan tindakannya itu. Rasulullah (saw) kemudian meminta Tsumamah agar memberhentikan “pemboikotan” tersebut.
Kisah tersebut telah dijadikan “dalil” di dalam khutbah tersebut untuk menyatakan bahawa tindakan memboikot adalah tidak selari dengan Sunnah. Sungguh malang apabila kisah tersebut bukan sahaja tidak difahami sepenuhnya, malah telah difahami secara “terbalik”.
Jika diperdalami kisah tersebut, kita akan mengetahui bahawa tindakan menghentikan bekalan gandum oleh Tsumamah berlaku agak lama sehingga penduduk Mekah merasa sangat tertekan kerana putus bekalan makanan dan hampir-hampir mengalami kebuluran. Kaum kafir Mekah juga mengetahui bahawa satu-satunya cara untuk mereka merubah keputusan Tsumamah ialah melalui Rasulullah (saw), kerana itulah yang diikrarkan oleh Tsumamah. Atas dasar itulah mereka mengirim surat kepada Rasulullah (saw) agar baginda mengarahkan Tsumamah memberhentikan tindakannya itu.
Terbalik dengan apa yang disebut di dalam khutbah, kisah ini sesungguhnya menjadi dalil bahawa “pemboikotan” yang dilakukan oleh Tsumamah dibenarkan oleh Rasulullah (saw). Baginda (saw) hanya meminta Tsumamah menghentikan “boikot” tersebut setelah menerima surat daripada pembesar Mekah, yang menunjukkan bahawa pemboikotan telah berjalan agak lama sehingga memberi kesan kepada penduduk Mekah.
Justeru, tindakan Tsumamah sesungguhnya selari dengan Sunnah, kerana jika terlari daripada Sunnah, sudah pasti Tsumamah akan ditegur oleh Nabi (saw) sejak awal lagi. Ternyata baginda (saw) tidak menegur Tsumamah atau mengharamkan tindakannya. Baginda hanya meminta Tsumamah agar menghentikan boikot, kerana Tsumamah telah berikrar hanya akan berbuat demikian dengan perintah daripada baginda. Jadi, sangat jelas bahawa boikot merupakan suatu yang dibenarkan, dan boleh sahaja dihentikan pada bila-bila masa oleh orang yang memboikot.
Itu dari satu sudut. Dari sudut lain, kisah Tsumamah sesungguhnya tidak boleh lari dari perang (jihad) dan dalil-dalil mengenai peperangan dalam Islam, khususnya dalil mengenai layanan terhadap tawanan perang. Inilah antara ibrah (pengajaran) terpenting dari kisah Tsumamah.
Malangnya para penguasa Muslim saat ini sudah melalaikan kewajipan perang. Bahkan perkataan jihad sudah tidak lagi wujud dalam kamus mereka, apatah lagi ingin berbicara mengenai tawanan perang. Di sinilah peranan para Mufti yang seharusnya memuhasabah dan mengingatkan para penguasa ini dengan keras akan kewajipan mereka untuk jihad fi sabilillah. Inilah yang seharusnya menjadi isi khutbah di saat Palestin sudah tujuh bulan bermandi darah.
Namun apa yang dihidangkan kepada kita hampir setiap minggu ialah khutbah-khutbah yang memuji penguasa dan sering “membersihkan” dosa-dosa penguasa. Tidak kurang juga dijadikan corong untuk melemparkan segala fitnah ke atas pihak-pihak yang tidak disukai oleh penguasa, termasuklah menyesatkan pihak-pihak yang tidak sealiran dengan penguasa.
Seringkali juga khutbah menjadikan umat Islam sebagai “mangsa” kesalahan, seperti di dalam kes boikot ini. Umat Islam selalu dipersalahkan dan penguasa selalu dibenarkan. Bagaimana mungkin umat Islam yang telah melakukan segala yang terdaya dengan memboikot produk-produk orang kafir yang memusuhi atau membenci Islam, dikatakan lari daripada Sunnah? Sedangkan penguasa yang tidak menjaga umat Islam, tidak menerapkan hukum Islam, sebaliknya ternyata “menjaga” kepentingan orang-orang kafir dan menerapkan hukum kufur, tidak pernah pula dikatakan lari daripada Sunnah?
Sesungguhnya inilah antara faktor kenapa para penguasa dapat terus melakukan kesalahan dan kezaliman mereka yakni kerana wujudnya agamawan yang tidak lagi takutkan Allah. Mereka mencari redha penguasa dan habuan duniawi yang sedikit, bukannya mencari redha Allah (swt) dan nikmat ukhrawi yang tidak terbatas. Padahal Rasulullah (saw) telah memberikan peringatan yang sangat keras kepada mereka:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ جُبِّ الْحُزْنِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا جُبُّ الْحُزْنِ قَالَ وَادٍ فِي جَهَنَّمَ تَعَوَّذُ مِنْهُ جَهَنَّمُ كُلَّ يَوْمٍ أَرْبَعَ مِائَةِ مَرَّةٍ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ يَدْخُلُهُ قَالَ أُعِدَّ لِلْقُرَّاءِ الْمُرَائِينَ بِأَعْمَالِهِمْ وَإِنَّ مِنْ أَبْغَضِ الْقُرَّاءِ إِلَى اللَّهِ الَّذِينَ يَزُورُونَ الْأُمَرَاءَ
“Dari Abu Hurairah ia berkata: Rasulullah (saw) bersabda: ‘Berlindunglah kalian kepada Allah dari Jubbul Huzni’. Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah (yang dimaksudkan dengan) Jubbul Huzni?’ Baginda menjawab: ‘Sebuah lembah di dalam neraka Jahanam, dan Jahanam sendiri berlindung daripadanya empat ratus kali setiap hari’. Baginda ditanya: ‘Wahai Rasulullah, siapakah yang akan memasukinya?’ Baginda menjawab: ‘Ia dipersiapkan bagi para Qori yang berlaku riya’ dengan amalan-amalannya. Dan Qori yang paling dimurkai Allah adalah orang-orang yang mengunjungi para penguasa.’” [Sunan Ibnu Majah].
Semoga Allah (swt) segera menggantikan kita dengan para Ulama dan Umara yang takut kepada-Nya, yang menerapkan segala hukum-Nya, yang akan memerangi musuh-musuh-Nya, keras terhadap orang-orang kafir, lembut dan menyayangi orang-orang yang beriman.
Wallahu a’lam.