Ayuh kembalikan perisai umat – Jurucakap HTM

Buletin HTM – Tarikh 3 Mac 1924 (bersamaan 28 Rajab 1342 H) merupakan titik bermulanya penderitaan sistemik umat Islam apabila “perisai umat” dihancurkan oleh pengkhianat Mustafa Kamal dengan bantuan kafir British, tegas Ustaz Abdul Hakim Othman semasa Program Kupas Tuntas Edisi Khas yang bersiaran pada 3 Mac 2026.

Program khas ini bertujuan menyoroti genap 102 tahun (Masihi) kejatuhan institusi Khilafah Islamiyyah memberi peringatan kepada umat Islam mengenai kewajipan yang tertangguh di sebalik tragedi tersebut.

Jurucakap HTM itu menjelaskan mengenai konsep “Dua Perisai” yang bersumberkan lisan mulia Nabi Muhammad (saw). Perisai pertama ialah puasa, yang berfungsi sebagai perisai diri untuk melindungi seseorang Muslim daripada hawa nafsu di dunia dan azab api neraka di akhirat. Perisai diri ini amat penting kerana ia menjaga seseorang dari melakukan kemaksiatan di dunia, yang seterusnya menjadi benteng baginya daripada neraka di akhirat, sesuai ketetapan hadis.

Namun, perisai kedua juga sangat penting menurut beliau, kerana ia bersifat perlindungan secara menyeluruh kepada semua umat Islam. Perisai kedua ini ialah Al-Imam (Khalifah) sebagaimana yang disebut dengan jelas oleh Rasulullah (saw) dalam hadis baginda. Umat Islam berperang dan berlindung di belakang perisai kedua ini, yang menunjukkan betapa besar dan pentingnya fungsi Khalifah.

Sejarah keKhilafahan membuktikan bahawa semasa perisai ini wujud, bulan Ramadhan menjadi saksi kepada siri kemenangan agung seperti peperangan Buwaib (13 H), pembukaan Andalusia dan India (92 H), serta kejayaan Khalifah al-Mu’tasim membela maruah seorang Muslimah di Amuriah (223 H). Malah, kemenangan ke atas tentera Tartar di Ain Jalut (658 H) membuktikan bahawa para Khalifah dahulu tidak pernah “berehat” daripada menjadi pelindung kepada umat Islam meskipun di bulan Ramadhan.

Setelah perisai umat ini hancur pada 3 Mac 1924, sejarah pahit umat Islam bermula dengan umat ini dibelenggu pelbagai penderitaan di seluruh penjuru dunia dan dari segenap sudut. Tanah Palestin Yang Diberkati terlepas ke tangan Yahudi, begitu juga dengan Kashmir, Myanmar, Xinjiang dan banyak lagi wilayah lainnya dikuasai oleh musuh-musuh Islam.

Umat Islam diperintah oleh penguasa Ruwaibidhah yang rata-ratanya adalah ejen dan boneka penjajah, yang sanggup membunuh rakyatnya sendiri demi kepentingan kafir penjajah. Penguasa umat Islam sekarang ini bukan sahaja tidak menjadi perisai, sebaliknya menjadi pedang yang dihayunkan ke atas umat Islam. Demikianlah kondisi buruk yang menimpa umat Islam apabila perisainya telah hancur 102 tahun yang lalu.

Serangan terbaru Amerika ke atas Iran, tambah Ustaz Hakim, dan diamnya seluruh penguasa Muslim daripada membantu Iran secara fizikal, menunjukkan betapa buruknya semua penguasa Muslim yang ada, sekali gus menunjukkan betapa umat Islam sangat memerlukan sebuah perisai yang akan melindungi mereka daripada musuh.

Jurucakap HTM itu menyeru seluruh kaum Muslimin agar jangan semata-mata membina perisai diri di bulan Ramadhan ini, sebaliknya wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan perisai umat yang telah hilang. Usaha menegakkan kembali Khilafah bukan sahaja merupakan sebuah kewajipan, bahkan sebuah keperluan yang sangat mendesak buat masa ini.