SN368 – KEDUTAAN ASING–HUKUM KEWUJUDAN DAN TAJASSUS

 
SN keluaran 8 November 2013


KEDUTAAN ASING – HUKUM KEWUJUDAN DAN TAJASSUS

[SN368] Baru-baru ini, akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden mendedahkan bahawa risikan dibuat ke atas Malaysia oleh kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan Internet.  Snowden, bekas pekerja Central Intelligence Agency (CIA) mendedahkan, risikan itu dijalankan di bawah operasi ‘STATEROOM’ yang turut membabitkan Britain dan Kanada. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam reaksinya berkata, Malaysia menentang keras sebarang kegiatan pengintipan terhadap mana-mana kerajaan kerana melibatkan soal kedaulatan negara terbabit. Najib seterusnya berkata, sebab itulah, kerajaan melalui Wisma Putra telah menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur berhubung dakwaan tersebut. “Soalnya sekarang, sejauh mana kebenaran dakwaan pengintipan yang dilakukan terhadap kerajaan Malaysia itu atau dalam usaha mereka mengumpul maklumat tentang ancaman kepada keselamatan mereka yang melibatkan soal keganasan, senjata pemusnah besar-besaran, jenayah merentas sempadan dan sebagainya,” katanya lagi.

Berita pengintipan (spying) yang dilakukan oleh AS terhadap negara-negara lain, termasuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah satu dari 90 fasiliti pengintipan AS, sesungguhnya telah agak lama terdedah tetapi didiamkan oleh kerajaan. Sebelum ini, berita yang sama telah menggemparkan negara jiran, Indonesia apabila Presidennya sendiri dikatakan menjadi objek intipan di mana komunikasi beliau (termasuk jutaan rakyat Indonesia) diintip oleh AS. Bukan hanya itu, AS dikatakan melakukan pengintipan terhadap 21.98 juta komunikasi di Afghanistan, 12.76 juta komunikasi di Pakistan, 7.8 juta komunikasi di Saudi dan Iraq, 1.8 juta komunikasi di Mesir, 1.6 juta komunikasi di Jordan, 1.7 juta komunikasi di Iran dan lain-lain lagi. Semua ini membuktikan yang tindakan AS melakukan pengintipan bukanlah suatu rekaan, tetapi nyata adanya. Meski pun pengintipan ini bukanlah hal baru dalam dunia risikan, namun kes-kes ini sengaja didedahkan oleh negara-negara lain, kerana mereka memerlukan dukungan global untuk menghentikan tindakan AS, setidaknya terhadap negaranya sendiri, seperti yang dilakukan oleh Jerman dan Kesatuan Eropah. Apa pun reaksi terhadap isu ini, apa yang jelas ialah pengintipan ini merupakan usaha AS dalam menghadapi lawan politiknya sama ada yang sedia ada atau yang berpotensi menjadi lawan.

Memposisikan AS Dan Negara Penjajah Lainnya

Dalam pandangan Islam, geopolitik dunia dibahagi kepada dua: Dar al Islam (Negara Islam) dan Dar al-Kufr (Negara Kufur). AS merupakan Dar al-Kufur dan secara spesifiknya AS merupakan Dar al-Harb al-Muharibah Fi’lan (negara kufur yang memerangi Islam secara nyata). Manakala negeri-negeri kaum Muslimin yang jumlahnya lebih dari 50 buah, walaupun kesemuanya adalah Bilad Islamiyyah (Tanah Islam), tetapi dengan ketiadaan Khilafah yang memayungi mereka, maka negeri-negeri ini tetap termasuk dalam kategori Dar al-Kufr. Namun, apabila Khilafah berdiri nanti, sebagaimana adanya Khilafah dahulu, kesemua negeri ini akan disatukan dalam satu negara dan akan kembali menjadi Dar al-Islam yang bergabung dalam kesatuan Daulah Khilafah.

Di dalam Islam, oleh sebab umat Islam adalah umat yang satu dan negara umat Islam adalah negara yang satu, maka tidak wujud hubungan diplomatik sesamanya, kerana hubungan diplomatik hanya wujud di antara Negara Islam dan Negara Kufur sahaja. Namun, dalam konteks hubungan antarabangsa sekarang, banyak negara (termasuk Bilad Islamiyyah) mempunyai hubungan diplomatik antara satu sama lain dan atas dasar hubungan ini, mereka menempatkan kedutaan besar masing-masing di negara yang satu lagi. Kedutaan besar atau dalam bahasa Arab disebut safarah adalah pejabat perwakilan diplomatik suatu negara yang ditempatkan secara tetap di ibu kota negara lain. Pegawai diplomatik tertinggi yang memimpin kedutaan besar disebut duta besar.

Terdapat sekurang-kurangnya empat faktor penting dalam hubungan diplomatik di antara negara-negara di dunia. Pertama, adanya hubungan kerjasama antara negara yang termaktub melalui perjanjian, baik secara bilateral mahupun multilateral. Kedua, adanya perwakilan masing-masing negara di negara satu lagi yang diakui sebagai perwakilan rasmi. Ketiga, adanya misi/kepentingan timbal balik di antara masing-masing negara tersebut. Keempat, adanya hak imuniti (kekebalan) yang diberikan kepada duta/perwakilan rasmi. Keempat faktor inilah yang bukan sahaja wujud, malah sentiasa dijaga oleh masing-masing negara agar hubungan baik di antara mereka sentiasa terjalin.
 
Berdasarkan fakta hubungan diplomatik di atas, maka Dar al-Islam tidak mungkin menjalin hubungan diplomatik dengan Dar al-Harb al-Muharibah Fi’lan kerana di antara keduanya sedang terjadi peperangan secara nyata. Apa yang terjadi justeru sebaliknya, di mana hubungan diplomatik di antara keduanya (jika telah wujud) akan putus, sehingga duta/perwakilannya pun ditarik dan kedutaannya pun ditutup.

Hubungan diplomatik yang wujud hanyalah di antara Dar al-Islam dengan Dar al-Kufur al-Muharibah Hukman, yakni Dar al-Kufur yang tidak memusuhi dan menyerang kaum Muslimin secara nyata. Mereka juga dikenali sebagai Dar al-Kufur al-Mu’ahadah, yakni Dar al-Kufur yang terikat perjanjian dengan Dar al-Islam, baik di bidang ekonomi, politik, telekomunikasi, pengangkutan mahu pun selainnya. Dar al-Islam akan membuka kedutaan di negara tersebut dan demikian juga sebaliknya.
 
Kedutaan Asing Dalam Negara Khilafah

Sesungguhnya Dar al-Islam (Negara Islam) adalah Negara Khilafah, sebuah negara di mana hukum Islam diterapkan secara kaffah dan keamanannya dijaga oleh orang-orang Islam. Kedutaan asing dibolehkan wujud di dalam Negara Khilafah bergantung pada syarat-syaratnya. Mengenai izin kewujudan kedutaan dan bangunan oleh Dar al-Kufur al-Muharibah Hukman sebagai tempat perwakilan rasmi mereka di dalam Negara Khilafah, hal ini semestinya merujuk kepada asas keperluan yang ditentukan oleh hubungan diplomatik di antara keduanya. Malah, besar dan kecilnya bangunan kedutaan tersebut sebenarnya mencerminkan kepentingan Negara Kafir Harbi tersebut di Negara Khilafah. Dalam konteks ini, Negara Khilafah berhak, bahkan wajib membatasi ruang gerak mereka.

Amat penting untuk difahami bahawa hubungan diplomatik antara Negara Khilafah dengan Dar al-Kufur al-Muharibah Hukman ini tidak boleh bersifat kekal (permanent). Dalam perjanjian diplomatik/damai seperti ini, Islam hanya membenarkan batas waktu maksimum 10 tahun, tidak lebih dari itu. Perjanjian damai yang melebihi 10 tahun adalah menyalahi nas, sebagaimana yang ditetapkan oleh Rasulullah di dalam Sulh (Perjanjian) Hudaibiyyah. Hal ini sekali gus mempertegas bahawa hukum asal dalam hubungan antara Negara Khilafah dengan Dar al-Kufur al-Muharibah Hukman ini adalah hubungan perang, bukan hubungan damai.
 
Oleh yang demikian, polisi Negara Khilafah terhadap pejabat kedutaan asing tersebut adalah berasaskan “pejabat sementara” dan bukannya “pejabat tetap”. Dengan begitu, jika mereka memohon izin pembinaan pejabat tetap/kekal, maka izin tersebut wajib ditolak. Ini kerana, perjanjian diplomatik/damai yang kekal bermaksud menghentikan atau menafikan hukum jihad ke atas mereka walhal jihad itu wajib. Kaum kafir itu wajib didakwahi, begitu juga dengan negara mereka yang wajib didakwahi (dan diperangi jika wujud halangan fizikal) sehingga mereka tunduk kepada Islam dan seterusnya bergabung ke dalam Daulah Islam.
 
Dalam keadaan di mana kaum kafir yang mempunyai kedutaannya di Negara Khilafah itu kemudian terbukti menggunakan pejabat kedutaannya untuk melakukan aktiviti yang mengancam kepentingan atau keselamatan Negara Khilafah seperti pengintipan, apakah yang perlu dilakukan oleh Khalifah? Dalam hal ini, tidak cukup bagi seorang pemimpin Islam itu hanya menghantar nota bantahan di atas tindakan khianat kaum kafir ini seperti mana yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, tetapi Khalifah hendaklah mengambil tindakan tegas, berdasarkan hukum syarak seperti berikut:

Pertama; Menutup pejabat kedutaan tersebut serta-merta kerana mereka telah melakukan kesalahan yang amat serius yang boleh membahayakan negara. Kedua; Mengusir duta/utusan negara tersebut dan seluruh pekerja diplomatik yang bekerja di kedutaan tersebut. Ketiga; Mengambil keterangan rakyat/warga Khilafah yang bekerja dengan mereka, yang jika terbukti warga tersebut bersubahat, maka mereka akan dikenakan uqubat ta’zir. Keempat; Membatalkan perjanjian yang menjadi dasar dibukanya hubungan diplomatik tersebut. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT, “Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari mereka, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur (sama). Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat” [TMQ al-Anfal (8):58].
 
Ayat ini dengan tegas mengajar pemimpin untuk membatalkan perjanjian yang telah dimasuki dengan mereka, jika sudah wujud petanda yang mereka mengkhianati perjanjian tersebut yang boleh mengancam kepentingan kaum Muslimin. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap kaum kafir Quraisy, ketika Sulh Hudaibiyyah yang baru termeterai setahun ketika itu kerana pengkhianatan Quraisy ke atas isi perjanjian tersebut. Meski pun kaum kafir Quraisy amat keberatan untuk membatalkan perjanjian ketika itu, namun Rasulullah SAW tetap tegas.
 
Hukum Tajassus Oleh Dan Terhadap Orang Kafir

Secara umumnya, urusan kedutaan negara asing di dalam Negara Khilafah, mahupun kedutaan Negara Khilafah di Dar al-Kufur al-Muharibah Hukman, merupakan urusan yang ditangani oleh Da’irah Kharijiyyah (Jabatan Luar Negeri) yang secara langsung bertanggungjawab kepada Khalifah. Cuma, jika ia terkait dengan masalah keamanan atau keselamatan di dalam Negara Khilafah, maka ini masuk di dalam bidang kuasa Da’irah al-Amni ad-Dakhili (Jabatan Keamanan Dalam Negeri). Urusan kedutaan asing ini meliputi kewujudan dan fungsi pejabat kedutaan mereka di Negara Khilafah, termasuklah aktiviti para duta/utusan Dar al-Kufur al-Muharibah Hukman itu di dalam wilayah Negara Khilafah.

Dalam urusan kedutaan asing ini, Da’irah al-Amni ad-Dakhili mempunyai bidang kuasa untuk memantau dan mengintip mereka, termasuklah terhadap rakyat Negara Khilafah yang bekerja di pejabat kedutaan tersebut, dengan dua syarat: Pertama; Hasil dari pemantauan Da’irah al-Harbiyyah (Jabatan Peperangan) dan Da’irah al-Amni ad-Dakhili terhadap para pimpinan diplomatik Dar al-Kufur al-Muharibah Hukman tersebut melaporkan bahawa aktiviti mereka adalah tidak wajar dan mencurigakan. Kedua; Hasil pemantauan dua Jabatan tersebut diserahkan kepada Qadhi Hisbah yang kemudian diputuskan oleh Qadhi Hisbah bahawa aktiviti mereka berpotensi mengancam kepentingan Islam dan kaum Muslimin. Jika kedua syarat ini dipenuhi, maka Da’irah al-Amni ad-Dakhili berhak mengintip rakyat Negara Khilafah yang bekerja dengan mereka. Jika mereka didapati melakukan kesalahan tersebut, baik mereka adalah Muslim mahupun kafir zimmi dan sekiranya didapati bersalah, maka mereka akan dikenakan hukuman ta’zir.

Manakala hukuman (uqubat) bagi orang kafir harbi yang melakukan tajassus (pengintipan) demi kepentingan negara mereka atau kepentingan kafir harbi yang lain, maka hukumannya adalah hukuman mati dan tidak ada hukuman lain lagi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Salmah ibn Al Akwa’ yang berkata, “Seorang mata-mata (pengintip) dari musyrik menemui Nabi yang sedang dalam perjalanan. Dia duduk di antara para sahabat sambil bercakap-cakap, lalu pergi secara diam-diam. Lalu Nabi berkata, ‘Cari dan bunuhlah dia.’ Maka aku mendahului yang lain untuk mendapatkannya, lalu aku membunuhnya. Kemudian Rasulullah SAW memberikan barang rampasannya kepadaku”. Jelaslah bahawa dengan hanya didapati ia seorang mata-mata, Nabi berkata, “cari dan bunuhlah dia!” sebagai indikasi bahawa perintah itu pasti dan hukumannya hanya satu yakni dibunuh dan ini berlaku pada semua kafir harbi, baik mu’ahid (kafir yang ada perjanjian dengan Negara Khilafah) atau musta’min (kafir yang diberi jaminan masuk – visa) atau selain keduanya. Semuanya adalah kafir harbi yang hukumannya adalah mati, ketika didapati dia menjalankan aktiviti pengintipan.

Adapun tajassus (intipan) terhadap orang-orang kafir harbi fi‘lan, yakni orang kafir yang antara kita dan mereka sedang terjadi peperangan, ia wajib dilakukan oleh Negara Khilafah.  Ini adalah kerana, taktik peperangan untuk mengalahkan musuh menuntut hal tersebut. Begitu juga aktiviti tajassus terhadap kafir harbi hukman, boleh (jaiz) dilakukan kerana adanya kemungkinan pada bila-bila masa terjadi peperangan dengan mereka, malah ia menjadi wajib dilakukan oleh negara dalam keadaan dharar (bahaya), contohnya ketika timbul kekhuatiran bahawa mereka akan membantu atau bergabung dengan kafir harbi fi’lan untuk memerangi negara.

Ringkasnya, tajassus juga boleh dilakukan terhadap orang kafir harbi yang masuk ke negara kita baik sebagai mu‘ahid atau musta’min, seperti para duta, konsul dan semisal mereka. Tajassus ini bukan sahaja boleh dilakukan di dalam negara kita, malah boleh dilakukan ke atas mereka di negara mereka. Kesemua hal ini telah diterangkan di dalam nas, selain kebolehan itu juga didasarkan kepada kaedah syarak “ma la yatim al-wajib illa bihi fa hua wajib” (suatu kewajipan yang tidak sempurna kecuali dengan melakukan suatu perkara, maka perkara itu menjadi wajib).  

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Tindakan AS di dalam melakukan pengintipan di negara kita dan ke atas kita bukanlah suatu perkara kecil atau main-main. Selain untuk terus menjaga hegemoni dan cengkamannya ke atas umat Islam, pengintipan itu juga dilakukan dalam rangka menghadapi dan menyekat kesatuan umat Islam di seluruh dunia khususnya kemaraan usaha kaum Muslimin untuk bergabung di bawah satu negara, Khilafah. AS amat memahami dan berada dalam ketakutan yang amat dahsyat sekiranya negara kaum Muslimin yang lebih 50 buah ini kembali bersatu di bawah Daulah Khilafah. Ini kerana hal ini sudah pasti membawa ancaman sekali gus kehancuran kepada AS. Sesungguhnya AS sudah melihat bahawa ia sekali-kali tidak akan dapat menyekat penggabungan negeri-negeri umat Islam di bawah Khilafah kerana arus penyatuan kaum Muslimin sudah semakin deras di mana-mana sahaja. Dengan kuasanya yang cuma tinggal sisa-sisa itu, apa yang AS cuba lakukan ialah memperlahankan arus penyatuan tersebut, itu pun jika ia mampu! Kita yakin, dengan sifat kejahatannya, AS akan terus mengintip dan mengintip, dengan harapan ia dapat memintas dan menyekat jaringan kebangkitan Islam. Namun tatkala Khilafah berdiri sedikit masa lagi dengan izin Allah, barulah AS sedar bahawa hasil intipannya selama ini tidak dapat menyelamatkannya sedikit pun. Wallahu a’lam.