Melaka tidak akan berubah selagi diperintah parti yang kekalkan perlembagaan penjajah

Pesta demokrasi di Melaka telah pun berakhir dengan kemenangan besar gabungan BN-PN, dan kekalahan teruk parti-parti lain kecuali DAP. Walaupun nisbah kerusi DUN yang dimenangi hampir tidak berubah, namun dari segi bilangan undi, berlakunya perubahan yang sangat besar, yang berpihak kepada parti sekular UMNO-BN.

Berdasarkan hukum demokrasi, rakyat Melaka telah pun membuat keputusan, jadi parti-parti yang bertanding, khususnya yang kecundang terpaksa akur. Segalanya telah selesai. Namun, berdasarkan hukum Islam, banyak persoalan yang timbul dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia memerlukan jawapan dan tindakan dari setiap Muslim.

Sekali fikir, agak aneh apabila parti yang pernah ditolak rakyat melalui sebuah tsunami politik tidak lama dahulu kini menang bergaya. Rakyat yang sama yang menolaknya pada waktu itu kini memilihnya semula. Sungguh ironi tapi itulah hakikatnya. Biasanya luka parah yang dialami rakyat di bawah pemerintahan sebuah rejim tidak mudah untuk sembuh, namun ternyata di Malaysia ia sembuh dengan agak cepat. Bagaimana semua ini boleh berlaku?

Memang sukar untuk dibayangkan apabila rakyat terus ditipu dan diperah, kekayaan alam serta hasil bumi milik rakyat diratah oleh para pemilik modal, para pemimpin hidup kaya raya, sedangkan masih terdapat segelintir rakyat yang kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat makan, rakyat dipermainkan dengan ketamakan kuasa pemimpin, dan banyak lagi tekanan hidup yang dialami rakyat, namun semua penderitaan itu seolah-olah telah hilang dari ingatan rakyat sehingga pemimpin dan parti yang menyebabkan semua itu nampaknya kembali mendapat tempat di hati rakyat.

Mungkin andaian bahawa rakyat kembali berpihak kepada parti tersebut adalah salah. Mungkin sebenarnya rakyat bukanlah mahukan mereka, tetapi rakyat sudah tidak ada pilihan. Pilihan yang ada di tangan rakyat hanyalah antara parti yang buruk dan parti yang lebih buruk, atau dalam bahasa fiqhnya yang mudarat dan yang lebih mudarat. Jadi, rakyat memilih parti yang mudarat berbanding yang lebih mudarat. Bukanlah rakyat suka kemudaratan, tetapi rakyat tidak mahu berada dalam situasi yang lebih mudarat. Mungkin andaian ini lebih tepat. Wallahu a’lam.

Apa pun keputusannya, siapa pun yang menang dan siapa pun yang kalah, dan siapa pun yang hilang deposit, sesungguhnya semua itu tidak akan mengubah hakikat pilihan raya dalam sistem demokrasi sebagai mekanisme untuk menukar wajah pemimpin atau parti yang memerintah. Itu sahaja. Adapun sistem pemerintahan, kekal tidak berubah, kerana demokrasi bukan didesign untuk merubah pemerintahan.

Ada pihak yang lantang berkempen menyatakan yang jika parti mereka dipilih, kegemilangan Islam yang pernah tercatat dalam sejarah, akan kembali ke Melaka. Sekarang parti mereka telah menang, maka sama-samalah kita lihat selepas ini sama ada benar atau tidak Islam akan kembali gemilang di Melaka sebagaimana yang dijanjikan.

Umum mengetahui bahawa ucapan orang politik apabila berkempen memanglah sedap didengar, sehingga kata orang gajah pun boleh terbang. Hakikatnya, kajian dan realiti membuktikan yang antara ucapan manusia yang paling tidak boleh dipercayai ialah ahli-ahli politik demokrasi. Janji dan manifesto mereka memang berbulan bintang, namun apabila menang dan gagal menunaikannya, keluarlah alasan bahawa manifesto bukan kitab suci dan bermacam-macam alasan yang tidak perlu dihuraikan lagi.

Realiti Pilihan Raya Demokrasi

Antara pertentangan utama demokrasi dengan Islam ialah demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan manusia, sedangkan Islam meletakkan kedaulatan di tangan syarak. Demokrasi memberi hak kepada manusia untuk mengambil hak Allah sebagai Al-Musyarri’ (Pembuat Hukum / Law Maker), dan pilihan raya merupakan jalan ke arah memanifestasikan hak tersebut.

Parlimen dan DUN menjadi tempat manusia membuat hukum. Kesemua calon atau parti politik yang bertanding dalam pilihan raya demokrasi, baik parti kafir, sekular mahupun Islam, tujuannya sama sahaja iaitu untuk mengisi kerusi-kerusi kekuasaan yang menjadikan mereka Lawmakers (Pembuat Hukum).

Di bawah demokrasi, hukum-hukum Al-Quran dan As-Sunnah tidak ada tempatnya baik di Parlimen atau DUN, kerana “Dewan Mulia” tersebut hanya membenarkan hukum akal manusia sahaja dilaksanakan, yang akan diundi secara majoriti. Lebih ironi, hukum akal tersebut tidak boleh terkeluar sedikit pun daripada “kitab suci” yang diberi oleh si penjajah kafir bernama Lord Reid.

Di bawah demokrasi, apa sahaja hukum yang digubal boleh sahaja bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi tidak boleh sama sekali bertentangan dengan perlembagaan pemberian si kafir penjajah itu. Oleh itu, kita menyaksikan hukum sebatan bagi penzina ialah enam kali sahaja walaupun Al-Quran secara qathie menetapkannya sebanyak seratus kali. Itu baru salah satu daripada selautan hukum akal yang dibuat oleh manusia yang mengambil hak Allah tadi.

Demikianlah realiti sistem demokrasi, tidak kira parti mana pun yang memerintah, tidak kira berapa ramai wajah pemimpin telah bertukar di sepanjang pemerintahan. Di bawah sistem kufur yang datangnya dari Barat ini, pemimpin boleh ditukar, parti boleh ditukar, tetapi sistem itu sendiri (demokrasi) sama sekali tidak boleh ditukar, bahkan tidak dibenarkan untuk dikritik pun, seolah-olah ia datang dari Tuhan. Melentinglah para penganut demokrasi apabila sistem ini dikritik, dan tindakan undang-undang menanti siapa sahaja yang menyebabkan bahaya kepada sistem ini atau cuba menukarnya.

Atas dasar itu, siapa pun atau parti mana pun yang memerintah, sistem pemerintahannya tetap sama iaitu sistem demokrasi yang datangnya dari penjajah, yang berpaksikan perlembagaan yang juga datangnya dari mereka. Nasib umat Islam juga sama.

Perubahan dan kebangkitan tidak pernah berlaku kerana para penguasa dan parti-parti yang memerintah, sejak dulu hingga kini, terus mengekalkan perlembagaan dan undang-undang ciptaan penjajah, biarpun sebahagian besar undang-undang tersebut telah terbukti kolot yang mana penjajah sendiri sudah tidak memakainya di negara mereka.

Atas dasar itu, kita menyaksikan pemimpin demi pemimpin dan parti politik demi parti politik bersilih ganti mengisi takhta pemerintahan, namun Islam tidak pernah diterapkan. Umat Islam tidak pernah bangkit.

Walaupun sering kedengaran slogan dan laungan daripada parti Islam yang bertanding pilihan raya kononnya Islam akan dimartabatkan melalui perjuangan dan kemenangan mereka, sudahnya apabila mereka berada di singgahsana pemerintahan, undang-undang kafir penjajah jua yang kekal.

Jika dulu parti Islam menentang parti sekular kerana perlembagaan penjajah yang dipegang teguh oleh parti sekular, kini parti Islam mendukung parti sekular, bekerjasama dengan parti sekular, bahkan berada dalam satu barisan pemerintahan dengan parti sekular dan bersama-sama berpegang teguh dengan perlembagaan penjajah yang dulu ditentangnya.

Umat tidak akan gemilang di bawah sekularisme

Sesungguhnya kehendak umat Islam untuk kembali hidup berlandaskan syariah sudah semakin dirasai. Atas dasar itu, mereka semakin mendukung perjuangan Islam. Malangnya terdapat pemimpin yang memandu mereka ke arah yang salah, sehingga mereka turut terlari dari jalan yang benar.

Apa yang perlu difahami oleh umat Islam ialah, Islam tidak akan tegak melalui sistem pemerintahan demokrasi, dan hukum Allah tidak akan dapat dilaksanakan selagi perlembagaan penjajah menjadi undang-undang tertinggi negara.

Kegemilangan Melaka dahulu terjadi kerana berada di bawah Islam. Hukum Islam diamalkan walaupun tidak sempurna dan tidak menyeluruh. Umat Islam berpegang teguh kepada ajaran Islam, tanpa ada campur tangan penjajah.

Namun, Melaka kemudian hilang kegemilangannya apabila masuknya penjajah. Penduduk Melaka berjihad melawan penjajah biarpun mengalami kekalahan kerana pelbagai kelemahan. Akhirnya penjajah berjaya menguasai Melaka sepenuhnya dan memaksakan sistem kufur mereka ke atas bumi Melaka. Bermula dari situ Melaka hilang segala kegemilangannya, kerana Islam telah hilang darinya. Sejak penjajahan, sekularisme menguasai negara.

Malangnya, setelah penjajah keluar dari Tanah Melayu, pemimpin Melayu yang ada pada waktu itu (dan sehingga sekarang) mengekalkan sistem penjajah, mengekalkan sekularisme, menjunjung perlembagaan penjajah, berfikir dengan cara penjajah dan mengamalkan gaya hidup penjajah. Inilah asbab kepada kemunduran, kelemahan dan kehinaan umat Islam – apabila mereka mengambil apa yang diberi oleh penjajah dan meninggalkan apa yang diwariskan oleh Rasulullah (saw) iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, khususnya dalam aspek pemerintahan.

Tidak boleh tidak, satu-satunya cara untuk umat Islam kembali kepada kemuliaan dan kegemilangannya ialah dengan kembali berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan mencampakkan segala pemberian penjajah yang bertentangan dengan Islam. Ingat! Islam tidak akan dapat diterapkan, dan umat Islam tidak akan pernah berubah selagi berpegang kepada perlembagaan penjajah, selagi hidup dalam sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan).

Kejayaan umat Islam bukanlah kerana memenangi pilihan raya dan bukan kerana majoriti pemimpinnya beragama Islam berjaya berada di kerusi pemerintahan, kerana semua itu tidak berguna di sisi Allah sedikit pun apabila hukum Allah dicampakkan dari pemerintahan. Kejayaan umat Islam ialah apabila hukum Allah diterapkan secara kaffah di bawah naungan sebuah Negara Islam (Khilafah), dan umat Islam kembali mentaati  Allah dan Rasul-Nya:

﴿وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ﴾

“Dan barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan” [An-Nur (24): 52].

Wallahu a’lam.