Letupan Putra Heights: Apa perkembangan setelah lebih tiga minggu?

Setelah lebih tiga minggu kes kebakaran besar akibat kebocoran gas di Putra Heights, sehingga kini kita masih belum mendengar berita mengenai hasil siasatan. Rakyat bukan sahaja ingin tahu, tetapi berhak tahu bagaimana kebocoran tersebut boleh berlaku yang telah menyebabkan kerosakan harta benda kepada penduduk sekitar yang agak banyak.

Kejadian seumpama ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja melibatkan isu kerosakan harta benda, malah apa yang lebih penting ialah keselamatan nyawa rakyat. Selain itu rakyat perlu tahu samada wujud penyelewengan atau kelalaian oleh pihak-pihak berwajib, dan siapa pun yang bersalah seharusnya dipertanggungjawabkan segera dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Dalam apa jua musibah, hanya ada dua kemungkinan sahaja iaitu sama ada ia berlaku atas faktor alam semulajadi atau di luar kawalan manusia, atau kemungkinan kedua ia berlaku atas faktor tangan-tangan manusia yang sering membuat kerosakan di muka bumi.

Dalam insiden di Putra Heights ini, hanya siasatan yang telus sahaja yang dapat merungkai apakah puncanya. Namun persoalannya ialah, sejauh manakah rakyat akan mendapat siasatan yang telus, melihat kepada track record pihak-pihak berwajib dalam kes-kes penyelewengan selama ini di Malaysia?

Apa yang pasti, sudah lebih tiga minggu kejadian berlaku dan sehingga kini masih tidak kelihatan bunga-bunga siasatan, apa lagi untuk melihat hasilnya. Justeru, wajar sahaja jika kepercayaan rakyat terhadap kerajaan atau pun pihak-pihak berwajib terhakis hari demi hari, dan wajar sahaja bagi rakyat untuk berfikir bahawa ada sesuatu yang mungkin disembunyikan.

Dalam setiap musibah, sesungguhnya peranan negara amat penting, bukan sahaja untuk menyiasat setiap kejadian yang berlaku, tetapi mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum terjadi, dan juga menanganinya semasa terjadi. Tidak kiralah apa musibahnya baik banjir, tanah runtuh, bangunan roboh, sungai tercemar, gempa bumi, kebakaran dan sebagainya, ketiga-tiga usaha sebelum, semasa dan selepas kejadian amat penting untuk dilakukan oleh negara.

Malangnya jika kita melihat musibah-musibah yang telah menimpa negara selama ini, khususnya banjir besar yang sering terjadi, ketiga-tiga usaha tersebut (sebelum, semasa dan selepas) sering dilalaikan oleh kerajaan. Kita sudah tidak perlu lagi membuktikan perkara ini kerana fakta telah berbicara dari semasa ke semasa.

Kita tidak boleh menafikan bahawa punca dari banyaknya musibah dan malapetaka yang melanda negara, terjadi disebabkan kelalaian pemerintah. Banyaknya kes rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan lain-lain, yang semua kejahatan ini dijadikan “agenda utama” oleh golongan yang berkuasa, sehingga tugas dan tanggungjawab mereka untuk mengurus negara dan menjaga rakyat diabaikan. Benarlah firman Allah (swt):

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Ar-Rum (30): 41].

Walaupun Allah (swt) menyebut dalam ayat tersebut bahawa Dia mahu yang manusia kembali (ke jalan yang benar) dengan musibah yang menimpa manusia, namun berapa ramai daripada kalangan penguasa yang tidak pernah sedar dan kembali ke jalan yang benar, walaupun sudah banyak musibah yang menimpa?!

Biar pun telah bertukar banyak kerajaan, hasilnya tetap sama, kerana mereka yang memegang kuasa dalam sistem demokrasi ini bukanlah untuk menjaga rakyat, apatah lagi untuk menerapkan hukum Allah (swt), tetapi hanya untuk mengaut sebanyak mungkin manfaat duniawi untuk kepentingan peribadi.

Justeru, jangan pelik jika hasil siasatan kes Putra Heights ini tidak keluar-keluar, dan jangan pelik jika keluar keputusan sekali pun, tidak ada pihak yang didapati bersalah, walaupun fakta di lapangan menunjukkan sebaliknya.

Wallahu a’lam.