Kemiskinan masih tidak mendapat perhatian serius kerajaan
Sekali imbas nampak macam ada kebenarannya kata-kata Menteri Kewangan Kedua ini. Memanglah jika kita berpijak pada realiti, industri pendidikan teknik dan vokasional kebangsaan yang cenderung kepada aliran kemahiran (praktikal) telah melahirkan ribuan graduannya. Tak kurang, institusi pengajian tinggi teknikal dan teknologi juga melahirkan para siswazah yang berkebolehan dalam kemahiran. Namun persoalan asasnya adalah, apakah peluang-peluang yang boleh diraih untuk meningkatkan taraf hidup mereka jika ‘peluang-peluang pekerjaan’ itu tidak wujud? Atau ianya amat sedikit sekali disediakan oleh kerajaan, atau kewujudannya hanya diperuntukkan kepada kroni dan pihak yang lebih berkepentingan?
Setelah menyediakan beberapa pusat kemahiran, kerajaan nampaknya boleh cuci tangan dengan kemiskinan yang masih wujud, dan golongan miskin ini kena mencari inisiatif sendiri untuk menambah pendapatan. Dasar ‘lepas tangan’ oleh kerajaan kapitalisme seperti Malaysia ini dan dalam masa yang sama meluahkan kata-kata ‘motivasi’ serta ‘nasihat’ kepada golongan miskin, berpendapatan rendah serta kurang upaya sebenarnya adalah suatu perkara lama yang sudah basi. Di mana-mana sahaja saranan seperti ini kedapatan. Para pemimpin kerajaan kapitalisme ini hanya meluahkan buah fikiran sekadar melepas batuk di tangga, namun tidak pernah serius untuk mengatasi masalah kemiskinan. Kemiskinan sebenarnya tidak masuk dalam agenda perjuangan mereka melainkan jika ia boleh menaikkan lagi ‘status dan jawatan’ mereka di tengah-tengah masyarakat.
Bukan kita tak sedar jumlah pengangguran yang wujud ketika ini, dan masalah jenayah yang terhasil darinya hasil dari keperluan manusia untuk meneruskan hidup. Ia sungguh membimbangkan kerana peluang pekerjaan tidak disediakan secukupnya oleh pihak berwajib. Golongan berkemahiran tidak diberi peluang memanfaatkan kemahiran mereka dalam sektor industri ringan mahupun berat demi meningkatkan taraf hidup mereka, apatah lagi bagi golongan yang miskin dan kurang upaya. Nyata sekali seruan untuk mengubah taraf hidup golongan miskin dan kurang upaya sangat jauh dari nyata. Walhal menurut hukum Islam, sekiranya terdapat pengangguran di dalam negara, maka kewajipan ketua negara adalah menyediakan lapangan pekerjaan yang secukupnya.
Di tambah pula krisis ekonomi yang bakal melanda menjadi parah tidak lama lagi, kos sara hidup, peningkatan harga komoditi dan perkhidmatan membayangkan betapa kesengsaraan golongan miskin dan kurang upaya bertambah kronik. Apa gunanya ada kemahiran sekiranya keperluan perut sendiri tidak dapat dipenuhi? Apakah rumusan yang kerajaan kapitalisme gunakan untuk mengaitkan kemahiran hidup dengan peningkatan taraf hidup? Tidakkah ini sebenarnya suatu fakta yang keliru lagi mengelirukan terbit dari falsafah ekonomi kufur, kapitalisme. Buktinya, berapa ramai dari kalangan mereka yang berkemahiran tetapi tetap menganggur kerana medan pekerjaan tidak ada ataupun terhad.
Kita perlu fahami bahawa kemahiran adalah termasuk di dalam sektor pengelolaan harta kekayaan. Ia tergolong dalam soal produktiviti, yang langsung berkait dengan mekanisme pengembangan harta melalui industri. Ini bermakna, kemahiran merupakan ‘perkhidmatan’ (services) yang digunakan bagi meningkatkan pengeluaran. Sedangkan taraf hidup pula adalah berkaitan soal pemenuhan keperluan diri, keluarga dan rakyat. Tidak ada gunanya jika di dalam sesebuah komuniti itu terdiri dari para pakar-pakar namun kebanyakan mereka adalah menganggur (kerana tiada lapangan pekerjaan) dan hidup dalam kebuluran dan derita tanpa gizi.
Jenuh sudah umat Islam menghadapi penderitaan di dalam sistem pemerintahan Kapitalis hari ini. Pemimpin mereka beragama Islam tetapi cara hidup mereka adalah Kapitalis. Jadi, sistem Islam mereka campakkan, walhal satu-satunya jalan untuk mengatasi maslah pengangguran, kemiskinan, kebuluran dan seumpamanya adalah dengan kembali kepada sistem Islam. Sistem Ekonomi Islam menjamin pemenuhan keperluan biologi manusia tanpa mengira Muslim atau selainnya. Ekonomi Islam juga menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Daulah Islam (Khilafah) sebagai salah satu usaha bagi memenuhi keperluan manusia. Golongan miskin dan kurang upaya mendapat perhatian serius oleh pihak Khilafah sama ada mereka dibekalkan prasarana peningkatan diri melalui pendidikan, peluang kerjaya mahupun disara sepenuhnya. Rasulullah dan Khulafa Rasyidun dahulu tidak pernah membiarkan rakyat mereka hidup dalam kemiskinan, pengangguran apatah lagi kebuluran. Mereka semua dapat menikmati hidup yang sejahtera di bawah naungan sistem pemerintahan Khilafah.