Zohran Mamdani: Nama Islam, Agenda Liberal

Zohran Mamdani baru sahaja dilantik sebagai Datuk Bandar New York, dan sebahagian umat Islam, bukan sahaja di New York, bahkan di seluruh dunia menyambutnya dengan penuh sorakan dan kegembiraan, seolah-olah kemenangan beliau adalah kemenangan Islam. Ramai yang melihatnya sebagai kejayaan Islam kerana agama Datuk Bandar baru New York ini ialah Islam, dan kedudukan beliau sebagai seorang Muslim yang naik ke kerusi kekuasaan di sebuah kota besar dan penting di Amerika.

Persoalannya, adakah ini benar-benar merupakan kemenangan Islam, atau sebenarnya merupakan petanda betapa jauhnya segelintir umat ini telah tersasar dalam menilai erti kemenangan?

Sebelum pergi lebih jauh, kita sewajarnya mengakui bahawa Muslim mana pun yang gembira dengan kejayaan Mamdani ini, menggambarkan bahawa perasaan Islami masih ada dalam diri mereka. Setidaknya mereka menilai sosok Mamdani dari sudut agama biar pun penilaian mereka itu perlu diperbetulkan. Ini kerana, kita tidak seharusnya menilai seseorang berdasarkan emosi atau sentimen keagamaan semata-mata tanpa melihat “content” yang ada dalam diri orang tersebut dan perjuangan yang dibawanya. Di sinilah pembetulan perlu dilakukan.

Pendirian dan perjuangan Mamdani

Hakikatnya, kemenangan Zohran Mamdani tidak mewakili kemenangan Islam, kerana perjuangannya bukanlah perjuangan Islam. Beliau adalah sosok yang menjadi ikon arus liberal progresif dan sosialis yang sedang melanda kota-kota besar Amerika, akibat kegagalan ideologi kapitalisme. Ideologi yang diperjuangkan Zamdani bukan berasaskan wahyu, tetapi berpaksikan falsafah kebebasan manusia yang menolak batas agama.

Beliau berhaluan kiri dengan dasar perjuangan democratic socialist, menyeru kepada kawalan ekonomi oleh negara, pengagihan semula kekayaan, serta perluasan perkhidmatan awam termasuk pengangkutan percuma dan subsidi barangan asas. Atas platform inilah beliau mendapat sokongan daripada golongan miskin bandar yang menderita akibat ketidaksamarataan sosial di Amerika.

Pada sisi nilai dan moral, Zamdani berada sangat jauh dari ajaran Islam. Beliau antara penyokong kuat komuniti ELGIBITI dan perjuangan hak identiti jantina, malah berjanji menjadikan New York sebagai “sanctuary city” (bandar perlindungan) untuk kaum pelangi tersebut, memperluas akses kepada rawatan gender-affirming care dan menentang sebarang bentuk diskriminasi terhadap orientasi seksual. Pendiriannya menolak nilai agama sebagai asas moral menjadikan perjuangannya selari dengan agenda sekular-liberal yang menjadikan hawa nafsu manusia sebagai ukuran kebenaran.

Inilah bentuk keruntuhan akhlak golongan yang berpegang kepada liberalisme, di mana hawa dan keinginan manusia diangkat menjadi seperti agama baharu, dan fitrah yang Allah ciptakan dianggap penghalang kepada kebebasan. Firman Allah (swt):

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” [Al-Jatsiyah (37): 23].

Hak dan kebebasan yang membelakangkan wahyu nilah yang menjadi perjuangan Mamdani. Sesungguhnya apa yang dinamakan “hak dan “kebebasan” yang menjadi pegangan dan perjuangan masyarakat Barat itu sebenarnya adalah bentuk pemberontakan terhadap Allah dan Sunnatullah.

Dalam pandangan Islam, hak dan kebebasan itu tidak lahir daripada manusia, dan bukannya mengikut akal atau hawa nafsu manusia, tetapi ia lahir daripada hukum Allah, yang mana Allah memerintahkan manusia agar menundukkan keinginan dan hawa nafsunya berdasarkan apa yang Allah turunkan. Dengan ketundukan inilah, hak, keinginan, kebebasan dan hawa nafsu manusia dipandu dengan jalan yang benar, yang sudah pasti akan memuaskan akal dan menyejahterakan manusia.

Kemenangan Islam bukan pada nama

Melalui kemenangan Mamdani, New York nampaknya berada dalam fasa peralihan – antara ideologi kapitalisme yang selama ini mendominasi negara dan dalam masa yang sama menindas penduduk, dengan ideologi sosialisme yang terkenal dengan perjuangan hak sama rata. Zohran Mamdani jelas berdiri di posisi yang kedua – memperjuangkan hak sama rata, khususnya golongan pekerja yang tertindas, yang hakikatnya perjuangannya tetap dalam kerangka sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan), walaupun dilihat lebih adil, apatah lagi dengan nama Islam yang dibawanya.

Fenomena “nama Islam” yang dikaitkan dengan kemenangan Islam ini bukanlah suatu yang baru. Kita tentu masih ingat ketika Sadiq Khan terpilih menjadi Datuk Bandar London. Ramai Muslim yang bergembira dan meraikannya sebagai “kejayaan Islam”. Namun ternyata dia ialah seorang yang memperjuangkan dasar-dasar yang bertentangan dengan Islam sepenuhnya, dan ternyata tidak ada satu pun hukum Allah yang diperjuangkannya sepanjang menjadi Datuk Bandar.

Begitu juga ketika Barack Hussein Obama naik menjadi presiden Amerika, ramai umat Islam yang teruja hanya kerana namanya berunsur Islam. Tetapi kemudian datanglah serangan drone, peperangan di Yaman dan Somalia, serta kejahatan demi kejahatan terhadap umat Islam yang dilakukan oleh Obama. Nama “Hussein” itu langsung tidak mengubah sikap dan pendirian Obama serta polisi luar negara kafir Amerika iaitu memerangi Islam dan umatnya.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa tidak adil untuk membandingkan Obama dengan Mamdani kerana seorang Muslim dan seorang lagi non-Muslim. Isu di sini bukanlah perbandingan agama, tetapi “nama Islam” yang melekat pada seseorang, yang bagi sesetengah Muslim menganggap bahawa nama Islam tersebut memberikan seribu harapan ke arah kebaikan. Hakikat yang terbukti ialah sebaliknya.

Inilah kesilapan penilaian segelintir umat Islam, yang didasarkan kepada emosi semata-mata — menyamakan nama Muslim dengan kejayaan Islam. Ya benar, Zohran Mamdani memang lantang bersuara tentang Gaza, dan mengutuk kekejaman Zionis. Itu pada zahirnya suatu yang baik, tetapi umat Islam tidak seharusnya keliru bahawa menyokong Gaza tidak semestinya bermakna menyokong Islam. Seseorang boleh sahaja membela Palestin atas dasar kemanusiaan atau kebenciannya kepada Zionis, tetapi dalam masa yang sama menolak hukum Allah dalam hal-hal lain.

Umat Islam perlu bijak dalam membezakan sokongan yang lahir daripada perasaan atau politik atau moral dalam sesuatu isu, dengan sokongan yang lahir daripada akidah Islam. Seseorang tidak boleh dikatakan memperjuangkan Islam sekiranya dia melakukan sesuatu tindakan bukan atas dasar akidah Islam, apatah lagi apabila ternyata bahawa dia memperjuangkan banyak perkara yang Allah haramkan.

Ringkasnya, kejayaan seseorang Muslim memegang jawatan penting dalam sesebuah institusi bukanlah secara automatik mencerminkan kejayaan Islam. Demikian juga dengan nama Islam yang melekat pada seseorang itu bukanlah secara automatik mencerminkan semua yang dibawanya bersesuaian dengan Islam. Tidak sama sekali. Ini kerana apa yang perlu dilihat ialah asas yang menjadi ukuran dalam setiap tindakannya – adakah berasaskan akidah Islam, atau berasaskan selain Islam.

Kita menyaksikan berapa ramai daripada para penguasa Muslim mahupun ahli politik Muslim, malah sebahagian mereka datang daripada parti politik Islam yang terkenal, namun mereka tidak pernah menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas pemerintahan atau perjuangan. Berapa ramai daripada kalangan para penguasa dan ahli politik tersebut yang menjadikan perlembagaan dan undang-undang ciptaan Barat sebagai asas dan tolok ukur dalam pemerintahan dan perjuangan mereka.

Baik mereka yang telah, mahu pun sedang berkuasa, ternyata sistem dan undang-undang yang mereka terapkan ialah sekular, sedangkan mereka lahir, belajar dan membesar serta berjuang dalam sebuah negeri Islam. Maka, boleh dibayangkan dengan kedudukan Mamdani atau mana-mana Muslim yang naik menjadi penguasa di negara Barat, yang lahir, membesar dan berjuang dengan nilai-nilai Barat. Di sinilah umat Islam perlu faham bahawa untuk menyatakan sesuatu kemenangan itu adalah kemenangan Islam, maka apa yang mesti dilihat ialah content dan perjuangan yang dibawa, bukan “nama” yang melekat pada diri seseorang.

Bercermin pada perjuangan Rasulullah

Keseluruhan sistem pemerintahan di dunia Islam saat ini adalah sekular, yang jelas bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, apatah lagi sistem pemerintahan di Amerika Syarikat. Maka, amat mudah untuk difahami bahawa Muslim mana pun yang naik ke tampuk pemerintahan di Amerika, hanya akan menjadi pelaksana kepada sistem kufur yang diterapkan, tanpa dapat lari seinci pun daripadanya. Adakah kita bergembira dengan situasi ini – situasi di mana seorang Muslim memimpin dalam sistem kufur, tertakluk kepada undang-undang kufur dan dengan nilai-nilai kufur?

Isu di sini bukanlah isu sosok tubuh Mamdani semata-mata, tetapi lebih jauh daripada itu – sekiranya yang berjaya menjadi Datuk Bandar New York adalah seorang ulama lepasan Al-Azhar sekali pun, hakikatnya sama sahaja, kerana ia memimpin dalam sebuah negara kufur, dengan sistem dan undang-undang kufur yang mana ia tertakluk kepadanya sepenuhnya.

Umat Islam perlu berhenti daripada mengkhayalkan kemenangan dalam sebuah sistem pemerintahan kufur, apatah lagi di negara kafir, dan apatah lagi di negara kafir yang memusuhi Islam seperti Amerika. Islam tidak akan tegak melalui pentas demokrasi, baik di negara Barat mahu pun di negara kaum Muslimin. Kemenangan sejati bukanlah apabila seseorang Muslim berjaya memegang jawatan dalam sebuah sistem kufur, di negara kufur, tetapi apabila Islam itu sendiri kembali berkuasa sepenuhnya di bawah naungan Negara Islam (Khilafah).

Umat Islam perlu sedar bahawa Rasulullah (saw) bangkit di tengah-tengah sistem Jahiliah dan dalam sebuah negara kufur yang bencikan Islam. Baginda (saw) bukan sahaja tidak menyertai sistem kufur tersebut, sebaliknya berusaha menentangnya habis-habisan, dalam rangka menggantikannya dengan sistem Islam berteraskan wahyu. Baginda sedikit pun tidak terlibat dalam pemerintahan kufur Jahiliah, mencegah para Sahabat daripada terus mengamalkan amalan-amalan Jahiliah, dan baginda berusaha untuk mendirikan Daulah Islam demi menerapkan hukum Allah secara kaffah.

Inilah apa yang wajib kita contohi dan lakukan. Inilah ikutan kita dan inilah kebenaran yang sebenar-benarnya – yakni dengan kita menjadikan Rasulullah (saw) sebagai suri teladan dalam semua tindakan kita, termasuklah dalam usaha untuk menerapkan Islam dan menegakkan Negara Islam (Khilafah).

Jadi, kita perlu ingat bahawa lahir dalam sistem Jahiliah bukan bermakna kita boleh masuk dalam sistem Jahiliah, menyertai sistem Jahiliah, berkompromi dengan sistem Jahiliah, tunduk patuh pada sistem Jahiliah atau menjadikan sistem Jahiliah sebagai “alat” untuk kita menaikkan Islam. Ini bukan ajaran Islam, ini bukan ajaran Rasulullah dan ini bukan jalan yang diredhai oleh Allah. Ini merupakan jalan yang salah. Umat Islam wajib sedar dan keluar daripada kesalahan ini.

Kesimpulan

Zohran Mamdani hanyalah satu lagi wajah dalam senarai panjang kekeliruan umat Islam. Kemenangan beliau bukanlah simbol kemenangan Islam, jauh sekali simbol kebangkitan Islam. Kemenangan Mamdani sebaliknya menjadi simbol penolakan masyarakat Barat kepada ideologi kapitalisme yang menindas mereka selama ini, dan wujudnya satu sentimen serta usaha untuk berubah kepada sosialisme dalam aspek tertentu, dengan mengekalkan gaya hidup Barat yang liberal, penuh kerosakan serta jauh dari Islam. Selagi umat Islam menilai kemenangan berdasarkan nama, bukan berdasarkan sistem dan hukum, maka selagi itulah mereka akan terus tertipu — meraikan kesalahan dan kekalahan yang disangka kebenaran dan kemenangan.

Wallahu a’lam.