Tragedi Rejab: Runtuhnya Kemuliaan Bersama Runtuhnya Khilafah

NAHDHAH FIKRIYYAH – EDISI 9 REJAB 1434 H / MEI 2013
TRAGEDI REJAB:  RUNTUHNYA KEMULIAAN BERSAMA RUNTUHNYA KHILAFAH

Alhamdulillah kita kini berada di bulan Rejab. Di bulan ini, peristiwa besar Isra’ dan Mi’raj Nabi   Muhammad S.A.W  begitu dekat di hati dan sentiasa diingati. Namun satu lagi peristiwa penting yang seakan luput daripada ingatan kaum Muslimin adalah dihapuskannya sistem Khilafah Islamiyyah oleh pengkhianat kaum Muslimin iaitu Mustafa Kamal Attarturk. Inilah tragedi yang menjadi titik awal bermulanya episod hitam dalam kehidupan umat Islam, termasuklah kaum Muslimah secara khususnya.
 
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebab utama keruntuhan Negara Khilafah ini, antaranya adalah konspirasi negara-negara kafir imperialis, pengkhianatan pegawai-pegawai tertinggi negara, masuknya idea-idea rosak (nasionalisme, patriotisme, demokrasi dan hak asasi manusia) yang mempengaruhi pemikiran kaum muda di Turki dan wilayah Khilafah lainnya, terhentinya  ijtihad, usaha memasukkan undang-undang Barat ke dalam perlembagaan  negara Khilafah dan penghancuran akidah Islam melalui serangan misionaris Kristian (mubaligh yang berjuang memurtadkan umat Islam).
 
Kemuncaknya, pada 3 Mac 1924 iaitu bersamaan dengan 28 Rejab 1342H, agen Inggeris berketurunan Yahudi Dunamah bernama Mustafa Kamal Attarturk mengisytiharkan terbubarnya Negara Khilafah Islamiyah yang berpusat di Istanbul dan kemudian menggantikannya dengan sistem Republik Turki dengan asasnya sekular-demokrasi.
 
Runtuhnya Khilafah Uthmaniyyah ini menandakan berakhirnya kedaulatan dan kemuliaan pemerintahan Islam yang bertahan selama lebih 1300 tahun. Keruntuhan ini juga sekaligus  menyebabkan umat Islam kehilangan institusi yang memayungi dan melindungi mereka. Semenjak runtuhnya sistem pemerintahan yang menerapkan hukum-hukum Islam, pelbagai masalah dan musibah melanda umat Islam dalam seluruh aspek kehidupan.
 
Di Malaysia sendiri, penerapan sistem demokrasi-kapitalis-sekular dalam pelbagai aspek kehidupan  ternyata  membawa banyak kerosakan dan malapetaka. Remaja yang sepatutnya  menjadi generasi harapan umat untuk memperjuangkan Islam ternyata menjadi mangsa penerapan sistem kehidupan    ciptaan penjajah Barat ini.
 
Meningkatnya penglibatan remaja dalam kes-kes jenayah sukar untuk dibendung. Kes samun, peras ugut, ragut, gangsterisme, ketagihan dadah dan alkohol, rogol, cabul, bunuh,  pergaulan bebas, gejala LGBT, budaya fesyen dan hiburan yang  melalaikan, semuanya menjadi rutin hidup yang begitu kerap dipaparkan di media massa.
 
Kementerian Kesihatan melaporkan kes kehamilan luar nikah dan bilangan anak tidak sah taraf semakin mengerikan iaitu seramai 18,652 remaja berusia 10-19 tahun didapati hamil sepanjang 2011 di mana 30% hamil di luar nikah (The Star, 22 September 2012). Seramai 705 bayi terdampar dilaporkan sepanjang lapan tahun semenjak 2004-2011. Pada tahun 2009, kes meningkat sebanyak 15% kepada 91 kes dalam tahun 2010 dan  sebanyak 98 kes pada tahun 2011 (sumber: PDRM).
 
Menurut satu laporan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, dari tahun 2004-2009, sebanyak 16% bayi yang terdampar ditemui di kawasan pembuangan sampah! Tidak terbayangkan apakah yang bakal menimpa generasi kita di masa hadapan jika sistem demokrasi-kapitalis-sekular ini terus-menerus diterap dan dipertahankan.
 
Selain Malaysia, umat Islam di serata dunia menderita sekian lama akibat kezaliman dan penganiayaan yang  diperlakukan ke atas mereka. Sebagai  contoh, peristiwa yang berlaku ke atas   Dr. Marwah Al-Syarbani, Muslimah dari Mesir yang telah  ditikam oleh seorang Islamofobis  semata-mata kerana beliau berhijab dan menunjukkan identiti keIslamannya. Kita juga sukar melupakan peristiwa penangkapan dan pemenjaraan secara kejam yang telah menimpa Dr. Aafia Siddiqui, seorang Muslimah yang bekerja di Amerika. Tanpa alasan dan bukti yang kukuh, beliau dipenjarakan, dirogol dan diseksa dengan begitu kejam.
 
Terbaru, pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar semata-mata kerana mereka berakidah Islam. Malah umat Islam yang berjuang  mempertahankan kemuliaan Rasulullah S.A.W telah dizalimi dan dibunuh dengan kejamnya di Bangladesh. Ini hanyalah secebis realiti menyedihkan yang menimpa kaum Muslimin yang terpapar di media massa. Sementara di luar sana jutaan  Muslimin dan Muslimat menderita dalam diam dek kezaliman sistem kapitalis sekular yang menimpa mereka saban hari tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.
 
Ternyata hidup tanpa sebuah Daulah Khilafah Islamiyyah, telah membawa kesengsaraan yang luar biasa kepada umat Islam. Tanpa Daulah Khilafah Islamiyyah, umat Islam menjadi terpecah-belah kepada negara-negara kecil yang lemah, yang  kesemuanya terpisah atas dasar sempadan (geografi) dan kebangsaan yang dicipta oleh penjajah Barat. Ini menyebabkan umat Islam lemah untuk menghadapi kekuatan penjajah. Jangankan bersatu untuk menghadapi penjajah, malah umat Islam saling bertikaian antara satu sama lain atas dasar kepentingan masing-masing.
 
Penderitaan akibat ketiadaan Daulah Khilafah Islamiyyah di dunia ini, bukan hanya menimpa kaum Muslimin. Hal ini juga merupakan malapetaka yang menimpa seluruh dunia. Saat ini dunia dipimpin oleh sistem Kapitalisme Barat dan dunia mengalami penderitaan yang sangat menyedihkan dari pelbagai aspek. Pelbagai krisis global terjadi seperti kemiskinan, pengangguran, gejala sosial, penindasan, eksploitasi dan diskriminasi sehinggalah membawa kepada konflik dan ancaman perang.
 
Saudara seakidahku, kini seruan bagi kita untuk menggapai kemenangan dan kemuliaan Islam  telah   tiba. Sahutlah seruan ini untuk meraih pertolongan Allah dengan berdakwah, membina umat dengan pemikiran Islam, membongkar segala usaha dan makar-makar jahat pihak kafir dan sekutunya dan seterusnya meraih kepimpinan umat. Sesungguhnya kembalinya Daulah Khilafah Islamiyyah ke dalam kehidupan adalah satu-satunya jalan untuk umat manusia kembali hidup di dalam kesejahteraan. Berhukum dengan apa yang diturunkan Allah mesti dijadikan  tujuan perjuangan kita.
 
Maka marilah berjuang bersama-sama untuk mewujudkan semua itu, agar kita dapat menolak tipu daya orang-orang kafir serta mengembalikan Daulah Khilafah dan menerapkan hukum dengan apa yang diturunkan Allah. Marilah sama-sama  berjuang agar kita menjadikan kemuliaan hanya milik Allah, RasulNya, agamaNya, dan orang-orang Mukmin! Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan Islam dan menjadikan kita mulia kerananya. Allah S.W.T berfirman,
 
Kemuliaan adalah bagi Allah, Rasul dan orang-orang beriman[TMQ al-Munafiqun (63):8].
 
Maka bersegeralah kalian menuju aktiviti yang diredhai Allah S.W.T dan RasulNya dan beramallah dengan orang-orang yang berjuang untuk menerapkan ketentuan Allah S.W.T dengan menegakkan Daulah Khilafah Rasyidah ‘ala Minhaj Nubuwwah agar memperoleh kemenangan di dunia dan akhirat. Firman Allah S.W.T,
 
Dan Allah menyempurnakan cahayaNya walaupun orang-orang kafir itu membenci[TMQ as-Saff (61):8]
 
Wallahu a’lam.