[Nahdhah Fikriyah | Edisi 132] Muslimah Ideal: Inspirasi Dari Palestin
Penulis: Hamimah Karmidi
Muqaddimah
Peperangan di Palestin yang telah berlangsung lebih setahun telah banyak mengorbankan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak. Tiada siapa yang benar-benar sanggup dan mampu bertahan untuk hidup dalam keadaan dihujani bom sepanjang hari, melihat bangunan runtuh menyembah bumi, anggota tubuh manusia hancur dan bergelimpangan serta tiada bekalan makanan mahu pun minuman. Namun apa yang menakjubkan, keadaan ini sedikit pun tidak membuatkan Muslimah Palestin gentar atau berniat untuk ‘berhijrah’ dari Palestin. Sebaliknya kemahuan mereka semakin kuat untuk terus bertahan malah bertarung hingga ke titisan darah yang terakhir.
Figura Hebat Muslimah Palestin
Di sebalik penindasan dan penderitaan yang dihadapi, salah satu perkara yang mendapat perhatian adalah keberanian luar biasa yang dipamerkan Muslimah Palestin. Di wilayah Sheikh Jarrah, pengusiran dan rampasan kediaman rakyat Palestin telah dilakukan dan Muslimah di sana turut lantang dan sentiasa bersedia menjadi benteng hadapan untuk mempertahankan kediaman dan tanah yang sememangnya adalah hak milik mereka sejak berketurunan lamanya. Sebuah portal akhbar dalam talian ‘Middle East Eye’ telah mengangkat nama Muslimah Palestin antaranya, Muna al-Kurd, Salwa Skafi dan Nuha Atieh sebagai lambang kecekalan wanita Sheikh Jarrah yang tidak akan berganjak daripada melindungi tempat tinggal mereka.
Keberanian dan kecekalan turut dizahirkan oleh seorang warga emas iaitu Dawlat Abdullah Al-Tanani, 66 tahun yang tidak mahu berganjak keluar dari kediamannya sehingga menyebabkan tentera Zionis Yahudi melepaskan seekor anjing dan mengigit beliau ketika tidur di atas katil. Beliau telah diheret dan ditarik sehingga ke pintu masuk. Kejadian tersebut telah menyebabkan kecederaan parah dan tiada sebarang rawatan yang diterima oleh beliau.
Selain itu, terdapat ramai Muslimah dari pelbagai peringkat usia berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran walaupun berada di dalam penjara Israel. Contohnya, tahanan Abeer al-Kadhi, 46 tahun yang merawat keperitan hidup sepanjang berada di penjara dengan berdamping dengan al-Quran. Beliau telah menghafal al-Quran dalam tempoh 11 bulan sahaja walaupun ketika itu beliau menghidap penyakit kritikal dan ditekan oleh rejim Zionis dengan cara memindahkan beliau dari satu penjara ke penjara yang lain. Tidak ketinggalan seorang warga emas berumur 86 tahun iaitu Fatima Thabit yang menghafal keseluruhan al-Quran dan diberi penghormatan oleh Kementerian Wakaf Palestin sebagai Hafizah Tertua di Gaza.
Kisah ibu yang melahirkan anak tanpa ubat bius ketika dibedah turut diperhatikan. Wanita Palestin yang hamil terpaksa menjalani pembedahan dalam suasana hospital yang sesak dan kurang bersih. Bahkan ada yang terpaksa dibedah di bawah runtuhan bangunan. Menurut Pengarah Hospital Nasser iaitu Nahhed Abou Taima yang dipetik dari Financial Times mengatakan bahawa para doktor terpaksa melakukan pembedahan tanpa bius kepada wanita hamil yang cedera akibat daripada serangan tentera Zionis. Apa yang lebih menyayat hati, setelah melahirkan anak melalui pembedahan mereka terpaksa pulang dengan menuruni tangga dan kembali menghadap keadaan yang tidak aman di kem pelarian.
Menjadi Muslimah Ideal dan Sejati
Antara personaliti ideal dan sejati yang terdapat pada Muslimah Palestin adalah:
- Melaksanakan ibadah dan semua kewajipan agama yang diperintahkan Allah SWT dengan sebaiknya walaupun berada dalam suasana peperangan dan tidak tenteram.
- Menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dengan mendidik anak-anak menjadi generasi pejuang. Anak-anak diberi didikan sempurna, dibekalkan dengan ilmu al-Quran dan hadis, dilatih menghafal al-Quran sejak kecil dan disemai semangat jihad dan perjuangan mempertahankan tanah air, bumi barakah yang dijanjikan oleh Allah.
- Menerima ketetapan qadha dan qadar dengan hati terbuka yang telah ditentukan ke atas mereka terutama ketika kehilangan permata hati yang dicintai dan menjalani kehidupan dalam keadaan yang serba kekurangan.
- Bekerja dan berkhidmat dalam mendukung agama Allah dengan berusaha menegakkan pemerintahan Allah SWT di muka bumi dan mengikut cara hidup yang ditetapkan olehNya. Mereka terus berjuang dan berdakwah walau apa pun ujian dan penderitaan yang mendatang.
- Terdidik menjadi wanita hebat yang mementingkan urusan menuntut ilmu. Walaupun kebanyakan daripada mereka menikah dalam usia yang muda dan terfokus dalam mengurus rumah tangga dan mendidik anak, namun kecintaan mereka terhadap ilmu tidak pernah padam malah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi walau serba kekurangan.
Khatimah
Generasi Muslimah kini seharusnya menjadikan sosok Muslimah Palestin sebagai teladan dan inspirasi untuk menjadi wanita ideal dan sejati walaupun dalam persekitaran yang berbeza. Sebagaimana cekal dan tabahnya mereka dalam memperjuangkan tanah Palestin, begitulah kuatnya keterikatan hubungan mereka dengan Allah SWT. Setiap Muslimah perlulah berusaha memperbaiki diri dalam kehidupan beragama secara berterusan sehingga turut melestarikannya dalam seluruh lingkungan kehidupan iaitu anak, keluarga dan masyarakat. Dari Abdullah bin ‘Amr bin Al-Ash ra., ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” [HR Muslim].
RUJUKAN:
- https://alwaie.net
- https://lensamedianews.com
- https://international.sindonews.com
- https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/05/819071/contohi-keberanian-kecekalan-luar-biasa-wanita-palestin
- https://harakahdaily.net/index.php/2024/06/27/kejam-israel-guna-anjing-ganas-serang-nenek-tua-palestin/
- https://haluanpalestin.org/tahanan-wanita-palestin-berjaya-hafal-30-juz-al-quran-ketika-dalam-tahanan/
- https://pembina.com.my/jihad-wanita-palestin/
- https://www.ikim.gov.my/index.php/2021/05/21/keberanian-luar-biasa-wanita-palestin/
- The Ideal Muslimah by Dr Muhammad Ali Hashimi