Laporan Seminar Terbuka Selamatkan Wanita Dengan Syariat

TAMAN SRI RAMPAI, KUALA LUMPUR – Pada tanggal 6hb Jun 2010, Khilafah Centre (KC) dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM)  telah berjaya menganjurkan Seminar Terbuka bertajuk ‘Selamatkan Wanita Dengan Syariat’.

Seminar ini diadakan sempena kemuncak Kempen Gejala Sosial yang telah diadakan selama sebulan di sepanjang bulan Mei lalu oleh Mahaliyyah KL.  Disepanjang kempen tersebut, MHTM telah berjaya berinteraksi dengan para muslimah dengan mengadakan “open circle” di beberapa kawasan surau dan rumah disekitar lembah kelang serta mengedarkan nasyrah seperti Fikratul ummah, Sautun Nahdah dan terbitan-terbitan HTM di pasar malam serata ibukota serta di stesen-stesen transit ringan LRT dan tempat-tempat umum lainnya.

Seminar yang bermula pada jam 0830 pagi hingga 1230 tengahari ini telah diadakan di Dewan Seminar, Jalan Megan, Taman Sri Rampai, Setapak Kuala Lumpur. Seminar ini menampilkan dua ahli panel iaitu Puan Habsah dan Puan Hajjah Umi Kalsom, kedua-duanya merupakan aktivis Hizbut Tahrir Malaysia.

Tema seminar yang dipilih kali ini iaitu Selamatkan Wanita Dengan Syariat amat bersesuaian dan relevan dengan pelbagai isu dan permasalahan yang sedang membelenggu wanita masa kini yang tidak berkesudahan malahan semakin parah dan amat memerlukan satu penyelesaian yang dapat merungkai permasalahan ini sehingga ke akar umbinya.

Puan Habsah selaku panel pertama telah membentangkan tajuk ‘Realiti Kesengsaraan Wanita’. Beliau telah membawakan kupasan realiti berkaitan wanita  daripada perspektif wanita sebagai seorang remaja, isteri, ibu, pekerja dan muslimah yang mana memberi gambaran bahawa wanita keseluruhannya tidak mengira status sedang dihimpit pelbagai masalah yang menyebabkan wanita itu sendiri sentiasa dalam kondisi tidak selamat. Saban hari kita didedahkan dengan pelbagai kisah yang menceritakan wanita sentiasa menjadi mangsa penganiayaan samada secara paksa atau sukarela yang membabitkan kes rogol, sumbang mahram, penderaan, masalah sosial remaja, ekploitasi, zina sehingga melahirkan anak luar nikah yang akhirnya membawa kepada gejala pembuangan bayi dan pelbagai lagi permasalahan.

Semua ini berlaku kerana wanita kini hidup di dalam Sistem Kapitalisme yang bertunjangkan kepada sekularisme iaitu memisahkan agama daripada kehidupan secara total yang mana impaknya sistem rosak ini telah melenyapkan kemuliaan dan merendahkan martabat wanita. Sistem yang rosak ini pula cuba mencari penyelesaian kepada permasalahan ini dengan memberikan penyelesaian ‘tampal sulam’ yang tidak menyelesaikan masalah malah lebih memburukkan lagi keadaan seperti memperjuangkan hak-hak wanita, melancarkan kempen-kempen kesedaran, menubuhkan rumah/pusat perlindungan wanita dan juga memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah. 

Seterusnya pembentangan diteruskan oleh Puan Hajjah Umi Kalsom yang  memberikan penyelesaian dari sisi perspektif Islam yang mana hanya Islam sahaja yang dapat menuntaskan segala permasalahan wanita ini dengan sebaik-baiknya. Syariat Islam telah memuliakan dan meninggikan martabat wanita serta menjamin keselamatan wanita. Syariat Islam telah menggariskan segala peraturan dan hukum- hakam berkaitan wanita seperti keterbatasan pergaulan lelaki dan wanita, menghalalkan hubungan lelaki dan wanita hanya dengan pernikahan, pengaturan pakaian Muslimah iaitu jilbab dan khimar, larangan bertabarruj dan perintah kepada lelaki supaya menundukkan pandangan serta  memberikan hak kepada wanita untuk berpolitik.  Wanita juga mempunyai kewajipan dan hak dalam Islam iaitu wanita berkewajipan menuntut ilmu dan mempunyai hak untuk berpolitik. Ini kerana kedua-duanya merupakan sesuatu yang sangat penting .

Setiap wanita mesti lah menuntut ilmu  dan  mengajarkan ilmu/menyampaikan Islam kepada orang lain. Seterusnya dengan ilmu itu lah, wanita mampu berpolitik iaitu dengan mengambil tahu urusan umat. Sesungguhnya permasalahan umat kini hanya dapat diselesaikan dengan menerapkan Syariat Islam secara keseluruhannya. Syariat Islam pula hanya boleh diterapkan dengan adanya Negara iaitu Khilafah Islamiyah yang mengatur dan mengurusi urusan umat melalui Sistem Pemerintahan, Sistem Pendidikan, Sistem Sosial, Sistem Uqubat, Sistem Ekonomi dan lain-lain yang berlandaskan kepada hukum Syara’. Oleh yang demikian, mendirikan Khilafah Islamiyah sehingga terterapnya hukum Syara’ adalah suatu kewajipan bagi setiap wanita dan umat Islam keseluruhannya.      

Seminar ini juga telah diselitkan dengan tayangan video yang memaparkan realiti permasalahan wanita yang menjadi bukti kerosakan Sistem Kapitalisme dan perlunya umat Islam untuk kembali kepada Sistem Khilafah sebagai satu-satunya sistem yang layak bagi umat manusia. Peserta juga disajikan dengan pameran yang berkaitan dengan tema seminar dan juga jualan buku-buku dan bahan-bahan bacaan terbitan Hizbut Tahrir.
 
Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab untuk memberi peluang kepada peserta  mengutarakan persoalan dan semua persoalan telah dijawab oleh kedua-dua ahli panel dengan jawapan yang pastinya memuaskan hati dan akal kerana penyelesaian adalah dengan Islam semata-mata yang sesuai dengan fitrah manusia.

Dikesempatan ini, MHTM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir serta jawatankuasa yang bertungkus lumus meluangkan tenaga dan masa demi merealisasikan gerak kerja dakwah dalam mendekati umat ini.

Semoga segala usaha ini diberkati dan diredhai Allah SWT dan dikira sebagai amal soleh sebagaimana firmanNya : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”  [TMQ Muhammad(47):7].